Showing posts with label dunia. Show all posts
Showing posts with label dunia. Show all posts

Saturday, 25 July 2015

Lakuan Allah

      Lakuan atau perbuatan Allah itu dizahirkan kepada auliya dan abdal dalam kasyaf (pandangan kerohanian) dan musyahadah (pengalaman kerohanian) dan ini melebihi jangkauan akal manusia dan mencarik adat dan kebiasaan. Penzahiran atau manifestasi ini ada 2 jenis; satu dinamakan Jalal (kebesaran dan keagungan) dan satu lagi dinamakan Jamal (keindahan). Jalal ini menimbulkan kehebatan dan mempengaruhi hati demikian rupa hingga tanda-tandanya nampak pada badan kasar. Adalah diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w sedang sembahyang, maka terdengarlah oleh orang, bunyi seperti air mendidih dari hati baginda oleh kerana hebat dan gentarnya hati beliau menghadap Allah s.w.t, satu pengalaman yang baginda rasai apabila Allah menunjukkan Keagungan dan KebesaranNya. Kejadian seperti itu juga ada berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s dan Khalifah Umar r.a.
      Pengalaman yang dirasai apabila Allah menzahirkan sifat JamalNya ialah hati si hamba itu akan merasai gembira, tenang, sentosa, selamat dan kata-kata yang kasih mesra dan tanda-tanda yang menggembirakan tentang kurniaan-kurniaan yang besar dan kedudukan yang tinggi dan kehampiran kepadaNya, yang kepadaNya semua perkara-perkara mereka itu akan kembali. Inilah kurniaan dan rahmat Allah kepada mereka dalam dunia. Hati mereka yang cinta kepada Dia itu akan dipuaskan olehNya semoga mereka merasa senang. Allah kasih dan sayang kepada mereka. Nabi pernah berkata kepada Bilal, 'Hiburkan hati kami, wahai Bilal'. Apa yang baginda maksudnya ialah supaya Bilal bang (azan) agar Nabi masuk dalam keadaan sembahyang untuk merasai manifestasi sifat Jamal Allah itu. Kerana itulah Nabi berkata, 'Dan kesejukan mataku telah terasa dalam sembahyang'.

~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani) 

