Thursday 23 April 2015

Hancurkan Hati Kamu

      Jauhkanlah diri dari orang ramai dengan perintah Allah dan dari nafsu kamu dengan perintahNya dan dari kehendakmu dengan lakuanNya, agar kamu layak menjadi bekas untuk mengisi ilmu Allah. Tanda kamu telah menjauhkan diri dari orang ramai ialah kamu telah seluruhnya memutuskan segala perhubungan dengan orang ramai dan membebaskan fikiran² kamu dari segala apa yang bersangkutan dengan mereka.
      Tanda kamu telah putus dari nafsu² kamu ialah kamu telah membuang segala usaha dan daya untuk dunia dan perhubungan dengan cara² dunia untuk mendapatkan apa² faedah dan menghindarkan bahaya dan kamu janganlah bergerak untuk kepentingan kamu sendiri. Janganlah kamu bergantung kepada diri sendiri tentang perkara yang bersangkutan dengan diri kamu. Janganlah kamu melindungi diri kamu dan menolong diri kamu sendiri. Serahlah segala-galanya kepada Allah kerana Dia lah yang menjaga dan memelihara segala-galanya dari azali lagi sehingga abadi selama-lamanya. Dia lah yang menjaga kamu dalam perut ibumu sebelum kamu lahir dan Dia lah yang memelihara kamu semasa kamu masih bayi.
      Tanda kamu telah hilang dari kehendak kamu dengan lakuan atau perbuatan Allah ialah kamu tidak lagi melayan apa² hajat dan kamu tidak ada apa² matlamat atau tujuan, kamu tidak lagi ada keperluan atau maksud kerana kamu tidak ada tujuan atau keperluan selain Allah semata-mata. Lakuan Allah pun terzahir pada kamu dan pada masa pergerakan kehendak dan lakuan Allah itu, kamu hanya pasif pada badan, tenang dalam hati, luas fikiran, mukamu berseri-seri dan jiwa kamu bertambah subur. Maka kamu akan terlepas dari keperluan kebendaan kerana kamu telah berhubung dengan Al-Khaliq. Tangan kuasa akan mengerakkan kamu. Lidah abadi akan memanggil kamu. Tuhan sekalian alam akan mengajar kamu dan akan memberi pakaian dengan cahaya dari diriNya dan dengan pakaian kerohanian dan akan meletakkan kamu dalam peringkat orang² alim yang dulu².
      Selepas pengalaman ini akan bertambah hancurlah "hati" kamu sehingga hapuslah hawa nafsu dan kehendak kamu umpama tempayan yang pecah yang tidak mengandungi air walau setitikpun. Kosonglah kamu dari semua lakuan² kemanusiaan dan diri kamu tidak menerima yang lain kecuali kehendak Allah. Pada peringkat ini kamu akan dikurniai keramat² dan perkara² yang luar biasa. Perkara² itu pada zahirnya datang dari kamu tetapi sebenarnya adalah lakuan dan kehendak Allah jua.
      Maka masuklah kamu dalam golongan orang² yang telah pecah hatinya dan telah hilang nafsu² kebinatangannya. Selepas itu akan diberi sifat² Ketuhanan Yang Maha Tinggi. Berkenaan hal inilah Nabi Besar Muhammad s.a.w telah bersabda: 'Aku gemar tiga perkara dari dunia ini - bau-bauan harum, perempuan dan sembahyang yang mataku sejuk di dalamnya'. Semua ini diberi kepadanya setelah kehendak² dan nafsu² yang tersebut dahulu itu lepas dari dirinya. Allah berfirman: "Aku bersama mereka yang pecah hatinya kerana Aku".
      Allah s.w.t tidak bersama kamu sekiranya semua nafsu dan kehendak kamu itu tidak dihancurkan. Apabila semua hancur dan tidak ada lagi yang tinggal pada kamu maka kamupun sesuailah untuk "diisi" dengan Allah dan Allah akan menjadikan kamu orang baru yang dilengkapi dengan tenaga dan kehendak baru yang pula. Jika ada lagi diri kamu walau sedikitpun, maka Allah akan menghancurkan itu pula sehingga kamu kosong semula dan selama-lamanya kamu tetap hancur hati. Allah akan menjadikan kehendak² baru dalam diri kamu dan jika dalam pada itu masih juga ada ego (diri) kamu, maka Allah akan menghancurkan terus. Demikianlah terjadi sehingga kamu menemui Tuhanmu di akhir hayat nanti. Inilah maksud firman Tuhan, "Aku bersama mereka yang hancur hatinya kerana Aku". Kamu akan dapati diri kamu "kosong" dan sebenarnya ada ialah Allah.
      Allah berfirman dalam hadis Qudsi: "HambaKu yang taat sentiasa meminta kehampiran dengan Aku melalui sembahyang² sunat sehingga Aku jadikan dia rakanKu dan apabila Aku jadikan dia rakanKu, Aku menjadi telinganya yang dengannya dia mendengar, matanya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memegang, dan kakinya yang dengannya dia berjalan iaitu dia mendengar melalui Aku, memegang melalui Aku dan mengetahui melalui Aku". Sebenarnya ini adalah keadaan "fana' (hapuskan diri)". Apabila kamu telah fana' terhadap diri dan makhluk, dan oleh kerana makhluk itu baik atau jahat dan oleh kerana diri kamu itu baik atau jahat, maka tidaklah ada dalam pandangan sebarang kebaikan yang datang dari diri kamu atau makhluk itu dan tidaklah kamu takut kedatangan kejahatan dari makhluk. Semua itu terletak pada tangan Allah semata-mata. Daripada itu datangnya buruk dan baik. Dia yang menentukan segala-galanya semenjak dari awal² lagi.
      Oleh yang demikian, Dia akan beri kamu keselamatan dari segala kejahatan makhluk²Nya dan akan membenamkan kamu dalam lautan kebaikanNya. Maka jadilah kamu titik tumpuan segala yang baik dan sumber keberkatan, kebahagiaan kesentosaan, nur (cahaya), keselamatan dan keamanan. Oleh itu "fana'" adalah tujuan dan matlamat dan hujung dan dasar perjalanan wali Allah. Semua wali Allah yang terdahulu dalam peringkat kemajuan mereka telah memohon dengan sungguh² untuk menukar kehendak atau kemahuan Allah. Semua mereka menukar kemahuan atau kehendak mereka ke dalam kemahuan atau kehendak Allah. Pendeknya mereka memfana'kan diri mereka dan mewujudkan Allah. Sebab itulah mereka digelar 'Abdal' (perkataan yang diambil dari perkataan 'Badal' yang bermakna "Pertukaran"). Pada pendapat mereka adalah satu dosa menyengutukan kehendak mereka dengan kehendak Allah.
      Sekiranya mereka lupa, dikuasai oleh emosi dan ketakutan, maka Allah Yang Maha Kuasa akan menolong mereka dan menyedarkan mereka dan dengan itu mereka kembali sedar dari lupa dan memohon perlindungan Allah. Tidak ada manusia yang benar² bebas dari pengaruh kehendak ego (diri) sendiri kecuali malaikat. Malaikat itu dipelihara Allah dalam kesucian kehendak mereka dan nabi² dipelihara dari nafsu badaniah. Jin dan manusia telah diberi tanggungjawab supaya berakhlak baik. Tetapi tidak terpelihara dari dipengaruhi oleh dosa dan maksiat. Wali² dipelihara dari nafsu² badaniah dan abdal dari kekotoran kehendak atau niat. Meskipun begitu mereka tidaklah bebas mutlak kerana mungkin merekapun ada kelemahan untuk melakukan dosa tetapi Allah dengan kasih sayangNya akan menolong dan menyedarkan mereka.

~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani) 

Thursday 16 April 2015

Kisah Habib Al-'Ajmi

MEMBERI DENGAN NAMA ALLAH

      Satu hari, seorang tetamu sedang makan sedikit makanan yang dihidangkan oleh 'Ajmi. Pada ketika itu, datanglah seorang pengemis. 'Ajmi pun terus mengambil makanan itu dan memberi kepada pengemis tersebut. Tetamu itu (Hasan Al-Basri) terperanjat melihat kelakuan 'Ajmi itu dan berkata, 'Kamu patutlah tahu sedikit sebanyak tentang adat sopan'. 'Ajmi diam sebentar. Hasan terkejut apabila tiba² datang seorang perempuan membawa hidangan yang lazat. Kedua-duanya pun makan. Kemudian 'Ajmi pun berkata, 'Hasan, kamu adalah orang baik. Kamu hendaklah mengukuhkan imanmu kepada Allah (iaitu sesuatu yang diberi dengan nama Allah akan mendapat ganjaran berlipat ganda)'.

HATI SUCI IKHLAS DIPENTINGKAN

      Suatu ketika Hasan pergi bertemu Habib Al-'Ajmi di waktu asar. Hasan mendengar 'Ajmi membaca bacaan dalam sembahnyang dengan tidak betul bacaannya. Hasan tidak mahu sembahyang bersama dia, lalu Hasan sembahyang berasingan. Pada malam itu, Hasan bermimpi bahawa Allah berkata kepadanya, 'Hasan jikalau kamu menjadi makmum dalam sembahyang dengan 'Ajmi itu, kamu akan dapat keredhaanKu dan sembahyang yang itu adalah lebih berfaedah dari sembahyang yang kamu telah lakukan sepanjang hidupmu. Kamu salahkan sebutan bacaannya yang salah tetapi kamu tidak tahu kesucian dan keikhlasan hatinya. Ketahuilah Kami lebih mementingkan hati yang suci bukan hanya menyebut bacaan yang betul'.

Hasan: 'Ajmi (murid Hasan), bagaimana kamu boleh sampai ke peringkat kerohanian yang tinggi itu?
'Ajmi: Dengan membersihkan hati melalui sembahyang dan bukan dengan menghitamkan kertas melalui tulisan. Mendengar itu, Hasan berkata, 'Sayang! Pengajaranku menguntungkan orang lain, bukan diriku!'

HATI ISLAM

Habib Al-'Ajmi menangis teresak-esak bila mendengar orang membaca Al Quran. Orang bertanya: 'Jika kamu tidak tahu maksud bacaan Quran itu, kenapa kamu menangis?' Dia menjawab, 'Meskipun aku ini orang Iran tetapi hatiku Arab'.

Kata² Al-'Ajmi:

1. Allah sendiri memelihara mereka yang mengabdikan diri kepadaNya.

2. Dengki dan cinta kepada dunia mestilah disingkirkan dari hati orang yg betul² menuju Allah.

Kisah Sirri Al-Saqti

      Dia tidak pernah merasai manisan selama 40 tahun meskipun dia inginkan manisan itu setiap hari. Setiap hari dia melihat cermin beberapa kali kerana khuatir mukanya bertambah hitam oleh dosanya.

CINTA ALLAH

      Murid Sirri iaitu Junaid pernah ditanya, 'Apakah cinta?' Junaid menjawab, 'Ada orang kata cinta itu ialah menurut kehendak Allah, yang lain pula berkata cinta itu ialah menurut perintah Allah'. Sirri cuba mensiatkan kulit tangannya tetapi tangannya sangat kurus. Kemudian dia berkata, 'Jika saya katakan bahawa cinta itu membawa saya kepada suatu keadaan yang boleh mengeringkan darah dan dagingku, maka apa yang saya katakan tentang cinta ini tidaklah salah'. Setelah berkata demikian, dia pun pengsan dan mukanya berseri-seri seperti cahaya matahari. Apabila Sirri sedar, dia berkata, 'Orang yang benar² cinta kepada Allah itu jika dipancung, tidak akan merasai sakit. Pada mulanya saya tidak kenal cinta itu tetapi Allah kurniakan kepadaku perasaan itu dan saya dapat rasai sedikit cinta itu sekarang'. 

 TIDAK MAHU DIGANGGU

      Apabila murid² meminta supaya Sirri mendoakan mereka supaya Allah beri ilmu, Sirri memohon supaya mereka diberi ilmu yang mereka tidak perlu lagi menambah ilmu itu dan dia tidak dikacau lagi apabila dia sedang mengenang Allah.