Saturday, 11 July 2015

Apabila Kamu Dalam Keadaan Tertentu

       Apabila kamu dalam keadaan atau hal yang tertentu, janganlah meminta keadaan yang lebih tinggi atau lebih rendah. Apabila kamu berada di pintu istana, janganlah kamu hendak masuk kecuali kamu disuruh masuk. Janganlah menganggap cukup dengan kebenaran masuk itu sahaja kerana boleh jadi itu satu helah atau penipuan dari raja itu. Hendaklah kamu sabar, sehingga kamu dipaksa masuk ke istana itu atas perintah raja itu sendiri. Kerana dengan itu, kamu tidaklah dipertanggungjawabkan tentang perbuatan kamu masuk ke istana itu. Jika sekiranya kamu dihukum juga, maka itu adalah kerana kamu bersalah, tamak, tidak sabar, tidak bersopan santun dan hendakkan kepuasan dengan keadaan hidup yang kamu sedang berada itu. Jika kamu telah dipaksa masuk dan kamu masuk, maka hendaklah kamu masuk dengan sopan santun dan penuh hormat dan perhatikan apa yang kamu diperintahkan tanpa meminta kenaikan taraf dalam hidup itu. Allah berfirman kepada RasulNya: "Dan janganlah pandanganmu dipengaruhi oleh apa yang Kami kurniai kepada segolongan manusia dari kemegahan hidup di dunia ini kerana Kami menguji mereka dengan itu; adalah rezeki yang diberi oleh Tuhanmu itu lebih baik dan lebih kekal".
      Allah menasihati NabiNya supaya berhati-hati dengan keadaan yang ada itu dan redha dengan kurniaan Allah. Dengan lain perkataan, firman ini menyatakan, "Apa sahaja yang Kuberi kepadamu dari perkara yang baik-baik, dan kenabian dan ilmu dan keredhaan dan sabar dan kekuasaan agama dan berjihad pada jalan Allah - semua ini adalah lebih baik dan lebih berharga daripada apa yang Aku beri kepada orang-orang lain". Kebaikan itu terletak dalam menjaga keadaan yang sedia ada dan berpuas hati dengannya dan menjauhkan kehendak-kehendak kepada yang lain kerana perkara itu sama ada telah dikhaskan untuk kamu atau kepada orang lain atau tidak kepada sesiapapun tetapi telah dijadikan oleh Allah sebagai satu ujian. Jika sesuatu perkara itu telah diuntukkan bagi kamu, maka kamu tentu akan mendapatinya sama ada kamu suka atau tidak. Tidaklah wajar kamu menunjukkan ketidaksopanan atau menunjukan tamak kerana itu berlawanan dengan akal dan ilmu yang sempurna. Apalah gunanya kamu mengharapkan apa yang telah ditentukan untuk orang lain kerana kamu tidak akan mendapatinya. Sekiranya sesuatu perkara itu tidak diuntukkan kepada sesiapapun, maka itu adalah satu ujian belaka. Orang yang berakal sempurna tidak akan bersahaja-sahaja mencari sesuatu ujian. Oleh itu kebaikan itu ialah menjaga dan redha dengan keadaan yang ada sekarang.
      Setelah kamu dibawa ke tingkat atas dan dari situ ke bumbung istana, kamu akan hati-hati seperti yang kami nyatakan tentang penghormatan, perangai baik dan tidak bercakap banyak. Hati-hatilah, kamu hendaklah membuat lebih dari ini kerana kamu sekarang makin hampir dengan raja itu dan hampir pula kepada bahaya. Oleh itu janganlah minta pertukaran dari keadaan yang ada kepada keadaan yang lain, sama ada lebih tinggi atau lebih rendah, dan jangan pula kamu minta keadaan itu berkekalan atau bertukaran. Kamu tidak ada pilihan sendiri dalam perkara ini. Jika kamu meminta, maka itu tanda kamu kurang sopan dan merendahkan darjat kamu dan merugikan kamu juga. Dengan yang demikian teruskanlah bertindak sebagaimana yang kam tunjuki, sehingga kamu dinaikkan ke satu taraf dan kamu akan ditetapkan di taraf itu, maka ketika itu tahulah kamu bahawa itu adalah kurniaan Allah yang menunjukkan tanda-tanda kebesaranNya. Tetaplah kamu di tempat itu dan tidaklah diubah-ubah lagi. Ahwal (keadaan pertukaran kerohanian) adalah kepunyaan aulia (wali Allah biasa) dan Muqamah (perhatian kerohanian) adalah kepunyaan Abdal (wali Allah yang lebih tinggi tarafnya).      

~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani) 

Thursday, 9 July 2015

Keluarlah Dari Diri Kamu Sendiri

       Keluarlah dari diri kamu sendiri dan serahkan segala-galanya kepada Allah. Penuhkan hatimu dengan Allah. Patuhlah pada perintahNya dan larikan diri dari laranganNya agar nafsu badaniah kamu tidak memasuki hati kamu setelah ianya keluar. Untuk membuang nafsu² badaniah dari hatimu, kamu hendaklah berjuang melawannya dan jangan menyerah kepadanya dalam semua keadaan dan masa. Oleh itu janganlah berkehendakkan kepada sesuatu yang bukan kehendak Allah. Kehendak kamu yang bukan kehendak Allah adalah kehendak nafsu badaniah. Kehendak ini jika diturut akan merosakkan diri kamu dan menjauhkan kamu dari Allah. Patuhlah kepada perintah Allah dan jauhkanlah laranganNya dan bertawakkallah kepada Dia sahaja dan sekali-kali jangan menyengutuiNya. Dia yang menjadikan nafsu dan kehendak kamu. Oleh yang demikian, janganlah berkehendakkan atau berhajatkan atau bercita-cita untuk mendapatkan sesuatu supaya kamu tidak tercebur ke lembah syirik. Allah berfirman: "Barangsiapa bercadang hendak bertemu dengan Tuhannya, dia hendaklah beramal saleh dan janganlah sekutukan Allah dengan apa jua".
       Syirik itu bukan sahaja semata-mata menyembah berhala. Syirik itu juga termasuk menurut hawa nafsu dan menyengutukan apa sahaja yang di dunia dan yang di akhirat dengan Allah, kerana apa sahaja yang lain Allah, bukanlah Tuhan. Oleh itu jika kamu tumpukan hati kepada yang lain dari Allah, maka kamu telah syirik. Oleh itu jangan sekutukan Allah itu secara kasar dan secara halus. Berjaga-jagalah, jangan berdiam diri, berhati-hatilah dan waspada selalu semoga kamu beroleh selamat. Segala pangkat dan kebaikan yang kamu perolehi janganlah kamu katakan datang dari kamu sendiri atau kepunyaan kamu sebenarnya. Jika kamu diberi sesuatu hal atau keadaan atau kenaikan kepada sesuatu taraf kedudukan, janganlah dihebohkan kepada sesiapa. Kerana dalam pertukaran suasana dari hari ke hari itu, Allah menzahirkan keagunganNya dalam aspek-aspek yang sentiasa baru dan Allah menyelangi antara hambaNya dengan hati-hati mereka. Boleh jadi apa yang kamu katakan milik kamu itu akan dilepaskan dari kamu. Dan apa yang kamu anggap kekal itu boleh jadi bertukar keadaan, maka kamu akan merasai malu pada mereka yang kamu cakapkan itu. Lebih baik kamu berdiam diri dan simpan dalam pengetahuan kamu sahaja dan tidak menyampaikan kepada sesiapa. Jika kamu memiliki sesuatu, ketahuilah bahawa itu adalah kurnia Allah dan bersyukurlah kepadaNya dan bermohonlah kepadaNya supaya ditambahi dengan nikmat-nikmatNya. Jika sesuatu itu lepas dari kamu, maka ianya akan menambahkan ilmumu, kesedaranmu dan waspadamu. Allah berfirman: "Apa sahaja perutusan (kitab-kitab terdahulu) yang Kami batalkan atau Kami jadikan ianya dilupakan, maka Kami bawa yang terlebih baik atau yang seumpamanya. Adakah kamu tahu bahawa Allah Berkuasa Terhadap Segala Sesuatu?"
       Oleh itu, janganlah disangka Tuhan Allah itu tidak berkuasa dalam sesuatu perkara dan janganlah disangka ada kekurangan dalam ketentuanNya dan peraturanNya, serta janganlah syak wasangka tentang janji-janjiNya. Contohilah Nabi Besar Muhammad s.a.w. Ayat-ayat yang diwahyukan kepada baginda itu dipraktikkan, dibaca di dalam masjid, ditulis di dalam buku, bahkan diambil dan ditukar dengan yang lain dan perhatian Nabi diarahkan kepada perkara-perkara wahyu-wahyu yang baru diterimanya yang mengganti ayat-ayat yang lama itu. Ini terjadi dalam perkara hukum-hukum yang zahir.