TERPENGARUH DENGAN KATA², AKHIRNYA MENJADI HAMBA ALLAH YANG DICINTAI

      Suatu hari,sewaktu Sirri sedang memberi syarahan, khalifah pun datang dengan segala kebesarannya. Pada masa itu Sirri sedang berkata, 'Makhluk yang paling dimuliakan Allah ialah manusia, namun begitu manusia banyak melakukan dosa'. Khalifah kembali ke istananya. Pada malam itu, khalifah tidak dapat tidur kerana terkenangkan balasan Allah di akhirat kelak. Esoknya, baginda buang pakaian kerajaan dan memakai pakaian Darwisy. Baginda terus berjumpa Sirri dan berkata bahawa syarahan beliau itu telah mempengaruhinya dan menyebabkan baginda ingin membuangkan segala hal keduniaan dan ingin memencilkan diri untuk menuju jalan Allah. Baginda meminta Sirri menunjukkan jalan itu.
      Sirri memberitahu baginda bahawa ada 2 jalan menuju Allah itu. Pertama ialah apa yang diperintahkan oleh Quran seperti sembahyang 5 waktu sehari semalam, memberi zakat, membaca Quran dan lain² perintah agama. Jalan yg kedua ialah jalan yang lebih dekat iaitu membuangkan hal² keduniaan dan menghabiskan masa beribadat kepada Allah, tidak meminta kepada makhluk dan tidak menerima daripada mereka, terima pemberian Allah dan meminta kepada Dia sahaja.
      Setelah mendengar itu, khalifah pun terus pergi ke hutan belantara. Ibunya menangis dan merungut yang Sirri lah yang menyebabkan anaknya menjadi Darwisy dan sekarang tidak diketahui di mana dia. Sirri berkata, janganlah risau, dia akan kembali tidak lama lagi. Setelah khalifah menjadi Darwisy itu kembali ke tempat Sirri, dia pun menjemput ibu dan anak isterinya khalifah itu bertemu dengannya. Melihatkan keadaan  khalifah yang telah jadi Darwisy itu, mereka semuanya menangis dan memujuknya supaya menjadi khalifah semula. Khalifah itu pun cuba hendak lari kerana enggan menurut kata mereka. Isterinya meminta supaya dibawa anaknya seorang bersamanya. Khalifah itu pun menanggalkan pakaian indah anaknya itu dan memakaikan pakaian kasar Darwisy. Apabila ibu kanak² itu melihat pakaian yang buruk itu, maka disambarnya anaknya kembali dan terus mereka kembali ke istana dengan meninggalkan khalifah yang telah jadi Darwisy itu kembali ke hutan belantara.
      Beberapa hari kemudian, ada orang memberi khabar kepada Sirri menyatakan bahawa khalifah itu akan meninggalkan dunia ini tidak lama lagi dan dia meminta Sirri bertemu dengannya. Sirri sampai ke tempat perkuburan di mana dilihatnya Khalifah itu terbaring di atas tanah. Sirri terus duduk dan meletakkan kepala khalifah itu diribanya. Khalifah itu berkata, 'Tuan terlambat sedikit'. Setelah menyebut nama Allah, baginda pun mati. Semasa Sirri pulang ke desanya untuk mengambil alat² untuk mengebumikan baginda itu, di tengah jalan bertemulah dia dengan orang ramai yang membawa alat² yang diperluinya. Mereka berkata bahawa mereka telah terdengar suara ketuhanan yang menyuruh mereka membawa alat² itu menyembahyangkan baginda sebagai hamba kecintaan Allah yang baru sahaja meninggal dunia.

MATI APABILA MENDENGAR NAMA ALLAH

      Sirri bertanya kepada seorang wali Allah, 'Apa nama tuan?'' Dia menjawab, 'Itu'. Ditanya lagi, 'Apa tuan makan?' Jawabnya, 'Itu'. Segala soalan dijawabnya serupa itu juga. Sirri bertanya, 'Apa maksudmu dengan 'itu'? Jawab wali Allah itu, 'Aku maksudkan Allah s.w.t'. Setelah mendengar nama Allah, Sirri menjerit dan terus meninggal dunia.

Kata² Sirri:

1. Orang yang kenal Allah itu akan membuang dunia. Bersahabat dengan dunia itu, merosakkan kerohanian.

2. Ingat Allah dan buangkan dunia. Itulah jalan kerohanian. Hiduplah di dunia ini untuk bekal ke akhirat. Ketahuilah bahawa orang cinta kepada Allah itu tidak tamak kepada dunia.

3. Tempoh beribadah itu ialah sebaik-baiknya di masa muda, dan hendaklah jauhkan diri dari jiran-jiran yang kaya dan orang alim yang menjual ayat² Allah untuk mendapatkan wang

4. Apabila doktor itu sendiri sakit, kepada siapa kita hendak berubat? Apabila Khidr terhuyung hayang dalam perjalanan, kepada siapa kita harapkan bimbingan?

Kisah Mansur bin 'Ammar

HORMAT NAMA DAPAT KURNIAAN ILMU

       Satu hari dia jumpa sekeping kertas di jalanraya. Pada kertas itu tertulis nama Allah. Oleh kerana dia tidak mahu kertas itu dipijak² oleh orang yang lalu lalang, maka diambilnya kertas itu, dilipatnya dan ditelan. Pada malam itu, dalam mimpinya, dia mendengar suara ketuhanan berkata, 'Oleh kerana kamu menghormati nama Kami, maka Kami akan bukakan pintu ilmu kepada kamu'. Dengan kurniaan Tuhan, dia jadi orang alim dan dapat memberi syarahan dengan berkesan sekali.

MEMBELI DOA DENGAN 4 DIRHAM

      Seorang kaya memberi 4 dirham kepada khadamnya untuk membeli barang di pasar. Dalam perjalanan dia teringat syarahan Mansur. Dia berkata, 'Adakah orang yang mahu memberikanku 4 dirham sebagai tukaran 4 doa untukku persembahkan kepada Allah bagi pihaknya?' Khadam itu memberi 4 dirham itu kepada Mansur dan meminta dia berdoa untuk mendapatkan 4 perkara baginya. Mansur bertanya kepadanya, 'Apakah 4 perkara itu?' Khadam itu menjawab, 'Pertama, minta saya dibebaskan; kedua, minta tuanku diberi ampun kerana dosanya; ketiga, sebagai ganti 4 dirham ini saya dapat 4 dirham yang lain dan keempat, Allah beri rahmatNya kepadaku, kepada tuan dan segala hadirin di sini'.
      Mansur pun berdoa memohon 4 perkara itu. Apabila khadam itu sampai ke rumah, tuanya marah kepadanya kerana terlambat tetapi apabila khadam itu menceritakan segala yang berlaku tadi, maka tuannya itu pun tidak jadi marah bahkan dia terpengaruh oleh kata² khadamnya itu. Ketika itu, dia terasa hendak bertaubat. Dia pun sujud dan terus meminta ampun ke hadrat Tuhan. Kemudian, khadam itu dibebaskan dan dengan sukacitanya diberi hadiah 400 dirham pula. Dalam mimpinya, orang kaya itu mendengar suara ketuhanan berkata, 'Kamu telah memberi khidmatmu, sekarang Kami akan beri kurnia kepadamu. Terimalah rahmat Kami kepadamu, khadammu itu, kepada Mansur bin 'Ammar dan pengikut² dia'.

Kata² Mansur:

1. Barangsiapa ingin berjumpa dengan ahli dunia akan berjauhan dengan Allah.

2. Kebersihan hati dicapai dengan 4 latihan, bercampur dengan aulia Allah, mengkaji Al Qur an, sembahyang di waktu malam, mengeluarkan airmata pada masa sembahyang subuh.

3. 'Anak² kamu dan harta benda kamu adalah musuh² kerohanian kamu', demikian firman Allah dalam Al Qur an.

4. Orang yang lari dari makhluk menuju Allah adalah hamba sejati.

Kisah Abu 'Uthman Al-Hiri

TOLONG KELDAI DAPAT RAHMAT

     Satu hari, semasa masih kanak², dia pergi ke sekolah ditemani oleh 4 orang khadam. Dia membawa bekas dakwat yang diperbuat daripada emas dan memakai pakaian yg indah. Di tengah jalan, dia melihat seekor keldai yang luka di bahagian belakangnya dan burung² mematuk tempat luka itu. Keldai itu sudah hampir² mati. Al-Hiri terus membuka pakaiannya dan membalut luka keldai itu. Keldai itu memandangnya dengan perasaan terima kasih dan bermohon kepada Allah. Serta merta rahmat Tuhan melimpahi dia. Semasa dalam perjalanan pulang, dia tidak sedarkan diri. Dia adalah pelajar di Ma'adz. Setelah dia maju sedikit dalam bidang kesufian, dia pun meninggalkan harta kekayaannya dan rumahtangga serta ibubapanya. Seterusnya dia belajar dari seorang sufi agung di zamannya bernama Syeikh Syuja' Kirmani dan Abu Al-Hafs.

TIDAK PEDULI PADA AJAKAN DAN HALAUAN

      Dia sangat terkenal dalam mengawal diri dan tidak pernah marah. Satu hari, ada seorang mengajaknya pergi ke jamuan makan. Apabila Al-Hiri datang, dia pun dihalau dengan kata² yg kasar. Kemudian dia diajak lagi. Dia datang, tetapi dihalau lagi. Dia pun pulang. Dia diajak lagi. Dia pergi tetapi dihalau pula. Dia pulang. Tidak kurang 30 kali perkara ini berlaku tetapi dia tidak peduli. Akhirnya, orang itu menjadi murid dia dan menghormati dia. Murid itu bertanya bagaimana dia dapat menahan sabar sedemikian rupa? Al-Hiri menjawab, 'Sebenarnya tidak ada yang luar biasa tentang perkara itu. Apa yg sy buat, anjing pun boleh buat. Apabila diajak, dia datang, apabila dihalau dia pergi. Ini bukanlah satu tanda kewalian yang besar'.

 SYUKUR KERANA KASIH ALLAH

      Satu hari Al-Hiri sedang berjalan. Apabila sampai di sisi sebuah rumah dengan tidak sengaja, orang rumah itu membuang sebakul abu dan jatuh ke atas kepala dia. Murid² dia ingin membalas kesalahan itu tetapi Al-Hiri melarang mereka dan dia terus berdoa, katanya, 'Ouh Tuhan! Saya ini berdosa dan patut benar api yang bernyala itu menimpai saya tetapi Engkau dengan kasih sayang telah menjadikan abu itu sejuk. Saya bersyukur kepada Engkau kerana kasihMu itu'.

JANGAN BERGANTUNG KEPADA USAHA SENDIRI

      Satu hari, di tengah jalan, dia bertemu dengan seorang yang sedang mabuk dan memainkan alat muzik. Al-Hiri menangkapnya dan membawanya ke rumah. Orang muda itu dimandikan dan diberi pakaian orang sufi. Kemudian Al-Hiri berdoa, 'Saya telah melakukan apa yang terdaya oleh saya, sekarang Engkau pulalah melakukan sesuatu'. Tiba² dengan kurnia Allah, orang itu mengalami 'mabuk Allah' dan mencapai taraf kerohanian yang tinggi. Bila 'Uthman Al-Maghrabi melihat ketinggian rohaniah orang muda itu, dia pun berasa kagum. Dia sendiri tidak mencapai taraf seperti itu setelah berlatih selama 20 tahun, padahal orang muda itu mencapainya dalam seketika sahaja dengan izin Allah. Al-Hiri berkata, 'Oleh itu, janganlah bergantung kepada usaha sendiri tetapi carilah kurniaan Allah dengan hati yang suci'. Mereka berdua membau mulut orang muda itu dan masih lagi ada bau arak.

LIDA SEBUT ALLAH, FIKIRAN MELAYANG


      Ada orang bertanya kepada Al-Hiri, 'Tuan, lidahku menyebut Allah tetapi fikiranku melayang entah ke mana. Apa patut saya buat?' Al-Hiri menjawab, 'Syukurlah kepada Allah kerana kurnianya dapat kamu menyebut nama Dia. Allah akan kurniakan pula kepada anggota² yang lain jika kamu bersyukur kepada Allah'.

Kata² Al-Hiri:

1. Adalah memang keadaan cinta yang membuat kita melupakan segala yang lain kecuali Yang Dicinta.

2. Kebahagiaan di dunia ini merampas kebahagiaan di akhirat.

3. Jangan takut kepada sesiapapun atau mengharap sesuatu dari sesiapapun.

4. Lebih baik membuangkan keduniaan.

Wednesday 15 April 2015

Kisah Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad Al-Khawas

TIDAK MAHU DIGANGGU

      Satu hari Khwaja Khidr ingin hendak duduk bersama dengan Abu Ishaq. Dia tidak mahu menerimanya kerana khuatir ibadahnya akan terganggu. Dia berkata, 'Sudah cukup Allah sahaja bagiku dan aku tidak mahu yang lain lagi, sama ada ianya malaikat atau manusia'.

TIDAK DUDUK BERSAMA MANUSIA

      Abu Ishaq berkata, 'Satu hari saya terlihat seorang perempuan sedang berlari dengan kepalanya tidak bertudung dan dia berlari seperti orang dalam mabuk. Saya suruh dia supaya lebih berhati-hati dan menudung kepalanya. Perempuan itu berkata, 'Abu Ishaq, lebih baik tuan tutup mata tuan itu'. Saya menjawab, 'Orang yang cinta tidak pernah menutup matanya'. Perempuan itu berkata lagi, 'Sebagaimana orang cinta itu tidak menutup matanya, maka orang yang mabuk Allah itu juga tidak peduli pakaiannya dan menudung kepalanya'. Saya bertanya lagi, 'Dari mana puan dapat mabuk seperti ini?' Dia menjawab, 'Abu Ishaq, adakah ada yang lain lagi daripada DIA? Saya tidak lihat yang lain kecuali DIA di dunia dan di akhirat'. Saya ajak dia duduk bersama saya. Dia berkata, 'Saya tidak duduk bersama manusia tetapi hanya bersama Allah yang maha Esa dan Kuasa'.

 FANA'

      Satu hari, Abu Ishaq ditemani oleh seorang muridnya sedang melalui sebuah hutan. Dia duduk sebentar untuk sembahyang. Murid itu melihat seekor singa datang menuju Abu Ishaq yang sedang khusyuk bersembahyang itu. Murid itu terus memanjat pokok kerana takut. Singa itu datang dan mengelilingi Abu Ishaq, menciumnya dan kemudian pergi dari situ. Abu Ishaq langsung tidak peduli kepada singa itu. Setelah singa itu pergi jauh, datang seekor nyamuk menggigit Abu Ishaq. Abu Ishaq menjerit. Muridnya itu bertanya kepada dia, 'Kenapa tuan menjerit apabila digigit nyamuk? Padahal tuan tidak peduli langsung pada singa?' Abu Ishaq menjawab, 'Pada masa singa itu datang, aku sedang fana' dalam Allah dengan kehendak Allah tetapi bila nyamuk itu menggigit aku, diriku telah ada kembali pada ketika itu'.