      Berkenaan dengan perkara-perkara kebatinan, ilmu dan keadaan kerohanian yang didapati antara baginda dengan Tuhan, baginda biasa berkata bahawa hatinya biasa diselubungi dan baginda memohon perlindungan Allah 70 kali sehari. Juga diceritakan bahawa 100 kali sehari Nabi biasa dibawa dari satu keadaan atau hal kepada satu keadaan atau hal yang lain dan dengan itu baginda dibawa ke peringkat-peringkat yang hampir dan lebih hampir lagi ke hadrat Ilahi. Baginda mengembara ke alam Yang Maha Tinggi dan nur menyelubungi baginda dari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi. Tiap-tiap satu peringkat yang dinaikinya, maka peringkat yang di bawah itu nampaknya gelap jika dibandingkan dengan peringkat yang atas itu. Makin tinggi, makin bersinarlah nur Allah melimpahi hati sanubari baginda. Baginda biasa menerima arahan supaya memohon ampun atau perlindungan Tuhan kerana sebaik-baik hamba Allah itu ialah mereka yang sentiasa memohon ampun dan perlindungan Allah dan sentiasa kembali kepadaNya. Ini ialah kerana untuk menyedarkan kita bahawa kita ini ada mempunyai dosa dan kesalahan yang mana kedua-dua ini ada didapati pada hamba-hamba Allah dalam semua keadaan hidupnya dan kepunyaannya sebagai warisan dari Adam a.s yang menjadi bapa segala manusia dan hamba pilihan Allah. Apabila lupa kepada perintah Allah itu telah mengaburkan cahaya kerohaniannya dan baginda menunjukkan keinginan hendak kekal di syurga dan di samping Tuhan, dan Tuhan berkehendakkan menghantar Malaikat Jibril kepada baginda, pada masa itu kehendak diri (ego) baginda terzahir dan kehendak Adam terdapat bercampur dengan kehendak Allah. Oleh itu kehendak baginda itu dihancurkan dan keadaan pertama itu dihilangkan dan kehampiran kepada Tuhan di masa itu dihilangkan dan cahaya keimanan yang terang-benderang itu bertukar kepada kabur dan kesucian rohani baginda telah menjadi sedikit kotor. Maka Allah akan memperingatkan baginda dan menyedarkan kesalahannya dan dosanya dan diperintahkan supaya mengakui kesalahan dan dosanya dan meminta ampun kepada Allah.
       Adam a.s berkata: "Ouh Tuhan! Kami telah menzalimi diri kami sendiri dan jika tidak Engkau ampuni kami dan mengasihani kami sudah tentu kami termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi". Kemudian itu, datanglah kepada beliau cahaya petunjuk, kesedaran bertaubat, pengetahuan hakikat akibatnya dan ilmu hikmat yang tersembunyi dalam kejadian inipun terbukalah. Maka, Allah menghampiri mereka dengan kasih sayangNya agar mereka bertaubat. Maka kehendak yang timbul dari Adam itupun ditukarkan dan keadaannya yang dahulu itupun ditukarkan, maka dikurniai kepadanya peringkat waliah (kewalian) yang lebih tinggi dan diberi makam (stesen) dalam dunia ini dan di akhirat kelak. Jadilah dunia ini tempat tinggalnya dan keturunannya dan akhirat kelak tempat kembali yg kekal abadi.
       Jadikanlah Nabi Besar Muhammad s.a.w yang mana baginda itu seorang Rasul dan kekasih Allah dan hambaNya yang pilihan dan bapa segala insan iaitu Adam hamba Allah yang pilihan sebagai contoh dan tauladan. Contohilah mereka kedua itu dalam hal mengakui kesalahan dan dosa sendiri dan meminta ampun kepadaNya dan meminta perlindunganNya dari noda dan dosa dan contohilah mereka dalam hal merendahkan diri kepada Allah kerana insan ini adalah lemah dalam segala hal.

~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani) 

Thursday, 23 April 2015

Hancurkan Hati Kamu

      Jauhkanlah diri dari orang ramai dengan perintah Allah dan dari nafsu kamu dengan perintahNya dan dari kehendakmu dengan lakuanNya, agar kamu layak menjadi bekas untuk mengisi ilmu Allah. Tanda kamu telah menjauhkan diri dari orang ramai ialah kamu telah seluruhnya memutuskan segala perhubungan dengan orang ramai dan membebaskan fikiran² kamu dari segala apa yang bersangkutan dengan mereka.
      Tanda kamu telah putus dari nafsu² kamu ialah kamu telah membuang segala usaha dan daya untuk dunia dan perhubungan dengan cara² dunia untuk mendapatkan apa² faedah dan menghindarkan bahaya dan kamu janganlah bergerak untuk kepentingan kamu sendiri. Janganlah kamu bergantung kepada diri sendiri tentang perkara yang bersangkutan dengan diri kamu. Janganlah kamu melindungi diri kamu dan menolong diri kamu sendiri. Serahlah segala-galanya kepada Allah kerana Dia lah yang menjaga dan memelihara segala-galanya dari azali lagi sehingga abadi selama-lamanya. Dia lah yang menjaga kamu dalam perut ibumu sebelum kamu lahir dan Dia lah yang memelihara kamu semasa kamu masih bayi.
      Tanda kamu telah hilang dari kehendak kamu dengan lakuan atau perbuatan Allah ialah kamu tidak lagi melayan apa² hajat dan kamu tidak ada apa² matlamat atau tujuan, kamu tidak lagi ada keperluan atau maksud kerana kamu tidak ada tujuan atau keperluan selain Allah semata-mata. Lakuan Allah pun terzahir pada kamu dan pada masa pergerakan kehendak dan lakuan Allah itu, kamu hanya pasif pada badan, tenang dalam hati, luas fikiran, mukamu berseri-seri dan jiwa kamu bertambah subur. Maka kamu akan terlepas dari keperluan kebendaan kerana kamu telah berhubung dengan Al-Khaliq. Tangan kuasa akan mengerakkan kamu. Lidah abadi akan memanggil kamu. Tuhan sekalian alam akan mengajar kamu dan akan memberi pakaian dengan cahaya dari diriNya dan dengan pakaian kerohanian dan akan meletakkan kamu dalam peringkat orang² alim yang dulu².
      Selepas pengalaman ini akan bertambah hancurlah "hati" kamu sehingga hapuslah hawa nafsu dan kehendak kamu umpama tempayan yang pecah yang tidak mengandungi air walau setitikpun. Kosonglah kamu dari semua lakuan² kemanusiaan dan diri kamu tidak menerima yang lain kecuali kehendak Allah. Pada peringkat ini kamu akan dikurniai keramat² dan perkara² yang luar biasa. Perkara² itu pada zahirnya datang dari kamu tetapi sebenarnya adalah lakuan dan kehendak Allah jua.
      Maka masuklah kamu dalam golongan orang² yang telah pecah hatinya dan telah hilang nafsu² kebinatangannya. Selepas itu akan diberi sifat² Ketuhanan Yang Maha Tinggi. Berkenaan hal inilah Nabi Besar Muhammad s.a.w telah bersabda: 'Aku gemar tiga perkara dari dunia ini - bau-bauan harum, perempuan dan sembahyang yang mataku sejuk di dalamnya'. Semua ini diberi kepadanya setelah kehendak² dan nafsu² yang tersebut dahulu itu lepas dari dirinya. Allah berfirman: "Aku bersama mereka yang pecah hatinya kerana Aku".
      Allah s.w.t tidak bersama kamu sekiranya semua nafsu dan kehendak kamu itu tidak dihancurkan. Apabila semua hancur dan tidak ada lagi yang tinggal pada kamu maka kamupun sesuailah untuk "diisi" dengan Allah dan Allah akan menjadikan kamu orang baru yang dilengkapi dengan tenaga dan kehendak baru yang pula. Jika ada lagi diri kamu walau sedikitpun, maka Allah akan menghancurkan itu pula sehingga kamu kosong semula dan selama-lamanya kamu tetap hancur hati. Allah akan menjadikan kehendak² baru dalam diri kamu dan jika dalam pada itu masih juga ada ego (diri) kamu, maka Allah akan menghancurkan terus. Demikianlah terjadi sehingga kamu menemui Tuhanmu di akhir hayat nanti. Inilah maksud firman Tuhan, "Aku bersama mereka yang hancur hatinya kerana Aku". Kamu akan dapati diri kamu "kosong" dan sebenarnya ada ialah Allah.
      Allah berfirman dalam hadis Qudsi: "HambaKu yang taat sentiasa meminta kehampiran dengan Aku melalui sembahyang² sunat sehingga Aku jadikan dia rakanKu dan apabila Aku jadikan dia rakanKu, Aku menjadi telinganya yang dengannya dia mendengar, matanya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memegang, dan kakinya yang dengannya dia berjalan iaitu dia mendengar melalui Aku, memegang melalui Aku dan mengetahui melalui Aku". Sebenarnya ini adalah keadaan "fana' (hapuskan diri)". Apabila kamu telah fana' terhadap diri dan makhluk, dan oleh kerana makhluk itu baik atau jahat dan oleh kerana diri kamu itu baik atau jahat, maka tidaklah ada dalam pandangan sebarang kebaikan yang datang dari diri kamu atau makhluk itu dan tidaklah kamu takut kedatangan kejahatan dari makhluk. Semua itu terletak pada tangan Allah semata-mata. Daripada itu datangnya buruk dan baik. Dia yang menentukan segala-galanya semenjak dari awal² lagi.
      Oleh yang demikian, Dia akan beri kamu keselamatan dari segala kejahatan makhluk²Nya dan akan membenamkan kamu dalam lautan kebaikanNya. Maka jadilah kamu titik tumpuan segala yang baik dan sumber keberkatan, kebahagiaan kesentosaan, nur (cahaya), keselamatan dan keamanan. Oleh itu "fana'" adalah tujuan dan matlamat dan hujung dan dasar perjalanan wali Allah. Semua wali Allah yang terdahulu dalam peringkat kemajuan mereka telah memohon dengan sungguh² untuk menukar kehendak atau kemahuan Allah. Semua mereka menukar kemahuan atau kehendak mereka ke dalam kemahuan atau kehendak Allah. Pendeknya mereka memfana'kan diri mereka dan mewujudkan Allah. Sebab itulah mereka digelar 'Abdal' (perkataan yang diambil dari perkataan 'Badal' yang bermakna "Pertukaran"). Pada pendapat mereka adalah satu dosa menyengutukan kehendak mereka dengan kehendak Allah.
      Sekiranya mereka lupa, dikuasai oleh emosi dan ketakutan, maka Allah Yang Maha Kuasa akan menolong mereka dan menyedarkan mereka dan dengan itu mereka kembali sedar dari lupa dan memohon perlindungan Allah. Tidak ada manusia yang benar² bebas dari pengaruh kehendak ego (diri) sendiri kecuali malaikat. Malaikat itu dipelihara Allah dalam kesucian kehendak mereka dan nabi² dipelihara dari nafsu badaniah. Jin dan manusia telah diberi tanggungjawab supaya berakhlak baik. Tetapi tidak terpelihara dari dipengaruhi oleh dosa dan maksiat. Wali² dipelihara dari nafsu² badaniah dan abdal dari kekotoran kehendak atau niat. Meskipun begitu mereka tidaklah bebas mutlak kerana mungkin merekapun ada kelemahan untuk melakukan dosa tetapi Allah dengan kasih sayangNya akan menolong dan menyedarkan mereka.