DIJAGA OLEH 700 MALAIKAT

      Satu malam datang seekor singa menuju kepada Abu Ishaq. Dia berasa sedikit gelisah. Tiba-tiba terdengar olehnya satu suara berkata, 'Kenapa kamu gelisah? Kami telah beri 700 ratus malaikat menjagamu sepanjang masa'.

URUSAN ALLAH

      Abu Ishaq berkata, 'Satu hari tatkala saya sedang berjalan melalui sebuah kebun di hutan belantara, saya terlihat sepohon delima. Saya ambil dan makan buah delima itu. Tetapi apabila terasa olehku yang delima itu masam, saya pun membuangnya. Kemudian saya pergi dari situ. Saya lihat pula seorang tua yang lemah dah uzur. Ulat sedang memakan dagingnya dan lalat menggigit luka-luka pada badannya. Saya pergi berjumpa dengannya dan bertanya sama ada dia mahu saya doakan agar sembuh tetapi dia tidak mahu. Saya bertanya, 'Kenapa tidak mahu sihat?' Dia berkata, 'Bagaimana saya hendakkan senang sedang DIA hendakkan saya ini sakit? Ini tidak patut kerana saya telah menyerah bulat kepada DIA sahaja'. Saya bertanya lagi, 'Bolehkah saya halaukan lalat² itu?' Dia menjawab, 'Wahai Abu Ishaq! Mula² bersihkan hatimu dari hendakkan delima yang manis, kemudian inginkan saya sihat. Mula² bersihkan hati dan kemudian bersimpati dengan saya'. Saya bertanya lagi, 'Macamana tuan tahu nama saya dan saya hendakkan delima itu?' Dia menjawab, 'Orang yang mengenal Allah, tidak ada satupun yang terlindung daripadanya'. Saya bertanya lagi, 'Tidakkah tuan berasa sakit lalat dan ulat itu memakan daging tuan?' Orang tua itu menjawab, 'Semua itu adalah urusan Allah, oleh itu saya tidak berasa sakit'.

PENJAGA HAWA NAFSU

      Berkata Abu Ishaq, 'Satu hari ada orang berkata kepada saya bahawa ada seorang Kristian berumur 70 tahun yang tinggal di tempat bernama Rum. Orang Kristian ini duduk berkhalwat seorang diri. Saya pun pergi berjumpa dengan orang tersebut. Setelah sampai ke tempatnya, dia pun memandang kepada saya dan berkata, 'Saya ini bukan seorang Kristian tetapi adalah penjaga anjing. Anjing itu ialah hawa nafsu saya sendiri. Abu Ishaq, kenapa tuan bersusah payah datang kepada saya? Saya ingin memberi satu nasihat kepada tuan. Janganlah pergi mencari manusia lagi. Carilah diri tuan sendiri dan bila tuan telah menjumpai diri tuan sendiri, maka awasilah nafsu tuan itu kerana ianya menukarkan bentuknya 360 kali sehari untuk memutarbelitkan tuan'.

5 AMALAN UTAMA

       Abu Ishaq berkata, '5 amalan untuk meninggikan darjat rohaniah iaitu membaca Quran dan memikirkan ayat²nya, jangan makan sampai kenyang, berjaga malam, menangis dalam sembahyang di subuh hari, bergaul dengan orang beragama dan aulia Allah. Yang paling berkesan ialah menangis dalam sembahyang subuh'.

ALLAH SENTIASA BERSAMA MANUSIA

       Abu Ishaq mengajarkan, 'Sepatutnya si sufi itu hendaklah mencapai semua peringkat tasauf dan jangan hanya bergantung kepada satu peringkat sahaja'. Sambil menampar-nampar dadanya, Abu Ishaq selalu berkata, 'Saya mencari Allah yang sentiasa berada bersama saya'.

Kisah Abu Muhammad Royam

AKIBAT TEGURAN DARI KANAK² LELAKI

      Royam berkata, 'Saya sedang berjalan di lorong bandar Baghdad. Saya berasa dahaga dan terus pergi ke sebuah rumah meminta air. Datang seorang kanak² lelaki membawa air. Apabila dia melihat saya, dia berkata, 'Ah! Seorang sufi minum air di siang hari'. Semenjak itu saya tidak lagi minum air di siang hari.

ALLAH PELAKU SEGALA PERBUATAN

      Satu hari, segerombolan penyamun telah menangkap sepuluh orang daripada anak² lelaki dia. Mereka bunuh sembilan orang anaknya. Royam hanya senyum sambil memandang ke langit. Dia tidak melawan atau pun berdoa kepada Allah. Apabila mereka hendak membunuh anaknya yg ke sepuluh itu, anak itu berkata, 'Kenapa ayah tidak membantah terhadap pembunuhanku ini?' Royam menjawab, 'Allah itu pelaku segala perbuatan dan Dia melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Aku ini siapa? Aku hanya hamba dan hamba tidak berhak mempersoalkan perbuatan Tuannya'. Ketua penyamun itu terpesona oleh percakapan dia itu, lalu berkata, 'Sekiranya tuan berkata demikian semenjak mula lagi, tentulah saya tidak membunuh anak² tuan itu'. Anak yang seorang itu pun dibebaskan.

Kata² Royam:

1. Allah berfirman bahawa Dia menjadikan manusia untuk menghambakan diri kepadaNya bukan untuk tujuan yang lain.

2. Tanda mencapai kehampiran dengan Allah itu ialah merasai tidak seronok memandang yang lain kecuali Allah.

3. Meninggalkan dunia itu adalah zuhud paling tinggi.

4. Allah berfirman bahawa semakin kaya orang itu semakin jauh dia dari Allah.

5. Wali Allah yang menghormati orang kaya akan hilang satu pertiga dari kesufiannya.

6. Jauhkan diri dari majlis orang kaya² seperti menjauhkan diri dari orang yg telah tidak bernyawa lagi.

7. Barangsiapa mencari perlindungan dari yang bukan Allah, lama kelamaan akan menderita di tangan yang bukan Allah itu.

8. Dunia ini menghalang kita dari memasuki 'yang kekal'.

9. Dalam berseorangan itu menangislah sambil berdoa kepada Allah agar hati menjadi bersih.

Kisah Abu Abdullah Muhammad bin Khafif

UJIAN TAWAKKAL

      Abu Abdullah Muhammad pergi naik haji ke Mekah. Dia hanya membawa sebuah timba dan seutas tali untuk digunakan mengambil air. Semasa dia melalui belantara dilihatnya banyak rusa sedang minum air di telaga. Apabila dia hampir ke telaga itu, rusa² itu pun lari dan air telaga itu turun ke bawah. Dia cuba mengambil air itu tetapi tidak berjaya. Dia berdoa meminta air itu dinaikkan sebagaimana air itu naik semasa rusa² itu minum. Terdengar suara berkata, 'Kami tidak mahu berbuat demikian kerana kamu bergantung kepada timba dan tali dan tidak bergantung kepada Kami'. Dibuangnya timba dan tali itu. Tiba² air itu pun naik ke atas. Dia pun minum sepuas hati.
      Setelah sampai ke Mekah, peristiwa itu diceritakannya kepada Al-Junaid. Al-Junaid menjawab, 'Allah hendak menguji tawakkalmu kepadaNya. Jika tuan tunggu lama lagi, nescaya air itu akan melimpah keluar'.

MINTA NASIHAT

      Abu Abdullah Muhammad berkata, 'Saya mendapat tahu di Mesir ada dua orang aulia Allah, seorang belia dan seorang tua. Mereka ini duduk di dalam sebuah bilik bertafakur semenjak beberapa tahun yang lalu. Saya pergi ke tempat mereka dan memberi salam tetapi mereka tidak menjawab salam saya itu. Saya memberi salam kali yang kedua. Tetapi tidak juga mereka menjawab salam. Kali yang ketiga saya berkata, 'Dengan nama Allah, saya mohonkan agar tuan terima salam saya'. Dengan itu, orang muda itu mengangkatkan kepalanya dari tafakur dan berkata, 'Umur kami ini pendek dan sebahagian besarnya telah berlalu. Hanya sedikit lagi yang tinggal dan umur yang sedikit lagi ini akan kami gunakan sepenuhnya. Kami fikir tuan tidak peduli tentang mati tuan. Jika tuan pedulikan tentulaH tuan tidak akan membuang masa datang kepada kami dan memberi salam'. Setelah berkata demikian, orang muda itu pun menundukkan kepalanya dan terus bertafakur.
      'Pada masa itu saya sangat lapar tetapi mendengarkan kata²nya itu lapar saya pun hilang. Saya duduk dengan mereka dan bersembahyang subuh dan asar dengan mereka. Selepas itu saya minta orang muda itu mengajar saya. Katanya, 'Kami ini orang hina. Tidak layak kami menasihatkan sesiapa. Sebenarnya kami hendakkan pengajaran'. Apabila saya suruh juga dia berkata sesuatu, dia berkata, 'Bergaullah dengan orang yang menyedarkan tuan kepada Allah, yang tidak mengajar dengan perkataan tetapi dengan amalannya menyebabkan tuan sempurna dalam kerohanian tuan'.
      Abu Abdullah Muhammad berkata, 'Si sufi janganlah melawat raja atau berjumpa dengan raja (jika raja itu datang kepadanya)'.

Tuesday 14 April 2015

Kisah Abu Bakar Al-Katani

WANG MENGGANGGU IBADAH

      Al-Katani berkata bahawa seorang sufi tinggal bersama dia tetapi dia tidak suka dengan dia. Walau bagaimanapun, dibiarkannya sahaja dan dilayannya dengan baik. Satu hari dia pergi membawa 200 dirham kepada sufi itu. Dilihatnya dia sedang solat. Wang itu diletakkan di bawah sejadah itu sebagai hadiah. Wang itu didapatinya secara halal.
      Sufi itu marah dan berkata, 'Adakah tuan mahu saya menjual fakir saya ini dengan harga 200 dirham padahal telah saya beli dengan harga 20 ribu dirham (maksudnya dia telah menjadi fakir setelah membuangkan harta bernilai 70 ribu dirham)?' Adakah tuan mahukan saya membuang waktu seronok dalam sembahyang ini kerana hendakkan wang 200 dirham (maksudnya dia hendak menyelewengkan fikirannya dari mengenang Allah dan memikirkan wang sahaja)?'

LIHATLAH TUAN KAABAH

      Al-Katani sedang duduk di samping seorang murid dia. Murid itu terbaring sedang menghadapi maut. Tiba² dibukanya matanya dan melihat Kaabah. Datang seekor unta dan menyepak matanya, lalu biji matanya itupun terkeluar. Terdengar suara ketuhanan berkata, 'Kami memberinya kurnia untuk melihat Kami tetapi dia bersalah kerana membuka matanya pada masa itu dan melihat Kaabah (tidak melihat tuan Kaabah itu). Maka oleh itu Kami hukum dia'.

BUANG HAWA NAFSU DARI HATI

      Seorang bertanya kepada Al-Katani, 'Bagaimana hawa nafsu itu dibuang dari hati?' Dia menjawab, 'Dengan berdoa 40 kali yang berikut: 'Wahai Tuhan! Tidak ada yang kekal kecuali Engkau. Hidupkanlah hatiku ini dengan sinaran nur Engkau'.

Kata² Al-Katani:

1. Apabila hamba itu berdoa, Allah bukakan pintu keampunan kepadanya.

2. Jasmani dalam dunia ini tetapi rohani di akhirat.

3. Ada bayu yg bertiup pada pagi hari dengan izin Tuhan dan bertindak sebagai rasulNya. Bayu itu membawa semua rindu hati, taubat dan tangisan hamba kerana Allah dan mempersembahkannya ke hadrat Ilahi.

Kisah Abdullah Manazil

MATI SEBELUM MATI

      Manazil memberitahu Abu Ali Al-Thaqafi supaya sentiasa sedia untuk mati. Abu Ali berkata, 'Tuan juga hendaklah bersedia'. Mendengarkan itu, dia pun berbaring dan meletakkan tangannya di bawah kepalanya dan berkata kepada Abu Ali Al-Thaqafi yang dia telah mati sebenarnya. Dia pun mati. Al-Thaqafi pun sedar tentang kebesaran Manazil itu.

KESAL MEMBUKA MULUT (BERCAKAP)

      Ada orang bertanya kepada Manazil tentang sesuatu masalah. Dia terangkan tetapi orang itu mahu lagi keterangan yg lain. Dia berkata, 'Saya berasa kesal membuka mulut (kerana dengan itu tidak dapat menyebut Allah) dan sekarang kamu suruh saya buka mulut ini lagi'.

Kata² Manazil:

1. Terkutuklah orang yang hanya mencari dunia sahaja.

2. Cintalah kepada Dia yang mencintai kamu dengan sebenar-benar cinta.

3. Sopan santun yang sebenarnya itu ialah kamu rasai Allah beserta dengan kamu dan apabila bercakap, kamu merasai Allah itu ada di hadapan kamu.

4. Fakir itu ialah meninggalkan dunia, sentiasa mengenang Allah dan bersedia untuk akhirat.

5. Jangan megah dengan ibadahmu.

6. Orang yang menyangka dirinya telah hampir dengan Allah adalah sebenarnya jauh dari Allah.

Kisah Abu Al-Hussein Al-Nuri

      Seorang buta sedang duduk di tepi jalan sambil menyebut nama Allah. Al-Nuri bertanya kepadanya, 'Apakah yang kamu tahu tentang Allah? Jika kamu tahu Dia, bagaimana pula kamu hidup berpisah dengan Dia?' Setelah berkata demikian, Al-Nuri pun masuk ke dalam keadaan dzauk (mabuk Allah) dan terus pengsan. Setelah sedar, dia terus lari ke dalam hutan dan di sana kakinya luka² akibat kena tunggul buluh. Darah yang keluar dari kakinya itu bercucuran atas tanah dan darah itu menulis nama Allah. Dia pun dibawa orang ke rumahnya dalam keadaan tidak sedar diri. Dalam masa itu juga dia sentiasa menyebut 'La ila ha illal Lah', dan dalam keadaan demikian itu juga dia pun menghembuskan nafas terakhir.

Kata² Al-Nuri:

1. Dunia ini ialah tempat mengabdikan diri kepada Allah dan untuk berdampingan denganNya.

2. Ada beberapa orang wali Allah dalam dunia yang mati jika berlekang sebentar sahaja dari Allah. Aulia Allah ini, makan, tidur, bercakap dan bersama dengan Allah sahaja dan meminta kepada Allah sahaja.

3. Murid (dalam tariqat) itu ialah orang yang tidak memandang harta kekayaan dunia jika diberi kepadanya.

4. Orang sufi itu tidak terikat kepada satu apa pun. Kesufian itu bukanlah satu ajaran yang rasmi ataupun ilmu duniawi. Jika ianya satu upacara maka ianya perlu sedikit latihan, jika ianya satu pelajaran, maka ianya perlu dibimbing. Sebenarnya kesufian itu sesuai dengan akhlak seseorang.

Kisah 'Amru bin 'Uthman Al-Makki

JALAN KEROHANIAN

      'Amru ini ialah seorang daripada guru Al-Junaid. Suatu hari dia menulis sepucuk surat kepada Al-Junaid, Syibli dan Hariri yang berbunyi, 'Orang yang berani masuk ke dalam jalan kerohanian (tariqat sufi) ini ialah orang yang telah mengetahui yang dia akan menempuh dua ribu batang sungai yang amat deras airnya dan dua ribu buah gunung berapi sebelum dia mencapai 'kenal diri'. Barang siapa yang tidak berani menghadapi percubaan itu, maka lebih baik jangan cuba mengatakan dirinya sebagai orang yang mencari makrifatullah'.
      Apabila surat dari 'Amru yg berada di Mekah itu sampai kepada aulia Allah yang berada di Iraq, mereka mentafsirkan bahawa dua ribu buah gunung api itu sebagai keadaan² bukan wujud yang mesti ditempuh oleh orang dalam perjalanan itu dan dua ribu batang sungai itu sebagai wilayah wujud yang akan dimasuki supaya sampai kepada kehampiran dengan Allah. Mendengarkan ini, Al-Junaid berkata bahawa dia hanya telah menempuh satu halangan itu sahaja. Hariri berkata dia hanya baru berjalan tiga langkah sahaja. Sybili berkata bahawa mereka berdua itu telah beruntung juga kerana dia sendiri belum pun masuk ke dalam satu daripada keadaan² tersebut.

Kisah Abu Bakar Al-Wasti

DOA DARI BINATANG

      "Satu hari saya pergi ke kebun untuk sembahyang dan waktu itu seekor burung hinggap di kepala saya. Saya pun menangkap burung itu dan memegangnya. Melihat burung itu tertangkap, seekor burung lain yang sedang hinggap di sepohon pokok yang berhampiran terus menangis. Burung yang saya pegang itu pun saya lepaskan. Tak semena-mena burung itu tidak terbang tetapi terus jatuh lalu mati. Saya sungguh kasihan dan kesal melihat peristiwa itu.

      Setelah saya kembali ke rumah, saya pun jatuh sakit dan berterusan sakit itu selama satu tahun. Saya memohon kepada Nabi untuk menyembuhkan penyakit saya kerana amal ibadah saya terganggu. Saya bermimpi melihat Nabi dan baginda berkata, 'Penyakit itu disebabkan oleh doa rakan burung yang mati itu. Engkau yang menyebabkan burung itu mati. Oleh itu, engkau terpaksa menerima hukuman'.

      Setelah peristiwa itu, seekor kucing melahirkan beberapa ekor anak di bilik saya di mana saya terlantar sakit. Saya lihat seekor ular datang dan menangkap seekor anak kucing itu. Saya ada kayu di samping saya. Saya pukul ular itu. Anak kucing itu pun terselamat dan ular itu lari. Ibu kucing itu melihat semua itu berlaku. Ia lari kepada anaknya yang terselamat itu. Kucing itu mengalir airmata sambil melihat kepada saya seolah-olah berterima kasih kepada saya. Dari waktu itu saya pun sembuh dan sihat semula. Dapatlah saya beribadah seperti sediakala. Lagi sekali saya mimpi melihat Nabi dan baginda memberitahu saya bahawa sebab saya sembuh itu ialah kerana doa kucing itu untuk saya sebab menyelamatkan anaknya itu dan doa kucing itu dikabulkan Allah'.

Kata² Al-Wasti:

1. Di jalan Allah tidak ada dunia, di jalan dunia tidak ada Allah.

2. Makin tinggi pengalaman kerohanian itu, makin tidak berfaedah akal fikiran.

3. Ibadat yang paling baik itu ialah menggunakan masa.

4. Orang yang beramal ibadah untuk hendak mendapatkan syurga menganggap ia beribadah kerana Allah padahal dia bertujuan untuk memuaskan nafsunya.

5. Tidak ada orang yang dapat melawan Allah.

6. Buangkan dunia. Dunia itu tidak bernilai kepada Allah.

7. Orang yang mengenal Allah tidak mahu berdampingan dengan sesiapa atau bercakap dengan sesiapa.

8. Tidak ada racun yang paling besar daripada berbangga dengan ibadah sendiri.

9. Amal yang dilakukan dengan hati itu lebih bernilai daripada amal yang dilakukan dengan anggota badan.

10. Orang yang cinta kepada Allah, badannya bertambah kurus.

11. Makanan yang paling bagus dalam dunia ialah mengingat Allah.

Kisah Abi Ishaq Ibrahim bin Syaharyar Syaibani

KERANA KEDENGKIAN MENDAPAT MALU

      Satu hari Syeikh Ishaq sedang memberi syarahan. Di antara orang ramai yang hadir itu, ada seorang guru yang alim. Guru ini memandang bahawa Syeikh Ishaq bukanlah alim benar kerana dia menunjuk-nunjuk (riak). Tetapi orang menghargai syarahan beliau dan menghormati beliau. Fikirnya, 'Bagaimana ini?' Syeikh Ishaq membaca fikirannya dan menunjuk kepada lilin (kandil) yang nyala dihadapannya. Kandil ini ialah sebuah mangkuk kaca yang diisi air. Atas air itu dibubuh lapisan minyak. Di atas minyak ini dibubuh sumbu. Inilah yang digunakan sebagai lampu.
      Syeikh Ishaq berkata kepada lampu atau kandil itu, 'Saya baru sahaja mendengar percakapan antara air dengan minyak. Kata air kepada minyak, 'Akulah makhluk yang paling berguna sekali di dalam dunia ini. Jika aku tidak dijadikan, semua orang akan mati kehausan. Tetapi kamu tidak ada sifat seperti aku itu. Kenapa pula kamu duduk di atas kepalaku?' Minyak menjawab, 'Kamu sangat sombong dengan sifatmu itu, aku memang hina. Pandanglah dahulu leluhurku (asal kedatanganku). Mula² aku sebagai biji benih dalam tanah. Kemudian aku tumbuh sebagai pokok. Pokok itu ditebang dan diperah. Dan sekarang aku membakar diriku untuk menerangi orang lain. Walaupun begitu aku tidak peduli derita yang aku tanggung kerana untuk faedah orang ramai. Oleh itu, Tuhan yang Maha Pengasih telah memberi kurnia kepadaku dengan kemuliaan yang kamu rungutkan itu'.
      Orang alim itu pun malu. Dia terus menjatuhkan dirinya kepada kaki Syeikh Ishaq dan meminta maaf kerana dengkinya terhadap Syeikh Ishaq itu.

Kata² Syeikh Ishaq:

1. Seseorang itu tidak akan dapat menikmati lazat menyembah Allah jika dia tidak membuang rasa lazat terhadap apa² yang ada di dunia ini.

2. Tempat syaitan itu dalam darah manusia.

3. Orang yang mencari nafkah dengan haram, Allah tidak akan menerima doanya.

4. Kemuliaan itu bukanlah terletak dengan memakai pakaian yang baik² tetapi adalah dalam mengingati Allah dan mematuhi perintahNya.

5. Orang yang mencari kemuliaan dan harta benda keduniaan dan menghiaskan dirinya sahaja adalah orang yang mati rohaniahnya.

6. Orang yang sentiasa mengkaji Al Qur an, akan dilimpahi dengan kurniaan Allah.

7. Kepadanya dinding dan perempuan itu sama sahaja. Oleh itu, bagaimana soal kahwin timbul di hatinya.

8. Sembahyang tengah malam itu walaupun dibuat dengan pendek adalah sangat memberi kesan dan pengaruh.

Kisah Abu Al-'Abas Al-Qassab

Kata² Al-'Abas:

1. Sesiapa yang mencari sesuatu di samping Tuhan, sebenarnya menyembah dua Tuhan.

2. Jika Allah membawa saya masuk kepada tidak wujud (fana') dan kemudian dipakaiNya saya dengan pakaian wujudNya dan kemudian jika saya lakukan satu ibadat saya kepadaNya, maka ibadat itu adalah lebih bernilai daripada semua ibadat hamba² Allah dalam alam ini semuanya.

3. Langkah pertama dalam tariqat ialah cuba melampaui semua makhluk.

4. Ada pahlawan² dalam tariqat dan bagi mereka tidak ada tempat di dalam dunia ini dan di akhirat juga.

Kisah Mumsyad Ad-Dinuri

MOHON TERUS KEPADA ALLAH TANPA PERANTARA

      Seorang darwisy meminta Ad-Dinuri berdoa untuknya kepada Allah. Dia berkata, 'Pergilah kepada Allah dan terus memohon kepadaNya, kamu tidak perlu perantara'. Darwisy itu bertanya, 'Di mana Dia?' Dia menjawab, 'Apabila kamu diri kamu tidak ada (fana'), di situlah Dia'. Mendengarkan itu, darwisy itu pun pergi ke tempat yang lengang dan di sana dia berdoa. Allah kabulkan permohonannya.
       Satu hari, pekat tempat Ad-Dinuri tinggal itu telah dibanjiri air. Ad-Dinuri melihat Darwisy itu sedang duduk di atas tilam di permukaan air. Ad-Dinuri terperanjat dan bertanya bagaimana dia dapat berbuat demikian hingga tidak ditenggelami air. Darwisy itu menjawab bahawa itu adalah hasil kurniaan Tuhan dan kerana patuh kepadaNya. Allah telah jadikan dia dapat memohon terus kepadaNya tanpa perantara lagi dan Allah kabulkan doanya terus langsung. Semenjak itu Ad-Dinuri berhati-hati dan tidak pernah bersikap kasar kepada orang² Darwisy.

TINGKATAN ORANG BERIBADAT

      Ad-Dinuri berkata, 'Ada beberapa kelas orang beribadat. Ada yang menyembah diri sendiri, ada yang menyembah hartanya, ada yang menyembah isterinya, ada yang menyembah anak pinak, ada yang menyembah jawatan dan pangkat dan ada pula yang menyembah sembahyang, puasa dan berjaga malamnya. Seseorang itu mesti menyembah sesuatu. Semua itu adalah penyembah diri sendiri dan menurut kehendak diri itu. Mereka pergi ke mana, mereka membawa dirinya (ego) itu. Orang yg benar² beribadat itu tidak menurut nafsunya dan sentiasa mengawal nafsu itu.

HILANGKAN KEBANGGAAN PADA DIRI

      "Saya selalu bertemu dengan wali Allah selepas mengenepikan semua kebanggaan saya terhadap ilmu dan ibadat saya. Saya dengar ucapan wali itu dengan berhati-hati. Saya pun mendapat banyak manfaat dengan bergaul dengan wali² Allah. Jika kamu pergi kepada mana² wali Allah dengan kebanggaan dan kesombongan walaupun sedikit dalam hati kamu, maka kamu tidak akan mendapat apa² faedah darinya. Menuju jalan kerohanian itu bukanlah mudah. Jalan tersebut boleh ditempuH secara beransur-ansur dan penuh pula dengan godaan dan dugaan", kata Ad-Dinuri.  

Kisah Abu Hafs Al-Hadad

Kata² Al-Hadad:

1. Dunia ini ialah sebuah rumah yang sentiasa ada dosa terhadap Allah.

2. Fakir itu adalah satu cara yang membawa seseorang itu hampir kepada Allah.

3. Janganlah bergantung kepada ibadat dan latihan kerohanianmu itu tetapi bergantunglah kepada rahmat Allah.

4. Barangsiapa yang rindu kepada Allah akan sentiasa melihatNya.

5. Orang yang suka dipuji itu adalah sia² dalam sukacitanya itu.

6. Dosa itu membawa kepada bidaah.

7. Orang yang cuba mengenal Khaliq melalui makhlukNya adalah buta. Sepatutnya dia mengenal makhluk melalui Khaliq.

8. Berada sentiasa di ambang pintu Tuhan agar pintuNya itu terbuka kepadamu.

9. Berharaplah kepada Allah, seperti harapnya pengemis kepada sedekah orang kaya.

Kisah Syah bin Syuja' Al-Kirmani

PANDANG ALLAH KETIKA TIDUR

      Selama 40 tahun Al-Kirmani tidak tidur. Apabila dia rasa mengantuk dia ambil garam dan dibubuhnya ke dalam matanya. Pada suatu hari, dia tertidur. Dalam tidur itu, terlihat olehnya Allah. Dia berkata, 'Ouh Tuhanku! Aku cariMu selama ini tanpa tidur tetapi Engkau datang dalam tidurku'. Suara ketuhanan itu berkata, 'Inilah hasil dari engkau berjaga selama 40 tahun itu'. Semenjak itu dia ingin tidur dan berharap mendapat pandangan itu lagi. Dia sangat suka tidur. Bahkan katanya, jika seluruh dunia ini kepunyaannya, hendak rasanya menukarnya dengan tidur sebentar agar dapat 'memandang' Allah. Dia selalu menyanyi begini - "Kita ini ibarat daging yang dipanggang kepada besi pemanggang. Sekejap dipusing ke sebelah sana dan sekejap lagi ke sebelah sini untuk dipanggang'.

Doa Aulia Allah: Abu Ali Al-Diqaq

"Ouh Tuhan! Jadikanlah saya ini merendahkan diri seperti semut dan layanlah saya seperti rumput yang kering dan ampunkanlah dosa saya. Janganlah hinakan saya akhirnya kerana saya telah bercakap besar dan memuji diri semasa bersyarah di pentas di hadapan orang ramai. Jika saya hinakan pakaian sufi, hantarlah saya ke neraka agar di sana saya terseksa kerana berpisah dengan Engkau.

Ouh Tuhan! Kerana membuat banyak dosa, saya telah menghitamkan suratan takdir dan Engkau dengan rahmat Engkau telah memutihkan rambut saya yang hitam apabila usia saya bertambah lama. Janganlah pandang perbuatan saya yang hitam itu tetapi lihatlah rahmatMu yang memutihkan saya.

Ouh Tuhan! Orang yang mengetahui Engkau sentiasa mencari Engkau walaupun Engkau itu tidak akan dijumpai.

Ouh Tuhan! Walaupun Engkau kurniakan padaku syurga namun saya berasa malu dan sakit rasanya hati ini kerana tidak mengabdikan diri saya sebagaimana sepatut terhadap Engkau".

Kisah Abu Ali Al-Diqaq

TAK TAHU ALLAH

     Satu hari Al-Diqaq sedang berzikir, Allah.. Allah.. Allah. Di antara orang ramai yang berzikir itu ada seorang bertanya kepada dia, 'Apakah Allah?' Dia menjawab, 'Saya tidak tahu'. Orang itu berkata, 'Kalau tuan tidak tahu Dia, kenapa tuan menyebut namaNya?' Dia menjawab, 'Beritahu kepada saya, nama apa patut saya sebut?'

HARGA PAKAIAN

     Satu hari dia sedang duduk dengan memakai pakaian yang cantik dan lawa. Seorang sufi agung bernama Abu Al-Hasan Al-Nuri yang memakai pakaian compang camping datang melawat dia. Secara berjenaka Al-Diqaq menarik pakaian yang koyak yang dipakai oleh Abu Al-Hasan Al-Nuri itu. Al-Diqaq berkata, 'Apa gunanya tuan memakai pakaian yang buruk ini?' Al-Nuri menjerit dan berkata, 'Saya beli pakaian ini dengan harga dunia ini dan akhirat juga dan saya hargainya dengan nilai yang tinggi dan sekiranya semua kekayaan dalam syurga dikurniakan kepada saya supaya saya melepaskan pakaian ini, nescaya saya tidak mahu melepaskannya'. Al-Diqaq menangis dan bersumpah tidak mahu berseloroh lagi dengan orang sufi.

MATI TANPA MAYAT

     Satu hari, seorang darwisy (sufi) melawat Al-Diqaq dan meminta sebuah ruang yang kecil di mana dia hendak mati. Al-Diqaq memberinya ruang di sebuah penjuru. Orang itu duduk di situ dan mula berzikir. Al-Diqaq melihat kelakuan orang itu dari jauh. Darwisy itu berkata, 'Al-Diqaq, janganlah kotorkan saya'. Al-Diqaq pun pergi berlindung di satu tempat. Sedang berzikir itu, darwisy pun meninggal dunia. Selepas itu Al-Diqaq pergi ke tempat darwisy yang berzikir tadi tetapi beliau tidak melihat darwisy tersebut. Dia telah ghaib. Al-Diqaq bermohon kepada Allah untuk mengetahui di mana darwisy tersebut. Terdengar suarat berkata, 'Jangan cari dia. Bahkan malaikat maut pun tidak tahu di mana dia'. Al-Diqaq bertanya, 'Jadi, di manakah dia?' Suara itu berkata, 'Dia berada di Majlis Haq, di hadrat Allah s.w.t'.

AKHIR KEHIDUPAN

      Di akhir hayat dia, Al-Diqaq telah amat maju dalam kerohaniaannya hingga sedikit sahaja orang yang dapat memahami dia. Oleh itu, sedikit sahaja orang yang datang berguru kepada beliau.

Kata² Al-Diqaq:

1. Jika seseorang wali Allah itu mendapat arahan dari Tuhan supaya membuat syarahan di sesuatu tempat, maka dia tidak boleh meninggalkan makam itu ataupun menukar tugasnya.

2. Murid yang tidak sentiasa tinggal berkhidmat bersama gurunya tidak akan mendapat faedah apa². Dia ibarat pokok di hutan yang tidak berbuah. Jika pun berbuah, buahnya itu tidak berapa baik kerana kurang sempurna penjagaannya.

3. Jika kamu kaitkan hatimu kepada apa² dalam alam, kamu tidak akan merasai tenteram jiwa. Oleh itu, buangkan segala kehendak terhadap alam, jika kamu mahu aman dan tenteram.

4. Tidak ada orang yang dapat mengenal Allah tanpa berguru.

5. Orang yang menjual akhirat kerana dunia akan terlaknat.

6. Dalam tariqat, janganlah kamu tamak.

7. Walaupun seseorang itu mencapai semua ilmu dan membuat semua ibadat, bersikap zuhud dan duduk di majlis aulia Allah namun jika dia tidak diijazahkan oleh guru dan tidak menurut panduan guru itu, maka orang itu tidak akan maju dalam tariqatnya.

Kisah Abu Bakar Al-Saidlani

Kata² Al-Saidlani:

1. Janganlah tuntut ilmu yang membawa kamu jauh dari Allah.

2. Allah telah sediakan jalan² menujuNya sebanyak mana bilangan makhluk di dalam dunia ini. Tiap² orang boleh memilih mana jalan hendak diturut dan mengikutinya menurut keupayaan dan kecenderungan masing² dan dengan itu mencapai kesempurnaan.

3. Ada jalan² daripada Allah kepada insan tetapi tidak ada daripada insan kepada Allah.

4. Lebihkan bersama Allah daripada bersama makhluk.

5. Hati yang kosong dan rela dan sikap fakir itu adalah jalan selamat menuju Allah.

Kisah Abu Ishaq Ibrahim Al-Syaibani

Kata² Al-Syaibani:

1. Sentiasalah mengingat Allah. Jika kamu tidak boleh berbuat itu, maka ingatlah mati selalu.

2. Jika kamu ingin merdeka dari belenggu kehendak dunia, sembahlah Allah dengan ikhlas.

3. Apabila ubudiyah seesorang itu telah terdiri, dia jadi merdeka dari segalanya kecuali Allah.

Kisah Abu Ali Ahmad bin Muhammad Al-Ruzbari

      Al-Ruzbari sedang berbaring di pangkuan saudara perempuannya. Seketika sebelum menghembuskan nafas terakhir, dibukakan matanya dan lalu berkata, 'Syurga sedang dihiasi untuk saya masuk dan malaikat sedang memberitahu saya yang mereka akan membawa saya ke syurga yang tidak pernah saya mimpikan di mana ada bidadari yang indah menunggu saya. Tetapi hati saya tetap lekat kepada Allah dan saya tidak memandang kepada yang lain dari Dia. Saya telah bertahun-tahun rindu kepada Allah. Saya tidak mahu menerima rasuah supaya saya membuangkan kehendak saya itu'. Selepas itu beliau pun kembali ke rahmatullah.

Kata² Al-Ruzbari:

1. Orang sufi ialah orang yang walaupun terpaksa berpuasa selama 10 hari kerana kemiskinan namun dia tetap memuji Allah kerana kurniaNya dan sentiasa bersyukur kepadaNya.

2. Orang sufi ialah orang yang tetap terus menuju Allah walaupun 100 kali dihalau pergi dari majlis Allah.

3. Jika kita tidak diberkati dengan wajah Allah, bagaimana kita dapat hidup di dunia ini.

4. Kamu akan dapat masuk ke bidang kerohanian jika kamu tinggalkan dunia dan kekayaan serta segala yang bersangkut paut dengannya.

5. Muzik kerohanian (samak) melibatkan 3 perkara:

a) Hati itu sakit kerana memakan perkara yang didapati secara haram.

b) Dengan menetap pada satu latihan dan latihan ini rosak jika kamu memandang kepada yang lain dan perkara haram, dengan bercakap keburukan orang dan mendengar keburukan orang.

c) Bercampur dengan orang jahat.

Oleh itu orang yang menjalankan samak hendaklah berhati-hati terhadap 3 perkara ini. Hendaklah mengawal mata, lidah dan telinga jika kamu mahu faedah yang penuh dari samak. Di sana kamu dapat melihat wajah Allah apabila kamu masuk ke dalam dzauk (mabuk Allah) dan kamu mendapat banyak pengalaman baru, dan rahsia rohaniah akan dibukakan kepadamu.

6. Ada satu jalan antara Kekasih dan sifat-sifatNya. Orang yang mengikuti sifat², pandangannya terhijab tetapi orang yang menetapkan pandangannya kepada Yang Punya sifat² itu akan terselamat.

Apabila Kamu Melihat Dunia

      Apabila kamu melihat dunia di dalam tangan orang² ahli dunia dengan hiasan dan kekosongannya, penipuan dan perangkapnya dan dengan racunnya yang membunuh yang di luarnya lembut dan di dalamnya mencederakan dan cepat pula merosak dan membunuh sesiapa yang memegangnya dan menipu mereka dan menyebabkan mereka lali dalam dosa dan maksiat. Apabila kamu melihat semua ini, maka hendaklah kamu bertindak selaku seorang yang melihat seorang lain membuang air besar yang membuka anggotanya yang sulit dan mengeluarkan bau yang busuk. Dalam keadaan itu kamu hendaklah menghindarkan pandangan terhadap ketelanjangannya itu dan menutup hidungmu supaya tidak terbau yang busuk. Begitulah kamu bertindak terhadap dunia. Apabila kamu melihatnya, hindarkan pandangan dari pakaiannya dan tutup hidungmu dari membau keseronokannya yang tidak kekal, mudah-mudahan kamu terselamat darinya dan cubaan-cubaannya. Apa yang telah ditetapkan Allah untuk kamu tentu kamu akan merasainya. Allah telah berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w:

"Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah KAMI berikan kepada golongan² dari mereka sebagai bunga kehidupan dunia untuk KAMI cubai mereka dengannya. Dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal". Surah Thoha, 20, ayat 131.

~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani) 

Apabila Kamu Mati Terhadap Makhluk

      Apabila kamu 'mati' terhadap makhluk, maka dikatakan kepada kamu, "Moga² Allah melimpahkan rahmatNya kepada kamu", dan Allah akan mematikan kamu dari nafsu² badaniah. Apabila kamu telah 'mati' terhadap nafsu² badaniah, maka akan dikatakan kepada kamu, "Moga² Allah melimpahkan rahmatNya kepada kamu", maka Allah akan mematikan kamu terhadap kehendak² dan nafsu. Apabila kamu telah 'mati' terhadap kehendak dan nafsu, maka akan dikatakan kepada kamu, "Moga² Allah melimpahkan rahmatNya kepada kamu", dan Allah akan menghidupkan kamu kepada satu 'hidup' yang baru.
      Selepas itu, kamu akan diberi 'hidup' yang tidak ada mati lagi. Kamu akan dikayakan dengan tidak ada papa lagi. Kamu akan diberi kurniaan yang tidak akan rosak dan habis. Kamu akan diberi kebahagiaan yang tidak ada lagi kesusahan dan kesedihan. Kamu akan diberkati dan tidak akan dimurkai. Kamu akan diberi ilmu dan tidak lagi jahil. Kamu akan diberi kesentosaan dan tidak lagi ketakutan. Kamu akan maju dan tidak lagi mundur. Nasib kamu akan baik dan tidak lagi buruk. Kamu akan dipermuliakan dan tidak lagi diperhinakan. Kamu akan dihampiri oleh Allah dan tidak jauh lagi. Martabat kamu akan bertambah tinggi dan tidak rendah lagi. Kamu akan dibersihkan dan tidak lagi merasai kotor. Pendek kata jadilah kamu seorang yang tinggi dan mempunyai peribadi yang tersendiri. Bolehlah dikatakan kamu telah menjadi manusia luar biasa.
      Jadilah kamu warisan Rasul², Nabi² dan orang² Siddiq. Kamu akan jadi titik akhir bagi segala kewalian dan wali² yg masih hidup, akan datang mengunjungi kamu. Melalui kamu segala kesulitan dapat diselesaikan dan melalui sembahyang kamu dapat memewahkan tanaman², menurunkan hujan, menghindarkan mala petaka yang hendak menimpa umat manusia dari segala pangkat dan kedudukan. Bolehlah dikatakan kamu menjadi sebagai pegawai polis untuk kota dan rakyat.
      Orang akan datang mengunjungi kamu dari tempat yang dekat dan jauh membawa hadiah² dan buah tangan dan memberi khidmat mereka kepada kamu. Semua ini dengan izin Allah Yang Maha Perkasa dan Kuasa jua. Lidah manusia tidak sunyi lagi menghormati dan memuji kamu. Tidak ada dua orang yang beriman bertelingkah mengenai kamu. Wahai! Mereka yang baik² yang tinggal di tempat² ramai dan mereka yang mengembara, inilah kurniaan Allah dan Allah mempunyai kuasa yang tidak ada batasan.

~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani) 

Kisah Suhail bin Abdullah Al-Tustari

WANG DARI MAHA GHAIB

      Suhail berkata, 'Satu hari di belantara, saya bertemu dengan seorang perempuan tua yang kelihatannya sangat miskin. Apabila saya beri dia wang, dia enggan menerima dan mengangkat tangannya dan terus berdoa. Tidak semena-mena datang wang emas ke tangannya. Dengan tersenyum, orang tua itu berkata, 'Tuan ambil wang dari saku tuan tetapi saya dapat wang dari Kuasa Maha Ghaib' '. Setelah berkata demikian, orang tua itu pun hilang.

      Suhail berkata, 'Apabila saya pergi ke Mekah, saya nampak orang tua itu di sisi Kaabah. Semasa saya bertawaf, saya lihat Kaabah itu bertawaf mengelilingi orang tua itu. Saya bertanya kepadanya kenapa perkara ganjil ini terjadi? Dia berkata, 'Orang yang datang mengunjungi Kaabah mestilah bertawaf mengelilingi Kaabah tetapi orang yang datang ke Kaabah dengan menfanakan diri dan alam, Kaabah itu yang bertawaf mengelilinginya'.

      'Mencari kebesaran atau takut kepada kedarwisyan (kesufian) adalah bahaya kepada kehidupan kerohanian', demikian kata Suhail.

PERUTUSAN ALLAH PADA SETIAP HARI

      Suhail berkata, 'Setiap hari, Allah menghantar kepada kita perutusan yang berbunyi, 'Wahai hambaKu, Aku rindu hendak bertemu denganmu tetapi kamu tidak ingat kepadaKu. Aku ajak kamu datang kepadaKu tetapi kamu berpaling ke lain. Aku hindarkan bala bahaya dari perjalananmu tetapi kamu terus juga melakukan dosa dan maksiat. Alangkah zalimnya kamu!' Apakah jawab tuan di hadapan Allah di akhirat kelak?

RASA KEHAMBAAN KEPADA ALLAH

      Suhail berkata, 'Pada orang yg benar² menghambakan dirinya kepada Allah, maka Allah akan jagakan dia bila sampai waktu solat sekiranya dia tertidur'.

Kisah Muhammad bin Al-Samak

      Apabila ditanya kenapa dia tidak berkahwin, Al-Samak berkata, 'Aku tidak ada kekuatan untuk melawan dua iblis'.

Kisah Harith Al-Muhasibi

Kata² Al-Muhasibi:

1. Sebuku roti kering cukup untuk orang sufi.

2. Takut kepada Allah menimbulkan rindu kepada Allah dan mendapat rahmat Allah.

3. Makan kenyang itu mengaburkan cermin hati.

4. Jangan banyak cakap, puasa, jauhkan diri dari berkawan dengan ahli² dunia adalah perlu dalam perjalanan (menuju Allah).

5. Tasauf ialah sabar dalam segala kesusahan dan meninggalkan yang lain kecuali Allah.

6. Menumpukan perhatian kepada hal² keduniaan akan menghalang menuju makrifat.

7. Perhati dan tangisilah tentang akhir hayat.

8. Orang yang berkahwin, banyak cakap dan banyak berjalan ialah orang dunia.

9. Keluhan yang merendahkan diri dari seorang sufi itu adalah lebih baik dari 100 tahun beribadah.

10. Apabila mata batin itu terbuka maka mata zahir tertutup.

11. Orang yang cinta kepada dunia tidak akan merasa Allah. Di pandangan Allah, dunia ini tidak berharga lebih dari seekor nyamuk.

Kisah Daud Al-Ta'i

      Al-Ta'i tidak mengunyah makanannya tetapi direndamnya dalam air dan menelannya. Apabila ditanya kenapa dia berbuat begitu, dia menjawab, 'Untuk menjimatkan masa kerana masa itu saya gunakan untuk membaca ayat² Qur an'. Dia tidak mengalih bekas airnya dari cahaya matahari kerana itu akan membuang masanya dengan meminum air sejuk, maka dengan itu ianya juga membuang masanya untuk mengenangkan Allah.
     
      Dia juga ditanya, 'Tuan, kenapa tuan tidak sikat janggut?' Dia menjawab, 'Saya tidak ada masa untuk menyikat janggut kerana masaku penuh dengan mengenang Allah'. Apabila dia diminta untuk memberi nasihat, dia berkata, 'Jauhkan diri dari ahli² dunia dan ketahuilah sia² berbual kosong dan sia² juga melihat perkara² yang tidak diperlui'. Apabila dia membasuh pakaiannya, dia berkata, 'Sekiranya aku dapat membasuh hatiku seperti ini'.

Al-Ta'i tinggal di rumah yang buruk. Orang berkata, 'Tuan, atap rumah itu telah lapuk dan bila² masa sahaja akan jatuh menimpa tuan'. Dia menjawab, 'Saya tidak ada masa untuk melihat atap itu dan juga saya telah membuat keputusan tidak akan membina rumah seumur hidup saya'. Setelah dia meninggal dunia, atap itu pun roboh tidak lama kemudian.

Kisah Abu Al-Hasan Ali bin Ibrahim Al-Hasri

Kata² Al-Hasri;

1. Samak memerlukan dahaga dan rindu yang tidak putus² kepada Tuhan. Makin mabuk seseorang itu meminum cinta Allah, maka makin lagi dia minta ditambahi. Bukanlah samak (muzik kerohanian) namanya jika samak itu berhenti apabila penyanyi yang utama itu berhenti menyanyi. Samak itu ialah kehendak untuk samak itu bertambah-tambah jika dinikmati.

2. Sufi yang sebenarnya mestilah di atas semua kehendak nafsu. Hatinya bebas dari memusuhi dan benci kepada semua orang lain.

3. Orang yang kenal dirinya, kenal Tuhannya.

Kisah Abu 'Uthman Sa'id bin Salam Al-Maghribi

      Selama 30 tahun permulaan perjalanannya, syeikh Abu 'Uthman berpuasa, berjaga malam dan berkhalwat di hutan. Kemudian dia terdengar suara ketuhanan berkata, 'Tinggalkan khalwatmu itu dan tinggallah bersama manusia'. Pada masa itu dia telah terlalu kurus.

      Satu hari ramai murid² dia mendengar suara ketuhanan berkata, 'Janganlah melawat Syeikh Abu 'Uthman Sa'id lagi'. Syeikh itu pun telah dipinta agar jangan bersyarah di khalayak ramai lagi. Semenjak itu, dia pun terus beruzlah (memencilkan diri dari orang ramai kerana beribadah kepada Allah). Murid-muridnya pun tidak lagi berjumpa dengan dia. Allah inginkan dia berada dan berbicara dengan Dia sahaja tanpa ada orang lain.


      Tatkala hendak menghembuskan nafas terakhir, beliau menyuruh semua tabib² yang mengubatinya itu pergi dari situ kerana mereka ibarat saudara² Yusuf kepada Yusuf. Ahli muzik pun dipanggil dan samak (muzik kerohanian) pun dimulakan. Dalam pada itu, dia pun meninggal dunia.

Kata² Syeikh:

1. Barangsiapa tidak mahu berada di majlis orang² sufi dan suka melawat orang² kaya, maka Allah butakan rohaniahnya.

2. Orang yg sangat berkeperluan bolehlah menerima makanan dari orang² kaya tetapi jangan sekali² kerana hendakkan berseronok jika tidak terganggulah kemajuan kerohanian.

3. Ketahuilah bahawa samak itu belum sepenuhnya membangun rohaniah kamu, kalau belum nyanyian burung² di udara dan tarian daun² oleh tiupan bayu membawa kamu ke dalam keadaan dzauk (mabuk Allah). Jika seseorang hendak mendapat faedah yang penuh dari samak, dia hendaklah memencilkan dirinya dan buangkan ingatan dari segala yang lain kecuali Allah dan tunduk kepada kehendak Allah dan ceraikan fana (ego) dan alam.

Kisah Imam Ahmad bin Hanbal

TIDAK AMAL APA YANG DIPELAJARI

      Seorang murid Imam Ahmad tinggal semalam bersama dia. Dia meletakkan satu jag air di sisi tempat tidurnya dan dia pergi bersolat pada sepanjang malam itu. Apabila pagi tiba, dia pergi kepada muridnya itu dan didapatinya air masih penuh dalam jag itu. Dia bertanya kepada muridnya, 'kenapa air itu tidak digunakan?' Murid itu menjawab, 'Saya nak gunakan untuk apa?' Imam itu menjawab, 'Untuk mengambil wudhuk dan kemudian bersolat sepanjang malam. Nampaknya kamu tidak amalkan apa yang kamu pelajari dariku'.  

Kisah Abu Bakar Al-Wiraq

BERJUMPA DENGAN MANUSIA MENYEBABKAN TIDAK BERSAMA ALLAH

      Al-Wiraq ingin sangat hendak berjumpa dengan Khidr. Satu hari dia bertemu dengan Khidr dan berbual bersamanya. Akibatnya dia tidak khatam membaca Al Qur an pada hari itu sebagaimana kebiasaannya. Khidr berkata, 'Tuan hendakkan bersama saya, maka akibatnya tuan telah tidak bersama Allah (membaca Al Qur an)'.

PENGARUH AL QUR AN

      Satu hari, anak lelaki Al-Wiraq membaca Al Qur an, dalam ayat yang maksudnya, 'Satu hari akan sampai bila orang-orang muda akan jadi tua'. Kerana takutkan Allah, dia pun sakit dan meninggal dunia beberapa hari kemudian. Di kubur anaknya itu Al-Wiraq menangis dan berkata, 'Aku membaca Qur an bertahun-tahun lamanya namun tidak juga dapat mempengaruhi aku'.

Kata² Al-Wiraq:

1. Mempunyai yang sedikit itu adalah kurang untungnya daripada menemui beberapa orang yang sangat memberi faedah.

2. Iman itu memberi sinaran kepada hati.

3. Orang yang cinta kepada dunia tidak akan dapat cinta kepada Allah.

4. Huruf Z dalam perkataan ZUHUD bererti 'tarke-i-zinat', membuangkan perhiasan dan kuasa serta kehormatan; Huruf H bererti 'tark-e-hawa', membuangkan hawa nafsu dan huruf D bererti 'tark-e-dunia', membuangkan dunia.

Kisah Abu Muhammad Al-Murta'asy

PERKAHWINAN MENGHALANG KESUFIAN

      Satu hari, semasa berjalan di satu lorong di bandar Baghdad, Al-Murta'asy berasa dahaga. Dia pergi ke sebuah rumah meminta air. Seorang gadis keluar membawa air. Dia terpesona oleh kecantikkan gadis itu. Dia berjumpa dengan bapa gadis itu dan menyatakan keinginannya hendak berkahwin dengan gadis tersebut. Bapa itu bersetuju dan merekapun berkahwin. Pada mala pertama selepas kahwin, dia masuk ke bilik isterinya itu dan terus bersolat. Selepas bersolat, dia menyuruh isterinya membawa pakaian yang biasa dipakainya sebelum kahwin dahulu. Setelah memakai pakaian itu, pakaian kahwinnya itu dibuangnya dan isterinya itu dicerainya.
      Orang bertanya kepada dia kenapa dia berbuat sedemikian. Dia menjawab, 'Sebelum saya bertemu dengan isteri saya itu dan sedang saya solat, saya terdengar suara ketuhanan berkata, 'Oleh kerana kamu telah memandang yang lain dari Aku, maka Aku buangkan pakaianmu yang biasa itu dan memakaikan pakaian pengantin. Jika kamu berterusan dengan kehidupan baru itu, Aku akan buangkan semua yang kamu capai dalam bidang kesufian ini'.
      Al-Murta'asy berkata, 'Ingatkan kata² Qur an - jika kamu cinta kepada harta, anak pinak, keluarga dan isteri dan pekerjaan serta rumah kamu lebih dari mencintai Aku, maka kamu tidak mematuhi perintahKu'.

Kata² Al-Murta'asy:

1. Jangan kamu bersyukur kepada sesiapa kecuali kepada Allah kerana segala-galanya yang kamu terima adalah dari Allah.

2. Jangan kamu merayu kepada sesiapa kecuali kepada Allah.

3. Adalah lebih baik bagi aulia itu untuk tinggal bersama dengan aulia juga.

Kisah Samnun Al-Muhib

BERSYARAH KEPADA LILIN


      Al-Muhib kembali dari Mekah. Penduduk Fid (nama sebuah tempat) meminta Al-Muhib memberi syarahan. Syarahan itu tidak membawa kesan kepada mereka. Kemudian dia bersyarah kepada lilin. Wah! Semua lilin² itu menari dalam keadaan mabuk Allah (dzauk) dan berhantukkan antara satu dengan yang lain dan akhirnya semuanya binasa. Dia puji, lilin itu lebih baik dari manusia.

MATI DALAM APA YANG DICINTA

      Satu hari, Al-Muhib sedang memberi syarahan. Tiba² seekor burung jatuh dari udara dan menimpa kepala beliau. Burung itu jatuh ke ribanya dan kemudian ke tapak tangannya dan akhirnya jatuh ke tanah. Darah keluar dari burung itu dan akhirnya mati. Al-Muhib berfikir, 'Kepada apa yang dicinta, mati pun dalam apa yang dicinta itu juga'.

KEMULIAAN DI DALAM CINTA KEPADA ALLAH SAHAJA

      Kerana menurutkan hukum² agama, Al-Muhib berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Dia kasih kepada anaknya. Satu malam, dalam mimpi, dia terlihat manusia berkumpul di bawah satu panji² di hari kiamat. Dalam kumpulan itu ada juga malaikat. Apabila dia hendak pergi menuju panji² itu, malaikat itu menghalau dia sambil berkata bahawa tempat itu adalah dikhaskan untuk kekasih² Allah. Al-Muhib menjawab, 'Orang memanggil saya Al-Muhib (kekasih) dan itu tentulah nama yang dikurniai Allah. Jika tidak orang tidak akan memanggil saya demikian'. Malaikat itu berkata, 'Betul dahulunya tuan adalah kekasih Allah tetapi semenjak tuan memulakan cinta kepada anak tuan beserta dengan cinta kepada Allah, maka kemuliaan itu telah diambil kembali dari tuan'. Al-Muhib berdoa, 'Oleh kerana cinta kepada anak itu telah menyelewengkan aku dari Engkau, biarkanlah dia mati'. Anak itu pun jatuh dari atas rumahnya. Dilihatnya anaknya itu telah meninggal dunia. Dia bersyukur kepada Allah.

Monday 13 April 2015

Kisah Abdullah bin Al-Jila

DISERAH KEPADA ALLAH

      Semasa Abdullah masih kanak² lagi, dia telah meminta ibubapanya mempersembahkan dirinya kepada Allah. Ibubapanya pun berbuat demikian. Dia pergi meninggalkan rumahnya dan mengembara mencari jalan kesufian bertahun-tahun lamanya. Kemudian beliau kembali ke rumahnya. Setelah sampai ke pintu rumah, beliau pun meminta ibubapanya membuka pintu. Tetapi ibubapanya berkata bahawa dia telah mereka serahkan kepada Allah. Maka dengan itu kembalilah kepada Allah pula.

LUPA AL QUR AN KERANA MEMANDANG YANG CANTIK

      Abdullah berkata, 'Satu ketika saya telah memandang seorang Yahudi yang cantik. Akibatnya saya telah dihukum dengan lupakan Al Qur an. Setelah betul² saya bertaubat, barulah saya dapat mengingat Al Qur an itu semula.

TIDAK MEMBACA AL QUR AN DENGAN KESEDARAN DAN KEBIJAKSANAAN

      Abdullah berkata, 'Semenjak 14 tahun yang lalu, telah jadi niat saya untuk mengkhatamkan bacaan Al Qur an sekali sehari. Tetapi sekarang, meskipun 14 tahun telah berlalu, namun saya belum pun habis membaca separuh daripadanya. Sebabnya ialah dahulu saya tidak membacanya dengan penuh kesedaran dan kebijaksanaan'.

TIDAK MENJUMPAI DIRI SENDIRI

      Abdullah ada berkata, 'Demikianlah mabuknya Abu Yazid hingga fana dirinya dalam tauhid dan beliau selalu berkata dalam fananya itu, 'Aku mencari Abu Yazid semenjak 3 tahun yang lalu tetapi belum menjumpainya lagi' '.

Kata² Abdullah:

1. Mencari makan menyebabkan kita lupa Tuhan dan dengan itu juga ianya menjadikan kita sebagai pengemis yang meminta-minta kepada makhluk.

2. Apabila ditanya maksud fakir, dia keluar dari rumahnya dan membuang wang yang ada di dalam sakunya, lalu menjawab, 'Seseorang itu bukan fakir jika dia ada wang dalam sakunya'.

Kisah Abu Syaqiq Al-Balkhi

TAUBAT

      Seorang tuan telah berkata kepada Syaqiq, 'Saya datang hendak bertaubat. Haraplah doakan agar Allah terima taubatku ini'. Syaqiq berkata, 'Tuan telah terlambat'. Orang itu menjawab, 'Bukankah saya datang dengan cepat? Kerana bukankah Allah berfirman bahawa orang yang bertaubat hampir mati pun akan diterima taubatnya dan sekarang saya datang sebelum saya mati'. Syaqiq berkata, 'Tuan memang benar'. Lalu permintaan orang itu diterimanya.

Kata² Syaqiq:

1. Sembilan bahagian daripada ibadat itu adalah merasa takut kepada Allah dan menjauhkan dunia, dan satu bahagian adalah dengan menutup mulut.

2. Mati itu pasti akan tiba. Oleh itu bersedialah untuk menghadapinya.

3. Jangan tangguhkan memohon taubat kerana hendakkan kurniaan dan panjang umur.

4. Hendaklah bergantung lebih kepada janji-janji Allah daripada janji-janji manusia.

Kisah Sufyan Al-Thauri

MENUKAR KEBAJIKAN DENGAN KELUHAN

      Seorang pemuda tidak mampu hendak pergi ke Mekah dan dia mengeluh tentang perkara ini. Al-Thauri berkata kepadanya, 'Saya telah pergi naik haji ke Mekah sebanyak 4 kali dan saya sedia menukar kebajikan yang saya dapat dengan naik haji itu dengan apa yg engkau keluhkan itu'. Orang muda itu bersetuju dan pertukaran dilangsungkan. Kedua-dua pihak itu bersuka hati. Pada satu malam, Al-Thauri mendengar satu suara, 'Kamu telah melakukan sesuatu yang sangat beruntung. Kamu beli sesuatu itu sangat murah dan jika kamu bahagi-bahagikan itu kepada alam, maka semua dalam alam akan jadi sangat kaya'.

TIADA KEKHUATIRAN BAGI ORANG YANG TAKUT KEPADA ALLAH

      Seorang bertanya kepada Al-Thauri, ' Jika seseorang itu pergi berkhalwat (memencilkan dirinya kerana Allah), apakah yang hendak dimakannya? Dia menjawab, 'Orang yg takut kepada Allah tidak khuatir kepada apa sahaja kegiatan keduniaan'.

Kata² Al-Thauri:

1. Janganlah kamu menjualkan persahabatanmu dengan Allah kerana menghendakkan persahabatan dengan dunia dan isinya.

2. Aku takut menerima sesuatu dari sesiapa kerana hatiku mungkin jatuh cinta kepada orang itu. Aku hanya inginkan hidup bersama Allah.

3. Dosa dengan manusia itu lebih besar dari dosa dengan Allah.

4. Bagi ahli dunia, tidur itu lebih baik dari berjaga kerana dengan tidur itu mereka tidak membincangkan hal-hal keduniaan.

Kisah 'Abdullah bin Al-Mubarak

HAMBA ABDI YANG DIKASIHI

      Al-Mubarak ini ada mempunyai hamba. Dia berjanji akan membebaskan hamba ini jika dia dibayar sebanyak 100 dinar. Hamba itu pun membayarnya secaran ansur-ansur setiap hari. Satu hari sahabat Al-Mubarak memberitahu kepada dia, 'Hambamu itu pergi ke kubur setiap hari mencuri kain kafan dan menjualnya ke pasar. Dari hasil jualannya itu dibayarnya kepada tuan'.

      Al-Mubarak marah dan satu malam dia pergi ke kubur untuk mengintai apakah benar yang dikatakan oleh sahabatnya itu. Di sana dilihatnya hambanya itu memakai kain yang kasar dan gelang besi di lehernya. Hamba itu masuk ke dalam kubur dan menangis merayu dan berdoa sehingga ke pagi. Kemudian hamba itu pergi ke masjid. Al-Mubarak mengikuti hambanya itu tanpa diketahuinya. Hamba itu berdoa, 'Ouh Tuhan! Tidak lama lagi saya akan membayar pendapatan harianku kepada tuan badanku ini'.

      Tiba-tiba satu cahaya datang hampir dengannya. Cahaya itu datang ke tapak tangannya dan menjadi wang. Semasa beliau hendak bangun untuk pergi mengirim wang itu kepada Al-Mubarak, maka Al-Mubarak pun keluar dari tempat persembunyiannya dan memanggil hambanya itu lalu berkata, 'Dari hari ini marilah kita bertukar. Engkau jadi tuan dan aku jadi hamba'. Hamba itu pun berdoa dan berkata, 'Sekarang rahsia telah terbuka, saya tidak mahu hidup lagi'. Dengan serta merta hamba itu pun meninggal dunia. Beliau dikebumikan oleh tuannya dengan pakaian yang kasar itu. Pada malam itu, Al-Mubarak bermimpi Nabi Muhammad dan lain-lain aulia datang bertemu dengannya, lalu berkata, 'Abdullah bin Al-Mubarak, adakah patut kamu kebumikan orang yang kami kasihi dengan pakaian kasar itu?'

      Apabila hampir hendak meninggalkan dunia ini, Al-Mubarak membahagi-bahagikan harta bendanya kepada orang² miskin. Apabila ditanya apakah yang ditinggalkannya untuk 3 orang anak perempuannya yang masih hidup itu, Al-Mubarak menjawab, 'Allah'.

Kata² Al-Mubarak:

1. Orang yang bekerja kerana Allah itu tidak akan pernah terseksa.

2. Pencilkan diri dari manusia.

3. Orang yang melakukan sesuatu hari ini dan itu dilakukan oleh orang bodoh 3 hari kemudian adalah orang yang bijak.

Kisah Muhammad Ibn Wasi'

UMUR BERKURANG DOSA BERTAMBAH

      Seorang bertanya kepada Ibn Wasi', 'Bagaimana keadaan kamu?' Ibn Wasi' menjawab, Apa hendak kamu tanya kepada orang yang tempoh hidupnya semakin lama semakin kurang tetapi dosanya semakin lama semakin bertambah'.

Kisah Malik bin Dinar

PEREMPUAN SEBAHAGIAN DARI DUNIA

      Seorang bertanya kepada Malik, ' Kenapa tuan tidak kahwin? ' Malik menjawab, 'Aku telah tinggalkan dunia ini dan perempuan itu adalah sebahagian daripada dunia'.

KORBAN SEGALA-GALANYA UNTUK ALLAH

      Malik berkata, 'Oleh kerana Allah telah menjadikan aku sahabatNya, maka aku korbankan segala-galanya untuk Dia dan menghabiskan masaku dengan mematuhi perintah Dia'.

DISEBABKAN BANYAK MAKAN RIBA (BUNGA / INTEREST)

      Malik berkata, 'Aku telah pergi melihat seorang yang hampir² hendak meninggalkan dunia ini. Aku suruh dia menyebut nama Allah tetapi beliau enggan dan berulang-ulang menyebut nombor 10, 11. Aku bertanya, 'Kenapa kamu enggan menyebut nama Allah?' Orang itu menjawab, 'Apabila aku hendak menyebut nama Allah, aku lihat api yang besar menuju kepadaku'. Tidak lama kemudian, dia pun meninggalkan dunia. Apabila aku tanya kepada orang yang berada di situ tentang si mati tersebut, mereka berkata bahawa dia itu banyak memakan riba (interest) dan mengurangkan timbangan semasa berjual-beli dengan tujuan untuk mendapat keuntungan secara berputar-belit'.

TAKUT HENDAK TIDUR

      Anak perempuan Malik bertanya kepada ayahnya kenapa dia tidak tidur. Malik menjawab, 'Aku takutkan Allah dan aku tidak tahu bila berkatNya akan jatuh kepadaku. Kalau aku tidur, berkatNya itu akan terlepas dariku. Di samping itu, aku adalah orang yang malang jika memakan kurnia Allah tetapi menurut kehendak syaitan. Jika ada lah orang berdiri di pintu masjid sambil berteriak hendak tahu siapakah manusia yang paling hina di dunia ini, maka aku akan tampil ke muka menunjukkan diriku'.

Kata² Malik:

1. Apabila aku tahu keadaan dunia yang fana ini, aku pun tidak peduli tentang pandangan dunia terhadap diriku dan perbuatanku.

2. Janganlah bersahabat dengan orang yang mana persahabatan itu tidak akan menolongmu selepas mati kelak.

3. Firman Allah di dalam Al Qur an, 'Ingatilah Aku dan Aku akan ingat kepadamu'.

4. Firman Allah di dalam Al Qur an, 'Aku akan jawab seruanmu dan terima doamu'.

Kisah Bisyar Al-Hafi

KOSONGKAN RUMAHMU

      Bisyar Al-Hafi berkata, 'Kosongkan rumahmu biar ianya lebih kosong dari kubur agar kamu tidak terasa susah untuk meninggalkan dunia ini'. Setelah dia meninggal dunia, seorang wali Allah terlihat Al-Hafi di dalam mimpinya dan dia bertanya kepada Al-Hafi bagaimanakah keadaannya di hadrat Allah. Al-Hafi menjawab, 'Tuhan berpura-pura marah dan berkata, 'Al-Hafi, kenapa kamu takut sangat-sangat kepadaKu di dunia dulu? Tidakkah kamu tahu Aku ini Pengasih dan Penyayang? Sekarang makanlah makanan yang lazat ini kerana di dunia kamu berpuasa keranaKu. Minumlah minuman yang paling nyaman ini kerana di dunia kamu tidak minum ini, kerana dengan makan dan minum itu masamu terbuang dan ibadahmu terganggu'.

Doa² Aulia Allah: Yahya Ma'adz Ar-Razi

1. Ya Allah! Aku ini berdosa dan mengharapkan rahmat dan keampunanMu kerana Engkau Maha Pengampun dan aku penuh berdosa. Ya Allah! Apabila Fir'aun menjadi kafir dan mengaku sebagai Tuhan, Engkau suruh Nabi Musa melayannya dengan lemah lembut. Dosa yang begitu besar pun dilakukan oleh Fir'aun, namun Engkau suruh juga agar dia dilayan dengan baik. Oleh itu, ampunkanlah aku yang tidak mempunyai apa-apa kecuali pakaian yang kasar dan koyak rabak. Itupun aku tidak mengatakan kepunyaanku dan bersedia untuk membuangnya jika dikehendaki. Bagaimana pula seseorang itu putus harap dengan rahmatMu padahal rahmatMu itu amat luasnya? Tuhan! Kebajikan yang paling tinggi dalam dunia ini ialah menyuburkan iman terhadapMu dan nasib baik iman itu terjatuh kepadaku. Berilah kepadaku agar aku dapat melihatMu.

2. Ouh Tuhan! Kurniakanlah hasil kebajikan yang telah aku lakukan kepada orang² soleh yang menuntutnya dan kurniakanlah kepada orang² kafir dalam dunia ini bahagian dunia yang diuntukkan kepadaku. Bagi diriku aku tidak ingin apa-apa kecuali ingatanMu kepadaku selama aku masih hidup di dunia ini dan pandanganMu kepadaku bila aku mati.

3. Ya Allah! Aku ini berdosa tiap-tiap hari. Engkau Maha Pengampun. Ampunkanlah dosaku. Apabila aku ingatkan kelemahanku, takutlah aku kepadaMu. Ouh Tuhan! Tetapi aku jadi berani apabila aku melihat rahmat dan keampunanMu.

4. Ya Allah! Aku ini berdosa. Bagaimana aku hendak ingat kepadaMu? Engkau Maha Pengampun. Bagaimana aku tidak ingat kepadaMu? Ouh Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang.

5. Ya Allah! Sahabatku yang paling akrab dalam hidupku di dunia ini ialah rasa harapku kepada keampunanMu dan hadiah paling berharga dariMu kepadaku ialah mengingatMu dan sentiasa menyebut namaMu.

6. Ouh Tuhan! Amalanku itu bukanlah bertujuan hendak masuk ke syurga tetapi aku takut azab neraka. Oleh itu, kurniakanlah kepadaku rahmatMu dan jadikanlah aku berani.

Kisah Yahya Ma'adz Ar-Razi

INGAT ALLAH LUPA YANG LAIN

      Saudara Yahya menulis surat kepadanya, 'Aku pinta 3 perkara dari Allah. Dia telah kurniakan 2 permintaanku iaitu aku telah mendapat tempat kediaman di Mekah dan seorang hamba perempuan untukku. Hamba ini mengambilkan air untukku berwudhuk. Satu lagi permintaanku masih belum dapat iaitu hendak bertemu denganmu'.
      Sebagai jawapan kepada surat itu, Yahya menulis, 'Seseorang itu hendaklah suci dan meningkatkan ketinggian kerohaniannya agar di mana sahaja dia tinggal di tempat itu ianya menjadi suci seperti Mekah. Orang yang menjadi hamba kepada orang lain hendaklah jangan menyimpan hamba. Orang yang sentiasa ingat kepada Allah tidak ingat kepada yang lain. Disebabkan abang ingat kepada saya, abang telah lupa Allah. Ingatlah Allah sentiasa dan lupakanlah anak², saudara mara dan lain². Apabila abang bertemu dengan Allah, tidak perlu lagi abang ingat kepada saya. Jika tidak bertemu dengan Allah, apakah gunanya abang berjumpa dengan saya?'

YANG LEBIH CANTIK

      Yahya berjalan bersama seorang rakannya melalui sebuah kampung. Rakannya berkata, 'Alangkah cantiknya kampung ini!' Yahya berkata, 'Ada yang lebih cantik dari kampung ini iaitu hati yang cinta kepada Allah hinggakan tidak ada masa mengenangkan yang lain kecuali Allah'.

CAHAYA IMAN TERPADAM DISEBABKAN NAFSU

      Satu hari lampu di bilik Yahya tiba² terpadam. Dia pun menangis. Apabila ditanya kenapa dia menangis, dia menjawab, 'Memandangkan lampu itu padam, aku khuatir pada suatu hari nanti cahaya imanku padam disebabkan nafsu keduniaan'.

Kata² Yahya:

1. Hidup di dunia ini seumpama tidur dan hidup di akhirat itu umpama jaga. Jika seseorang itu menangis semasa di dalam mimpinya, dia akan ketawa apabila dia terjaga. Begitu juga, orang yang menangis di dalam dunia ini kerana takutkan Allah akan senyum di akhirat.

2. Mati itu ibarat jambatan yang menyambung hamba dengan Tuhan yang dicintainya.

3. Iman yang seketika itu akan membasuh dosa 200 tahun.

4. Oleh kerana orang yang cinta kepada Allah itu hanya melakukan dosa apabila Dia berada dalam dirinya, bagaimana pula dia bertanggungjawab tentang dosa itu?

5. Jika mati itu ada dijual di pasar, orang yang cinta Allah akan membeli mati itu.

6. Kurangkan berjumpa dengan ahli dunia dan perbanyakkanlah menyembah Allah.

7. Orang yang jadi kaya melalui berkat menyebut nama Allah adalah orang yang sebenarnya kaya. Orang yang kaya melalui usaha adalah orang yang sentiasa miskin.

8. Dunia ini adalah tempat beribadah.

9. Seketika rindu kepada Allah adalah lebih berharga dari dunia ini.

10. Dunia ini adalah kedai syaitan, takutlah kepadanya. Ianya adalah minuman yang diberi oleh syaitan, janganlah kamu rasainya.

11. Barangsiapa makan banyak, dia akan jadi mangsa hawa nafsu. Di perut yang lapar itu terletak rahmat Allah dan sinarNya.

12. Berhati-hatilah agar kamu tidak makan bersama orang kaya.

13. Hati 'abid (orang yang menghambakan diri kepada Allah sahaja) tenang di 4 tempat ini dan tidak tenang di tempat lain iaitu ketika berseorangan, di dalam masjid, di kubur dan di dalam hutan.

14. Penghalang paling besar bagi mereka yang baru dalam perjalanan ialaah bercampur dengan ahli dunia.

15. Jika 3 perkara ini dibuang, seseorang itu akan mencapai mutu kerohanian yang tinggi iaitu membuang keinginan hendakkan pangkat dan kemuliaan, membuang keinginan hawa nafsu dan membuang hal-hal keduniaan.

16. Rahsia untuk berjaya dalam perjalanan Kerohanian ialah tawakkal kepada Allah dan palingkan wajah dari dunia ini.

17. Redha dengan Allah dan Allah akan redha denganmu. Allah berkata kepada hambaNya, 'Janganlah merungut tentang Aku, tidak cukupkah untuk kamu bahawa kedua alam ini adalah kepunyaanKu dan Aku ini kepunyaan kamu?' Dalam mengumpulkan dunia, manusia terpaksa melalui kehinaan dan kekecewaan tetapi dalam mengumpulkan faedah kerana mengenang Allah, manusia mendapat kemuliaan di sisiNya. Keinginan kepada dunia menjadi hijab antara hamba dengan Tuhan.

Kisah Abu Al-'Abbas Al-Nihawandi

KESAN PENDAPATAN YANG HARAM DAN YANG HALAL

      Satu masa, seorang telah datang kepada Abu Al-'Abbas dan bertanya kepadanya, kepada siapakah dia patut menghadiahkan wangnya (wang itu didapatinya secara haram). Abu Al-'Abbas diam. Orang kaya itu pun menghadiahkan wang haramnya itu kepada seorang darwisy. Pada keesokkannya, orang kaya itu melihat wang haram yang diberikan olehnya kepada darwisy itu telah dibelanjakan oleh darwisy itu dengan membeli minuman keras. Lalu, orang kaya itu mengadu kepada Abu Al-'Abbas.
      Syeikh Abu Al-'Abbas itu pun mengeluarkan wang satu dirham dari sakunya dan memberikan wang itu kepada orang kaya tersebut. Syeikh itu meminta orang kaya itu menghadiahkan wang itu kepada orang pertama yang dijumpainya dalam perjalanannya itu. Lalu orang kaya itu pun memberikan wang itu kepada orang yang mula-mula sekali ditemuinya dalam perjalanan itu dan orang kaya itu mengikuti orang itu untuk melihat bagaimanakah orang itu membelanjakan wang itu. Orang yang menerima hadiah wang itu pun pergi masuk ke dalam hutan. Orang kaya itu melihat, orang itu mengeluarkan seekor burung yang mati dari bajunya dan terus membuang burung itu.
      Kemudian orang itu, pergi ke pasar dan membeli sedikit roti dengan wang itu dan kemudian kembali ke rumahnya. Orang kaya itu bertanya kepada orang itu, apakah maksudnya dia membuang burung itu. Orang itu menjawab, 'Beberapa hari saya dan keluarga saya tidak ada makanan. Hari ini, ketika saya pergi mencari makanan, saya jumpa burung mati itu di dalam sepohon pokok. Sedang saya berjalan pulang ke rumah, saya berjumpa dengan tuan. Oleh itu saya buang burung itu di tempat saya menemuinya. Saya terima wang tuan dan membeli roti dan sekarang bolehlah kami makan dan bersyukur kepada Allah'.
      Apabila orang kaya itu menceritakan peristiwa itu kepada Syeikh Al-'Abbas Al-Nihawandi, beliau menjawab, 'Wang tuan itu telah didapati secara tidak baik dan dengan itu telah disalahgunakan tetapi wang saya didapati dengan cara yang halal, maka digunakan dengan baik oleh penerimanya'.  

Kisah Fudhail 'Iyadh

HANYA BERHUTANG KEPADA ALLAH

      Apabila Harun Al-Rasyid cuba hendak membayar hutangnya kepada Fudhail sekiranya dia ada hutang dengan Fudhail, Fudhail menjawab, 'Aku hanya berhutang kepada Allah. Penyembahanku pada Allah tidak secukup apa yang dikurniakan oleh Allah kepadaku. Disamping itu Allah memberi kurnia kepadaku hingga aku tidak perlu berhutang kepada sesiapa'.

ENGGAN BERJUMPA

      Fudhail enggan berjumpa dengan sesetengah daripada saudara maranya kerana katanya, 'Tidakkah kamu ada kerja yang lebih baik daripada melawat aku ini? Dan dengan lawatan itu, kamu telah membuangkan masa kamu dan masa aku sahaja?'

DUA CINTA TIDAK BOLEH BERADA DALAM SATU HATI

      Satu hari, anak Fudhail yang sedang diribanya itu bertanya kepada Fudhail, 'Ayah, kasihkah ayah kepadaku? Kata Fudhail, 'Ya'. Kemudian anak itu bertanya, 'Adakah ayah cinta kepada Allah juga?' Kata Fudhail, 'Ya'. Anaknya berkata, 'Ayah, dua cinta tidak boleh terletak dalam satu hati'. Fudhail mengganggap peringatan itu sebenarnya datang dari Allah. Beliau pun mengangkat anak itu dari ribanya dan selepas itu dia tidak mahu lagi mencintai anaknya. Beliau menghabiskan masanya dengan beribadah kepada Allah.

Kata² Fudhail:

1. Di hari kiamat, ramai orang kaya terbelenggu dan pemegang² jawatan dunia ini akan mengalami kesusahan kerana mereka akan dibicarakan tentang perbuatan mereka. Oleh itu bersedialah untuk menjawab soalan terhadap perbuatan kamu pada hari itu.

2. Kasihnya Allah, orang² yg berdosa itu, Allah tidak membalasnya sekarang tetapi ditangguhkan olehNya.

3. Orang yg dikasihi Allah itu, ditimpakan olehNya kesusahan dan orang yg dimurkai Allah, dikurniakan olehNya kesenangan.

4. Sebagaimana tidak mungkin menangis di syurga, maka begitulah pula tidak mungkin ketawa di dunia ini. Syurga itu bukan tempat untuk menangis dan dunia ini pula bukan tempat untuk ketawa.

5. Allah berkata, 'Apabila hambaKu mengingat Aku, Aku akan mengingat dia. Bila dia lupa kepadaKu, Aku akan lupa kepadanya'.

6. Selama tiga puluh tahun, aku tidak pernah tersenyum.

7. Aku ingin jatuh sakit agar dapat aku bersama Allah dan terselamat dalam solat jemaah.