~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani) 

Tuesday, 14 April 2015

Apabila Kamu Melihat Dunia

      Apabila kamu melihat dunia di dalam tangan orang² ahli dunia dengan hiasan dan kekosongannya, penipuan dan perangkapnya dan dengan racunnya yang membunuh yang di luarnya lembut dan di dalamnya mencederakan dan cepat pula merosak dan membunuh sesiapa yang memegangnya dan menipu mereka dan menyebabkan mereka lali dalam dosa dan maksiat. Apabila kamu melihat semua ini, maka hendaklah kamu bertindak selaku seorang yang melihat seorang lain membuang air besar yang membuka anggotanya yang sulit dan mengeluarkan bau yang busuk. Dalam keadaan itu kamu hendaklah menghindarkan pandangan terhadap ketelanjangannya itu dan menutup hidungmu supaya tidak terbau yang busuk. Begitulah kamu bertindak terhadap dunia. Apabila kamu melihatnya, hindarkan pandangan dari pakaiannya dan tutup hidungmu dari membau keseronokannya yang tidak kekal, mudah-mudahan kamu terselamat darinya dan cubaan-cubaannya. Apa yang telah ditetapkan Allah untuk kamu tentu kamu akan merasainya. Allah telah berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w:

"Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah KAMI berikan kepada golongan² dari mereka sebagai bunga kehidupan dunia untuk KAMI cubai mereka dengannya. Dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal". Surah Thoha, 20, ayat 131.

~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani)