Showing posts with label hari kiamat. Show all posts
Showing posts with label hari kiamat. Show all posts

Thursday, 16 April 2015

Kisah Habib Al-'Ajmi

MEMBERI DENGAN NAMA ALLAH

      Satu hari, seorang tetamu sedang makan sedikit makanan yang dihidangkan oleh 'Ajmi. Pada ketika itu, datanglah seorang pengemis. 'Ajmi pun terus mengambil makanan itu dan memberi kepada pengemis tersebut. Tetamu itu (Hasan Al-Basri) terperanjat melihat kelakuan 'Ajmi itu dan berkata, 'Kamu patutlah tahu sedikit sebanyak tentang adat sopan'. 'Ajmi diam sebentar. Hasan terkejut apabila tiba² datang seorang perempuan membawa hidangan yang lazat. Kedua-duanya pun makan. Kemudian 'Ajmi pun berkata, 'Hasan, kamu adalah orang baik. Kamu hendaklah mengukuhkan imanmu kepada Allah (iaitu sesuatu yang diberi dengan nama Allah akan mendapat ganjaran berlipat ganda)'.

HATI SUCI IKHLAS DIPENTINGKAN

      Suatu ketika Hasan pergi bertemu Habib Al-'Ajmi di waktu asar. Hasan mendengar 'Ajmi membaca bacaan dalam sembahnyang dengan tidak betul bacaannya. Hasan tidak mahu sembahyang bersama dia, lalu Hasan sembahyang berasingan. Pada malam itu, Hasan bermimpi bahawa Allah berkata kepadanya, 'Hasan jikalau kamu menjadi makmum dalam sembahyang dengan 'Ajmi itu, kamu akan dapat keredhaanKu dan sembahyang yang itu adalah lebih berfaedah dari sembahyang yang kamu telah lakukan sepanjang hidupmu. Kamu salahkan sebutan bacaannya yang salah tetapi kamu tidak tahu kesucian dan keikhlasan hatinya. Ketahuilah Kami lebih mementingkan hati yang suci bukan hanya menyebut bacaan yang betul'.

Hasan: 'Ajmi (murid Hasan), bagaimana kamu boleh sampai ke peringkat kerohanian yang tinggi itu?
'Ajmi: Dengan membersihkan hati melalui sembahyang dan bukan dengan menghitamkan kertas melalui tulisan. Mendengar itu, Hasan berkata, 'Sayang! Pengajaranku menguntungkan orang lain, bukan diriku!'

HATI ISLAM

Habib Al-'Ajmi menangis teresak-esak bila mendengar orang membaca Al Quran. Orang bertanya: 'Jika kamu tidak tahu maksud bacaan Quran itu, kenapa kamu menangis?' Dia menjawab, 'Meskipun aku ini orang Iran tetapi hatiku Arab'.

Kata² Al-'Ajmi:

1. Allah sendiri memelihara mereka yang mengabdikan diri kepadaNya.

2. Dengki dan cinta kepada dunia mestilah disingkirkan dari hati orang yg betul² menuju Allah.

Kisah Sirri Al-Saqti

      Dia tidak pernah merasai manisan selama 40 tahun meskipun dia inginkan manisan itu setiap hari. Setiap hari dia melihat cermin beberapa kali kerana khuatir mukanya bertambah hitam oleh dosanya.

CINTA ALLAH

      Murid Sirri iaitu Junaid pernah ditanya, 'Apakah cinta?' Junaid menjawab, 'Ada orang kata cinta itu ialah menurut kehendak Allah, yang lain pula berkata cinta itu ialah menurut perintah Allah'. Sirri cuba mensiatkan kulit tangannya tetapi tangannya sangat kurus. Kemudian dia berkata, 'Jika saya katakan bahawa cinta itu membawa saya kepada suatu keadaan yang boleh mengeringkan darah dan dagingku, maka apa yang saya katakan tentang cinta ini tidaklah salah'. Setelah berkata demikian, dia pun pengsan dan mukanya berseri-seri seperti cahaya matahari. Apabila Sirri sedar, dia berkata, 'Orang yang benar² cinta kepada Allah itu jika dipancung, tidak akan merasai sakit. Pada mulanya saya tidak kenal cinta itu tetapi Allah kurniakan kepadaku perasaan itu dan saya dapat rasai sedikit cinta itu sekarang'. 

 TIDAK MAHU DIGANGGU

      Apabila murid² meminta supaya Sirri mendoakan mereka supaya Allah beri ilmu, Sirri memohon supaya mereka diberi ilmu yang mereka tidak perlu lagi menambah ilmu itu dan dia tidak dikacau lagi apabila dia sedang mengenang Allah.

TERPENGARUH DENGAN KATA², AKHIRNYA MENJADI HAMBA ALLAH YANG DICINTAI

      Suatu hari,sewaktu Sirri sedang memberi syarahan, khalifah pun datang dengan segala kebesarannya. Pada masa itu Sirri sedang berkata, 'Makhluk yang paling dimuliakan Allah ialah manusia, namun begitu manusia banyak melakukan dosa'. Khalifah kembali ke istananya. Pada malam itu, khalifah tidak dapat tidur kerana terkenangkan balasan Allah di akhirat kelak. Esoknya, baginda buang pakaian kerajaan dan memakai pakaian Darwisy. Baginda terus berjumpa Sirri dan berkata bahawa syarahan beliau itu telah mempengaruhinya dan menyebabkan baginda ingin membuangkan segala hal keduniaan dan ingin memencilkan diri untuk menuju jalan Allah. Baginda meminta Sirri menunjukkan jalan itu.
      Sirri memberitahu baginda bahawa ada 2 jalan menuju Allah itu. Pertama ialah apa yang diperintahkan oleh Quran seperti sembahyang 5 waktu sehari semalam, memberi zakat, membaca Quran dan lain² perintah agama. Jalan yg kedua ialah jalan yang lebih dekat iaitu membuangkan hal² keduniaan dan menghabiskan masa beribadat kepada Allah, tidak meminta kepada makhluk dan tidak menerima daripada mereka, terima pemberian Allah dan meminta kepada Dia sahaja.
      Setelah mendengar itu, khalifah pun terus pergi ke hutan belantara. Ibunya menangis dan merungut yang Sirri lah yang menyebabkan anaknya menjadi Darwisy dan sekarang tidak diketahui di mana dia. Sirri berkata, janganlah risau, dia akan kembali tidak lama lagi. Setelah khalifah menjadi Darwisy itu kembali ke tempat Sirri, dia pun menjemput ibu dan anak isterinya khalifah itu bertemu dengannya. Melihatkan keadaan  khalifah yang telah jadi Darwisy itu, mereka semuanya menangis dan memujuknya supaya menjadi khalifah semula. Khalifah itu pun cuba hendak lari kerana enggan menurut kata mereka. Isterinya meminta supaya dibawa anaknya seorang bersamanya. Khalifah itu pun menanggalkan pakaian indah anaknya itu dan memakaikan pakaian kasar Darwisy. Apabila ibu kanak² itu melihat pakaian yang buruk itu, maka disambarnya anaknya kembali dan terus mereka kembali ke istana dengan meninggalkan khalifah yang telah jadi Darwisy itu kembali ke hutan belantara.
      Beberapa hari kemudian, ada orang memberi khabar kepada Sirri menyatakan bahawa khalifah itu akan meninggalkan dunia ini tidak lama lagi dan dia meminta Sirri bertemu dengannya. Sirri sampai ke tempat perkuburan di mana dilihatnya Khalifah itu terbaring di atas tanah. Sirri terus duduk dan meletakkan kepala khalifah itu diribanya. Khalifah itu berkata, 'Tuan terlambat sedikit'. Setelah menyebut nama Allah, baginda pun mati. Semasa Sirri pulang ke desanya untuk mengambil alat² untuk mengebumikan baginda itu, di tengah jalan bertemulah dia dengan orang ramai yang membawa alat² yang diperluinya. Mereka berkata bahawa mereka telah terdengar suara ketuhanan yang menyuruh mereka membawa alat² itu menyembahyangkan baginda sebagai hamba kecintaan Allah yang baru sahaja meninggal dunia.

MATI APABILA MENDENGAR NAMA ALLAH

      Sirri bertanya kepada seorang wali Allah, 'Apa nama tuan?'' Dia menjawab, 'Itu'. Ditanya lagi, 'Apa tuan makan?' Jawabnya, 'Itu'. Segala soalan dijawabnya serupa itu juga. Sirri bertanya, 'Apa maksudmu dengan 'itu'? Jawab wali Allah itu, 'Aku maksudkan Allah s.w.t'. Setelah mendengar nama Allah, Sirri menjerit dan terus meninggal dunia.

Kata² Sirri:

1. Orang yang kenal Allah itu akan membuang dunia. Bersahabat dengan dunia itu, merosakkan kerohanian.

2. Ingat Allah dan buangkan dunia. Itulah jalan kerohanian. Hiduplah di dunia ini untuk bekal ke akhirat. Ketahuilah bahawa orang cinta kepada Allah itu tidak tamak kepada dunia.

3. Tempoh beribadah itu ialah sebaik-baiknya di masa muda, dan hendaklah jauhkan diri dari jiran-jiran yang kaya dan orang alim yang menjual ayat² Allah untuk mendapatkan wang

4. Apabila doktor itu sendiri sakit, kepada siapa kita hendak berubat? Apabila Khidr terhuyung hayang dalam perjalanan, kepada siapa kita harapkan bimbingan?

Kisah Mansur bin 'Ammar

HORMAT NAMA DAPAT KURNIAAN ILMU

       Satu hari dia jumpa sekeping kertas di jalanraya. Pada kertas itu tertulis nama Allah. Oleh kerana dia tidak mahu kertas itu dipijak² oleh orang yang lalu lalang, maka diambilnya kertas itu, dilipatnya dan ditelan. Pada malam itu, dalam mimpinya, dia mendengar suara ketuhanan berkata, 'Oleh kerana kamu menghormati nama Kami, maka Kami akan bukakan pintu ilmu kepada kamu'. Dengan kurniaan Tuhan, dia jadi orang alim dan dapat memberi syarahan dengan berkesan sekali.

MEMBELI DOA DENGAN 4 DIRHAM

      Seorang kaya memberi 4 dirham kepada khadamnya untuk membeli barang di pasar. Dalam perjalanan dia teringat syarahan Mansur. Dia berkata, 'Adakah orang yang mahu memberikanku 4 dirham sebagai tukaran 4 doa untukku persembahkan kepada Allah bagi pihaknya?' Khadam itu memberi 4 dirham itu kepada Mansur dan meminta dia berdoa untuk mendapatkan 4 perkara baginya. Mansur bertanya kepadanya, 'Apakah 4 perkara itu?' Khadam itu menjawab, 'Pertama, minta saya dibebaskan; kedua, minta tuanku diberi ampun kerana dosanya; ketiga, sebagai ganti 4 dirham ini saya dapat 4 dirham yang lain dan keempat, Allah beri rahmatNya kepadaku, kepada tuan dan segala hadirin di sini'.
      Mansur pun berdoa memohon 4 perkara itu. Apabila khadam itu sampai ke rumah, tuanya marah kepadanya kerana terlambat tetapi apabila khadam itu menceritakan segala yang berlaku tadi, maka tuannya itu pun tidak jadi marah bahkan dia terpengaruh oleh kata² khadamnya itu. Ketika itu, dia terasa hendak bertaubat. Dia pun sujud dan terus meminta ampun ke hadrat Tuhan. Kemudian, khadam itu dibebaskan dan dengan sukacitanya diberi hadiah 400 dirham pula. Dalam mimpinya, orang kaya itu mendengar suara ketuhanan berkata, 'Kamu telah memberi khidmatmu, sekarang Kami akan beri kurnia kepadamu. Terimalah rahmat Kami kepadamu, khadammu itu, kepada Mansur bin 'Ammar dan pengikut² dia'.

Kata² Mansur:

1. Barangsiapa ingin berjumpa dengan ahli dunia akan berjauhan dengan Allah.

2. Kebersihan hati dicapai dengan 4 latihan, bercampur dengan aulia Allah, mengkaji Al Qur an, sembahyang di waktu malam, mengeluarkan airmata pada masa sembahyang subuh.

3. 'Anak² kamu dan harta benda kamu adalah musuh² kerohanian kamu', demikian firman Allah dalam Al Qur an.

4. Orang yang lari dari makhluk menuju Allah adalah hamba sejati.

Kisah Abu 'Uthman Al-Hiri

TOLONG KELDAI DAPAT RAHMAT

     Satu hari, semasa masih kanak², dia pergi ke sekolah ditemani oleh 4 orang khadam. Dia membawa bekas dakwat yang diperbuat daripada emas dan memakai pakaian yg indah. Di tengah jalan, dia melihat seekor keldai yang luka di bahagian belakangnya dan burung² mematuk tempat luka itu. Keldai itu sudah hampir² mati. Al-Hiri terus membuka pakaiannya dan membalut luka keldai itu. Keldai itu memandangnya dengan perasaan terima kasih dan bermohon kepada Allah. Serta merta rahmat Tuhan melimpahi dia. Semasa dalam perjalanan pulang, dia tidak sedarkan diri. Dia adalah pelajar di Ma'adz. Setelah dia maju sedikit dalam bidang kesufian, dia pun meninggalkan harta kekayaannya dan rumahtangga serta ibubapanya. Seterusnya dia belajar dari seorang sufi agung di zamannya bernama Syeikh Syuja' Kirmani dan Abu Al-Hafs.

TIDAK PEDULI PADA AJAKAN DAN HALAUAN

      Dia sangat terkenal dalam mengawal diri dan tidak pernah marah. Satu hari, ada seorang mengajaknya pergi ke jamuan makan. Apabila Al-Hiri datang, dia pun dihalau dengan kata² yg kasar. Kemudian dia diajak lagi. Dia datang, tetapi dihalau lagi. Dia pun pulang. Dia diajak lagi. Dia pergi tetapi dihalau pula. Dia pulang. Tidak kurang 30 kali perkara ini berlaku tetapi dia tidak peduli. Akhirnya, orang itu menjadi murid dia dan menghormati dia. Murid itu bertanya bagaimana dia dapat menahan sabar sedemikian rupa? Al-Hiri menjawab, 'Sebenarnya tidak ada yang luar biasa tentang perkara itu. Apa yg sy buat, anjing pun boleh buat. Apabila diajak, dia datang, apabila dihalau dia pergi. Ini bukanlah satu tanda kewalian yang besar'.

 SYUKUR KERANA KASIH ALLAH

      Satu hari Al-Hiri sedang berjalan. Apabila sampai di sisi sebuah rumah dengan tidak sengaja, orang rumah itu membuang sebakul abu dan jatuh ke atas kepala dia. Murid² dia ingin membalas kesalahan itu tetapi Al-Hiri melarang mereka dan dia terus berdoa, katanya, 'Ouh Tuhan! Saya ini berdosa dan patut benar api yang bernyala itu menimpai saya tetapi Engkau dengan kasih sayang telah menjadikan abu itu sejuk. Saya bersyukur kepada Engkau kerana kasihMu itu'.

JANGAN BERGANTUNG KEPADA USAHA SENDIRI

      Satu hari, di tengah jalan, dia bertemu dengan seorang yang sedang mabuk dan memainkan alat muzik. Al-Hiri menangkapnya dan membawanya ke rumah. Orang muda itu dimandikan dan diberi pakaian orang sufi. Kemudian Al-Hiri berdoa, 'Saya telah melakukan apa yang terdaya oleh saya, sekarang Engkau pulalah melakukan sesuatu'. Tiba² dengan kurnia Allah, orang itu mengalami 'mabuk Allah' dan mencapai taraf kerohanian yang tinggi. Bila 'Uthman Al-Maghrabi melihat ketinggian rohaniah orang muda itu, dia pun berasa kagum. Dia sendiri tidak mencapai taraf seperti itu setelah berlatih selama 20 tahun, padahal orang muda itu mencapainya dalam seketika sahaja dengan izin Allah. Al-Hiri berkata, 'Oleh itu, janganlah bergantung kepada usaha sendiri tetapi carilah kurniaan Allah dengan hati yang suci'. Mereka berdua membau mulut orang muda itu dan masih lagi ada bau arak.

LIDA SEBUT ALLAH, FIKIRAN MELAYANG


      Ada orang bertanya kepada Al-Hiri, 'Tuan, lidahku menyebut Allah tetapi fikiranku melayang entah ke mana. Apa patut saya buat?' Al-Hiri menjawab, 'Syukurlah kepada Allah kerana kurnianya dapat kamu menyebut nama Dia. Allah akan kurniakan pula kepada anggota² yang lain jika kamu bersyukur kepada Allah'.

Kata² Al-Hiri:

1. Adalah memang keadaan cinta yang membuat kita melupakan segala yang lain kecuali Yang Dicinta.

2. Kebahagiaan di dunia ini merampas kebahagiaan di akhirat.

3. Jangan takut kepada sesiapapun atau mengharap sesuatu dari sesiapapun.

4. Lebih baik membuangkan keduniaan.

Wednesday, 15 April 2015

Kisah Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad Al-Khawas

TIDAK MAHU DIGANGGU

      Satu hari Khwaja Khidr ingin hendak duduk bersama dengan Abu Ishaq. Dia tidak mahu menerimanya kerana khuatir ibadahnya akan terganggu. Dia berkata, 'Sudah cukup Allah sahaja bagiku dan aku tidak mahu yang lain lagi, sama ada ianya malaikat atau manusia'.

TIDAK DUDUK BERSAMA MANUSIA

      Abu Ishaq berkata, 'Satu hari saya terlihat seorang perempuan sedang berlari dengan kepalanya tidak bertudung dan dia berlari seperti orang dalam mabuk. Saya suruh dia supaya lebih berhati-hati dan menudung kepalanya. Perempuan itu berkata, 'Abu Ishaq, lebih baik tuan tutup mata tuan itu'. Saya menjawab, 'Orang yang cinta tidak pernah menutup matanya'. Perempuan itu berkata lagi, 'Sebagaimana orang cinta itu tidak menutup matanya, maka orang yang mabuk Allah itu juga tidak peduli pakaiannya dan menudung kepalanya'. Saya bertanya lagi, 'Dari mana puan dapat mabuk seperti ini?' Dia menjawab, 'Abu Ishaq, adakah ada yang lain lagi daripada DIA? Saya tidak lihat yang lain kecuali DIA di dunia dan di akhirat'. Saya ajak dia duduk bersama saya. Dia berkata, 'Saya tidak duduk bersama manusia tetapi hanya bersama Allah yang maha Esa dan Kuasa'.

 FANA'

      Satu hari, Abu Ishaq ditemani oleh seorang muridnya sedang melalui sebuah hutan. Dia duduk sebentar untuk sembahyang. Murid itu melihat seekor singa datang menuju Abu Ishaq yang sedang khusyuk bersembahyang itu. Murid itu terus memanjat pokok kerana takut. Singa itu datang dan mengelilingi Abu Ishaq, menciumnya dan kemudian pergi dari situ. Abu Ishaq langsung tidak peduli kepada singa itu. Setelah singa itu pergi jauh, datang seekor nyamuk menggigit Abu Ishaq. Abu Ishaq menjerit. Muridnya itu bertanya kepada dia, 'Kenapa tuan menjerit apabila digigit nyamuk? Padahal tuan tidak peduli langsung pada singa?' Abu Ishaq menjawab, 'Pada masa singa itu datang, aku sedang fana' dalam Allah dengan kehendak Allah tetapi bila nyamuk itu menggigit aku, diriku telah ada kembali pada ketika itu'.

DIJAGA OLEH 700 MALAIKAT

      Satu malam datang seekor singa menuju kepada Abu Ishaq. Dia berasa sedikit gelisah. Tiba-tiba terdengar olehnya satu suara berkata, 'Kenapa kamu gelisah? Kami telah beri 700 ratus malaikat menjagamu sepanjang masa'.

URUSAN ALLAH

      Abu Ishaq berkata, 'Satu hari tatkala saya sedang berjalan melalui sebuah kebun di hutan belantara, saya terlihat sepohon delima. Saya ambil dan makan buah delima itu. Tetapi apabila terasa olehku yang delima itu masam, saya pun membuangnya. Kemudian saya pergi dari situ. Saya lihat pula seorang tua yang lemah dah uzur. Ulat sedang memakan dagingnya dan lalat menggigit luka-luka pada badannya. Saya pergi berjumpa dengannya dan bertanya sama ada dia mahu saya doakan agar sembuh tetapi dia tidak mahu. Saya bertanya, 'Kenapa tidak mahu sihat?' Dia berkata, 'Bagaimana saya hendakkan senang sedang DIA hendakkan saya ini sakit? Ini tidak patut kerana saya telah menyerah bulat kepada DIA sahaja'. Saya bertanya lagi, 'Bolehkah saya halaukan lalat² itu?' Dia menjawab, 'Wahai Abu Ishaq! Mula² bersihkan hatimu dari hendakkan delima yang manis, kemudian inginkan saya sihat. Mula² bersihkan hati dan kemudian bersimpati dengan saya'. Saya bertanya lagi, 'Macamana tuan tahu nama saya dan saya hendakkan delima itu?' Dia menjawab, 'Orang yang mengenal Allah, tidak ada satupun yang terlindung daripadanya'. Saya bertanya lagi, 'Tidakkah tuan berasa sakit lalat dan ulat itu memakan daging tuan?' Orang tua itu menjawab, 'Semua itu adalah urusan Allah, oleh itu saya tidak berasa sakit'.

PENJAGA HAWA NAFSU

      Berkata Abu Ishaq, 'Satu hari ada orang berkata kepada saya bahawa ada seorang Kristian berumur 70 tahun yang tinggal di tempat bernama Rum. Orang Kristian ini duduk berkhalwat seorang diri. Saya pun pergi berjumpa dengan orang tersebut. Setelah sampai ke tempatnya, dia pun memandang kepada saya dan berkata, 'Saya ini bukan seorang Kristian tetapi adalah penjaga anjing. Anjing itu ialah hawa nafsu saya sendiri. Abu Ishaq, kenapa tuan bersusah payah datang kepada saya? Saya ingin memberi satu nasihat kepada tuan. Janganlah pergi mencari manusia lagi. Carilah diri tuan sendiri dan bila tuan telah menjumpai diri tuan sendiri, maka awasilah nafsu tuan itu kerana ianya menukarkan bentuknya 360 kali sehari untuk memutarbelitkan tuan'.

5 AMALAN UTAMA

       Abu Ishaq berkata, '5 amalan untuk meninggikan darjat rohaniah iaitu membaca Quran dan memikirkan ayat²nya, jangan makan sampai kenyang, berjaga malam, menangis dalam sembahyang di subuh hari, bergaul dengan orang beragama dan aulia Allah. Yang paling berkesan ialah menangis dalam sembahyang subuh'.

ALLAH SENTIASA BERSAMA MANUSIA

       Abu Ishaq mengajarkan, 'Sepatutnya si sufi itu hendaklah mencapai semua peringkat tasauf dan jangan hanya bergantung kepada satu peringkat sahaja'. Sambil menampar-nampar dadanya, Abu Ishaq selalu berkata, 'Saya mencari Allah yang sentiasa berada bersama saya'.

Kisah Abu Muhammad Royam

AKIBAT TEGURAN DARI KANAK² LELAKI

      Royam berkata, 'Saya sedang berjalan di lorong bandar Baghdad. Saya berasa dahaga dan terus pergi ke sebuah rumah meminta air. Datang seorang kanak² lelaki membawa air. Apabila dia melihat saya, dia berkata, 'Ah! Seorang sufi minum air di siang hari'. Semenjak itu saya tidak lagi minum air di siang hari.

ALLAH PELAKU SEGALA PERBUATAN

      Satu hari, segerombolan penyamun telah menangkap sepuluh orang daripada anak² lelaki dia. Mereka bunuh sembilan orang anaknya. Royam hanya senyum sambil memandang ke langit. Dia tidak melawan atau pun berdoa kepada Allah. Apabila mereka hendak membunuh anaknya yg ke sepuluh itu, anak itu berkata, 'Kenapa ayah tidak membantah terhadap pembunuhanku ini?' Royam menjawab, 'Allah itu pelaku segala perbuatan dan Dia melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Aku ini siapa? Aku hanya hamba dan hamba tidak berhak mempersoalkan perbuatan Tuannya'. Ketua penyamun itu terpesona oleh percakapan dia itu, lalu berkata, 'Sekiranya tuan berkata demikian semenjak mula lagi, tentulah saya tidak membunuh anak² tuan itu'. Anak yang seorang itu pun dibebaskan.

Kata² Royam:

1. Allah berfirman bahawa Dia menjadikan manusia untuk menghambakan diri kepadaNya bukan untuk tujuan yang lain.

2. Tanda mencapai kehampiran dengan Allah itu ialah merasai tidak seronok memandang yang lain kecuali Allah.

3. Meninggalkan dunia itu adalah zuhud paling tinggi.

4. Allah berfirman bahawa semakin kaya orang itu semakin jauh dia dari Allah.

5. Wali Allah yang menghormati orang kaya akan hilang satu pertiga dari kesufiannya.

6. Jauhkan diri dari majlis orang kaya² seperti menjauhkan diri dari orang yg telah tidak bernyawa lagi.

7. Barangsiapa mencari perlindungan dari yang bukan Allah, lama kelamaan akan menderita di tangan yang bukan Allah itu.

8. Dunia ini menghalang kita dari memasuki 'yang kekal'.

9. Dalam berseorangan itu menangislah sambil berdoa kepada Allah agar hati menjadi bersih.

Kisah Abu Abdullah Muhammad bin Khafif

UJIAN TAWAKKAL

      Abu Abdullah Muhammad pergi naik haji ke Mekah. Dia hanya membawa sebuah timba dan seutas tali untuk digunakan mengambil air. Semasa dia melalui belantara dilihatnya banyak rusa sedang minum air di telaga. Apabila dia hampir ke telaga itu, rusa² itu pun lari dan air telaga itu turun ke bawah. Dia cuba mengambil air itu tetapi tidak berjaya. Dia berdoa meminta air itu dinaikkan sebagaimana air itu naik semasa rusa² itu minum. Terdengar suara berkata, 'Kami tidak mahu berbuat demikian kerana kamu bergantung kepada timba dan tali dan tidak bergantung kepada Kami'. Dibuangnya timba dan tali itu. Tiba² air itu pun naik ke atas. Dia pun minum sepuas hati.
      Setelah sampai ke Mekah, peristiwa itu diceritakannya kepada Al-Junaid. Al-Junaid menjawab, 'Allah hendak menguji tawakkalmu kepadaNya. Jika tuan tunggu lama lagi, nescaya air itu akan melimpah keluar'.

MINTA NASIHAT

      Abu Abdullah Muhammad berkata, 'Saya mendapat tahu di Mesir ada dua orang aulia Allah, seorang belia dan seorang tua. Mereka ini duduk di dalam sebuah bilik bertafakur semenjak beberapa tahun yang lalu. Saya pergi ke tempat mereka dan memberi salam tetapi mereka tidak menjawab salam saya itu. Saya memberi salam kali yang kedua. Tetapi tidak juga mereka menjawab salam. Kali yang ketiga saya berkata, 'Dengan nama Allah, saya mohonkan agar tuan terima salam saya'. Dengan itu, orang muda itu mengangkatkan kepalanya dari tafakur dan berkata, 'Umur kami ini pendek dan sebahagian besarnya telah berlalu. Hanya sedikit lagi yang tinggal dan umur yang sedikit lagi ini akan kami gunakan sepenuhnya. Kami fikir tuan tidak peduli tentang mati tuan. Jika tuan pedulikan tentulaH tuan tidak akan membuang masa datang kepada kami dan memberi salam'. Setelah berkata demikian, orang muda itu pun menundukkan kepalanya dan terus bertafakur.
      'Pada masa itu saya sangat lapar tetapi mendengarkan kata²nya itu lapar saya pun hilang. Saya duduk dengan mereka dan bersembahyang subuh dan asar dengan mereka. Selepas itu saya minta orang muda itu mengajar saya. Katanya, 'Kami ini orang hina. Tidak layak kami menasihatkan sesiapa. Sebenarnya kami hendakkan pengajaran'. Apabila saya suruh juga dia berkata sesuatu, dia berkata, 'Bergaullah dengan orang yang menyedarkan tuan kepada Allah, yang tidak mengajar dengan perkataan tetapi dengan amalannya menyebabkan tuan sempurna dalam kerohanian tuan'.
      Abu Abdullah Muhammad berkata, 'Si sufi janganlah melawat raja atau berjumpa dengan raja (jika raja itu datang kepadanya)'.

Tuesday, 14 April 2015

Kisah Abu Bakar Al-Katani

WANG MENGGANGGU IBADAH

      Al-Katani berkata bahawa seorang sufi tinggal bersama dia tetapi dia tidak suka dengan dia. Walau bagaimanapun, dibiarkannya sahaja dan dilayannya dengan baik. Satu hari dia pergi membawa 200 dirham kepada sufi itu. Dilihatnya dia sedang solat. Wang itu diletakkan di bawah sejadah itu sebagai hadiah. Wang itu didapatinya secara halal.
      Sufi itu marah dan berkata, 'Adakah tuan mahu saya menjual fakir saya ini dengan harga 200 dirham padahal telah saya beli dengan harga 20 ribu dirham (maksudnya dia telah menjadi fakir setelah membuangkan harta bernilai 70 ribu dirham)?' Adakah tuan mahukan saya membuang waktu seronok dalam sembahyang ini kerana hendakkan wang 200 dirham (maksudnya dia hendak menyelewengkan fikirannya dari mengenang Allah dan memikirkan wang sahaja)?'

LIHATLAH TUAN KAABAH

      Al-Katani sedang duduk di samping seorang murid dia. Murid itu terbaring sedang menghadapi maut. Tiba² dibukanya matanya dan melihat Kaabah. Datang seekor unta dan menyepak matanya, lalu biji matanya itupun terkeluar. Terdengar suara ketuhanan berkata, 'Kami memberinya kurnia untuk melihat Kami tetapi dia bersalah kerana membuka matanya pada masa itu dan melihat Kaabah (tidak melihat tuan Kaabah itu). Maka oleh itu Kami hukum dia'.

BUANG HAWA NAFSU DARI HATI

      Seorang bertanya kepada Al-Katani, 'Bagaimana hawa nafsu itu dibuang dari hati?' Dia menjawab, 'Dengan berdoa 40 kali yang berikut: 'Wahai Tuhan! Tidak ada yang kekal kecuali Engkau. Hidupkanlah hatiku ini dengan sinaran nur Engkau'.

Kata² Al-Katani:

1. Apabila hamba itu berdoa, Allah bukakan pintu keampunan kepadanya.

2. Jasmani dalam dunia ini tetapi rohani di akhirat.

3. Ada bayu yg bertiup pada pagi hari dengan izin Tuhan dan bertindak sebagai rasulNya. Bayu itu membawa semua rindu hati, taubat dan tangisan hamba kerana Allah dan mempersembahkannya ke hadrat Ilahi.

Kisah Abdullah Manazil

MATI SEBELUM MATI

      Manazil memberitahu Abu Ali Al-Thaqafi supaya sentiasa sedia untuk mati. Abu Ali berkata, 'Tuan juga hendaklah bersedia'. Mendengarkan itu, dia pun berbaring dan meletakkan tangannya di bawah kepalanya dan berkata kepada Abu Ali Al-Thaqafi yang dia telah mati sebenarnya. Dia pun mati. Al-Thaqafi pun sedar tentang kebesaran Manazil itu.

KESAL MEMBUKA MULUT (BERCAKAP)

      Ada orang bertanya kepada Manazil tentang sesuatu masalah. Dia terangkan tetapi orang itu mahu lagi keterangan yg lain. Dia berkata, 'Saya berasa kesal membuka mulut (kerana dengan itu tidak dapat menyebut Allah) dan sekarang kamu suruh saya buka mulut ini lagi'.

Kata² Manazil:

1. Terkutuklah orang yang hanya mencari dunia sahaja.

2. Cintalah kepada Dia yang mencintai kamu dengan sebenar-benar cinta.

3. Sopan santun yang sebenarnya itu ialah kamu rasai Allah beserta dengan kamu dan apabila bercakap, kamu merasai Allah itu ada di hadapan kamu.

4. Fakir itu ialah meninggalkan dunia, sentiasa mengenang Allah dan bersedia untuk akhirat.

5. Jangan megah dengan ibadahmu.

6. Orang yang menyangka dirinya telah hampir dengan Allah adalah sebenarnya jauh dari Allah.

Kisah Abu Al-Hussein Al-Nuri

      Seorang buta sedang duduk di tepi jalan sambil menyebut nama Allah. Al-Nuri bertanya kepadanya, 'Apakah yang kamu tahu tentang Allah? Jika kamu tahu Dia, bagaimana pula kamu hidup berpisah dengan Dia?' Setelah berkata demikian, Al-Nuri pun masuk ke dalam keadaan dzauk (mabuk Allah) dan terus pengsan. Setelah sedar, dia terus lari ke dalam hutan dan di sana kakinya luka² akibat kena tunggul buluh. Darah yang keluar dari kakinya itu bercucuran atas tanah dan darah itu menulis nama Allah. Dia pun dibawa orang ke rumahnya dalam keadaan tidak sedar diri. Dalam masa itu juga dia sentiasa menyebut 'La ila ha illal Lah', dan dalam keadaan demikian itu juga dia pun menghembuskan nafas terakhir.

Kata² Al-Nuri:

1. Dunia ini ialah tempat mengabdikan diri kepada Allah dan untuk berdampingan denganNya.

2. Ada beberapa orang wali Allah dalam dunia yang mati jika berlekang sebentar sahaja dari Allah. Aulia Allah ini, makan, tidur, bercakap dan bersama dengan Allah sahaja dan meminta kepada Allah sahaja.

3. Murid (dalam tariqat) itu ialah orang yang tidak memandang harta kekayaan dunia jika diberi kepadanya.

4. Orang sufi itu tidak terikat kepada satu apa pun. Kesufian itu bukanlah satu ajaran yang rasmi ataupun ilmu duniawi. Jika ianya satu upacara maka ianya perlu sedikit latihan, jika ianya satu pelajaran, maka ianya perlu dibimbing. Sebenarnya kesufian itu sesuai dengan akhlak seseorang.

Kisah 'Amru bin 'Uthman Al-Makki

JALAN KEROHANIAN

      'Amru ini ialah seorang daripada guru Al-Junaid. Suatu hari dia menulis sepucuk surat kepada Al-Junaid, Syibli dan Hariri yang berbunyi, 'Orang yang berani masuk ke dalam jalan kerohanian (tariqat sufi) ini ialah orang yang telah mengetahui yang dia akan menempuh dua ribu batang sungai yang amat deras airnya dan dua ribu buah gunung berapi sebelum dia mencapai 'kenal diri'. Barang siapa yang tidak berani menghadapi percubaan itu, maka lebih baik jangan cuba mengatakan dirinya sebagai orang yang mencari makrifatullah'.
      Apabila surat dari 'Amru yg berada di Mekah itu sampai kepada aulia Allah yang berada di Iraq, mereka mentafsirkan bahawa dua ribu buah gunung api itu sebagai keadaan² bukan wujud yang mesti ditempuh oleh orang dalam perjalanan itu dan dua ribu batang sungai itu sebagai wilayah wujud yang akan dimasuki supaya sampai kepada kehampiran dengan Allah. Mendengarkan ini, Al-Junaid berkata bahawa dia hanya telah menempuh satu halangan itu sahaja. Hariri berkata dia hanya baru berjalan tiga langkah sahaja. Sybili berkata bahawa mereka berdua itu telah beruntung juga kerana dia sendiri belum pun masuk ke dalam satu daripada keadaan² tersebut.

Kisah Abu Bakar Al-Wasti

DOA DARI BINATANG

      "Satu hari saya pergi ke kebun untuk sembahyang dan waktu itu seekor burung hinggap di kepala saya. Saya pun menangkap burung itu dan memegangnya. Melihat burung itu tertangkap, seekor burung lain yang sedang hinggap di sepohon pokok yang berhampiran terus menangis. Burung yang saya pegang itu pun saya lepaskan. Tak semena-mena burung itu tidak terbang tetapi terus jatuh lalu mati. Saya sungguh kasihan dan kesal melihat peristiwa itu.

      Setelah saya kembali ke rumah, saya pun jatuh sakit dan berterusan sakit itu selama satu tahun. Saya memohon kepada Nabi untuk menyembuhkan penyakit saya kerana amal ibadah saya terganggu. Saya bermimpi melihat Nabi dan baginda berkata, 'Penyakit itu disebabkan oleh doa rakan burung yang mati itu. Engkau yang menyebabkan burung itu mati. Oleh itu, engkau terpaksa menerima hukuman'.

      Setelah peristiwa itu, seekor kucing melahirkan beberapa ekor anak di bilik saya di mana saya terlantar sakit. Saya lihat seekor ular datang dan menangkap seekor anak kucing itu. Saya ada kayu di samping saya. Saya pukul ular itu. Anak kucing itu pun terselamat dan ular itu lari. Ibu kucing itu melihat semua itu berlaku. Ia lari kepada anaknya yang terselamat itu. Kucing itu mengalir airmata sambil melihat kepada saya seolah-olah berterima kasih kepada saya. Dari waktu itu saya pun sembuh dan sihat semula. Dapatlah saya beribadah seperti sediakala. Lagi sekali saya mimpi melihat Nabi dan baginda memberitahu saya bahawa sebab saya sembuh itu ialah kerana doa kucing itu untuk saya sebab menyelamatkan anaknya itu dan doa kucing itu dikabulkan Allah'.

Kata² Al-Wasti:

1. Di jalan Allah tidak ada dunia, di jalan dunia tidak ada Allah.

2. Makin tinggi pengalaman kerohanian itu, makin tidak berfaedah akal fikiran.

3. Ibadat yang paling baik itu ialah menggunakan masa.

4. Orang yang beramal ibadah untuk hendak mendapatkan syurga menganggap ia beribadah kerana Allah padahal dia bertujuan untuk memuaskan nafsunya.

5. Tidak ada orang yang dapat melawan Allah.

6. Buangkan dunia. Dunia itu tidak bernilai kepada Allah.

7. Orang yang mengenal Allah tidak mahu berdampingan dengan sesiapa atau bercakap dengan sesiapa.

8. Tidak ada racun yang paling besar daripada berbangga dengan ibadah sendiri.

9. Amal yang dilakukan dengan hati itu lebih bernilai daripada amal yang dilakukan dengan anggota badan.

10. Orang yang cinta kepada Allah, badannya bertambah kurus.

11. Makanan yang paling bagus dalam dunia ialah mengingat Allah.

Kisah Abi Ishaq Ibrahim bin Syaharyar Syaibani

KERANA KEDENGKIAN MENDAPAT MALU

      Satu hari Syeikh Ishaq sedang memberi syarahan. Di antara orang ramai yang hadir itu, ada seorang guru yang alim. Guru ini memandang bahawa Syeikh Ishaq bukanlah alim benar kerana dia menunjuk-nunjuk (riak). Tetapi orang menghargai syarahan beliau dan menghormati beliau. Fikirnya, 'Bagaimana ini?' Syeikh Ishaq membaca fikirannya dan menunjuk kepada lilin (kandil) yang nyala dihadapannya. Kandil ini ialah sebuah mangkuk kaca yang diisi air. Atas air itu dibubuh lapisan minyak. Di atas minyak ini dibubuh sumbu. Inilah yang digunakan sebagai lampu.
      Syeikh Ishaq berkata kepada lampu atau kandil itu, 'Saya baru sahaja mendengar percakapan antara air dengan minyak. Kata air kepada minyak, 'Akulah makhluk yang paling berguna sekali di dalam dunia ini. Jika aku tidak dijadikan, semua orang akan mati kehausan. Tetapi kamu tidak ada sifat seperti aku itu. Kenapa pula kamu duduk di atas kepalaku?' Minyak menjawab, 'Kamu sangat sombong dengan sifatmu itu, aku memang hina. Pandanglah dahulu leluhurku (asal kedatanganku). Mula² aku sebagai biji benih dalam tanah. Kemudian aku tumbuh sebagai pokok. Pokok itu ditebang dan diperah. Dan sekarang aku membakar diriku untuk menerangi orang lain. Walaupun begitu aku tidak peduli derita yang aku tanggung kerana untuk faedah orang ramai. Oleh itu, Tuhan yang Maha Pengasih telah memberi kurnia kepadaku dengan kemuliaan yang kamu rungutkan itu'.
      Orang alim itu pun malu. Dia terus menjatuhkan dirinya kepada kaki Syeikh Ishaq dan meminta maaf kerana dengkinya terhadap Syeikh Ishaq itu.

Kata² Syeikh Ishaq:

1. Seseorang itu tidak akan dapat menikmati lazat menyembah Allah jika dia tidak membuang rasa lazat terhadap apa² yang ada di dunia ini.

2. Tempat syaitan itu dalam darah manusia.

3. Orang yang mencari nafkah dengan haram, Allah tidak akan menerima doanya.

4. Kemuliaan itu bukanlah terletak dengan memakai pakaian yang baik² tetapi adalah dalam mengingati Allah dan mematuhi perintahNya.

5. Orang yang mencari kemuliaan dan harta benda keduniaan dan menghiaskan dirinya sahaja adalah orang yang mati rohaniahnya.

6. Orang yang sentiasa mengkaji Al Qur an, akan dilimpahi dengan kurniaan Allah.

7. Kepadanya dinding dan perempuan itu sama sahaja. Oleh itu, bagaimana soal kahwin timbul di hatinya.

8. Sembahyang tengah malam itu walaupun dibuat dengan pendek adalah sangat memberi kesan dan pengaruh.

Kisah Abu Al-'Abas Al-Qassab

Kata² Al-'Abas:

1. Sesiapa yang mencari sesuatu di samping Tuhan, sebenarnya menyembah dua Tuhan.

2. Jika Allah membawa saya masuk kepada tidak wujud (fana') dan kemudian dipakaiNya saya dengan pakaian wujudNya dan kemudian jika saya lakukan satu ibadat saya kepadaNya, maka ibadat itu adalah lebih bernilai daripada semua ibadat hamba² Allah dalam alam ini semuanya.

3. Langkah pertama dalam tariqat ialah cuba melampaui semua makhluk.

4. Ada pahlawan² dalam tariqat dan bagi mereka tidak ada tempat di dalam dunia ini dan di akhirat juga.

Kisah Mumsyad Ad-Dinuri

MOHON TERUS KEPADA ALLAH TANPA PERANTARA

      Seorang darwisy meminta Ad-Dinuri berdoa untuknya kepada Allah. Dia berkata, 'Pergilah kepada Allah dan terus memohon kepadaNya, kamu tidak perlu perantara'. Darwisy itu bertanya, 'Di mana Dia?' Dia menjawab, 'Apabila kamu diri kamu tidak ada (fana'), di situlah Dia'. Mendengarkan itu, darwisy itu pun pergi ke tempat yang lengang dan di sana dia berdoa. Allah kabulkan permohonannya.
       Satu hari, pekat tempat Ad-Dinuri tinggal itu telah dibanjiri air. Ad-Dinuri melihat Darwisy itu sedang duduk di atas tilam di permukaan air. Ad-Dinuri terperanjat dan bertanya bagaimana dia dapat berbuat demikian hingga tidak ditenggelami air. Darwisy itu menjawab bahawa itu adalah hasil kurniaan Tuhan dan kerana patuh kepadaNya. Allah telah jadikan dia dapat memohon terus kepadaNya tanpa perantara lagi dan Allah kabulkan doanya terus langsung. Semenjak itu Ad-Dinuri berhati-hati dan tidak pernah bersikap kasar kepada orang² Darwisy.

TINGKATAN ORANG BERIBADAT

      Ad-Dinuri berkata, 'Ada beberapa kelas orang beribadat. Ada yang menyembah diri sendiri, ada yang menyembah hartanya, ada yang menyembah isterinya, ada yang menyembah anak pinak, ada yang menyembah jawatan dan pangkat dan ada pula yang menyembah sembahyang, puasa dan berjaga malamnya. Seseorang itu mesti menyembah sesuatu. Semua itu adalah penyembah diri sendiri dan menurut kehendak diri itu. Mereka pergi ke mana, mereka membawa dirinya (ego) itu. Orang yg benar² beribadat itu tidak menurut nafsunya dan sentiasa mengawal nafsu itu.

HILANGKAN KEBANGGAAN PADA DIRI

      "Saya selalu bertemu dengan wali Allah selepas mengenepikan semua kebanggaan saya terhadap ilmu dan ibadat saya. Saya dengar ucapan wali itu dengan berhati-hati. Saya pun mendapat banyak manfaat dengan bergaul dengan wali² Allah. Jika kamu pergi kepada mana² wali Allah dengan kebanggaan dan kesombongan walaupun sedikit dalam hati kamu, maka kamu tidak akan mendapat apa² faedah darinya. Menuju jalan kerohanian itu bukanlah mudah. Jalan tersebut boleh ditempuH secara beransur-ansur dan penuh pula dengan godaan dan dugaan", kata Ad-Dinuri.  

Kisah Abu Hafs Al-Hadad

Kata² Al-Hadad:

1. Dunia ini ialah sebuah rumah yang sentiasa ada dosa terhadap Allah.

2. Fakir itu adalah satu cara yang membawa seseorang itu hampir kepada Allah.

3. Janganlah bergantung kepada ibadat dan latihan kerohanianmu itu tetapi bergantunglah kepada rahmat Allah.

4. Barangsiapa yang rindu kepada Allah akan sentiasa melihatNya.

5. Orang yang suka dipuji itu adalah sia² dalam sukacitanya itu.

6. Dosa itu membawa kepada bidaah.

7. Orang yang cuba mengenal Khaliq melalui makhlukNya adalah buta. Sepatutnya dia mengenal makhluk melalui Khaliq.

8. Berada sentiasa di ambang pintu Tuhan agar pintuNya itu terbuka kepadamu.

9. Berharaplah kepada Allah, seperti harapnya pengemis kepada sedekah orang kaya.

Kisah Syah bin Syuja' Al-Kirmani

PANDANG ALLAH KETIKA TIDUR

      Selama 40 tahun Al-Kirmani tidak tidur. Apabila dia rasa mengantuk dia ambil garam dan dibubuhnya ke dalam matanya. Pada suatu hari, dia tertidur. Dalam tidur itu, terlihat olehnya Allah. Dia berkata, 'Ouh Tuhanku! Aku cariMu selama ini tanpa tidur tetapi Engkau datang dalam tidurku'. Suara ketuhanan itu berkata, 'Inilah hasil dari engkau berjaga selama 40 tahun itu'. Semenjak itu dia ingin tidur dan berharap mendapat pandangan itu lagi. Dia sangat suka tidur. Bahkan katanya, jika seluruh dunia ini kepunyaannya, hendak rasanya menukarnya dengan tidur sebentar agar dapat 'memandang' Allah. Dia selalu menyanyi begini - "Kita ini ibarat daging yang dipanggang kepada besi pemanggang. Sekejap dipusing ke sebelah sana dan sekejap lagi ke sebelah sini untuk dipanggang'.

Doa Aulia Allah: Abu Ali Al-Diqaq

"Ouh Tuhan! Jadikanlah saya ini merendahkan diri seperti semut dan layanlah saya seperti rumput yang kering dan ampunkanlah dosa saya. Janganlah hinakan saya akhirnya kerana saya telah bercakap besar dan memuji diri semasa bersyarah di pentas di hadapan orang ramai. Jika saya hinakan pakaian sufi, hantarlah saya ke neraka agar di sana saya terseksa kerana berpisah dengan Engkau.

Ouh Tuhan! Kerana membuat banyak dosa, saya telah menghitamkan suratan takdir dan Engkau dengan rahmat Engkau telah memutihkan rambut saya yang hitam apabila usia saya bertambah lama. Janganlah pandang perbuatan saya yang hitam itu tetapi lihatlah rahmatMu yang memutihkan saya.

Ouh Tuhan! Orang yang mengetahui Engkau sentiasa mencari Engkau walaupun Engkau itu tidak akan dijumpai.

Ouh Tuhan! Walaupun Engkau kurniakan padaku syurga namun saya berasa malu dan sakit rasanya hati ini kerana tidak mengabdikan diri saya sebagaimana sepatut terhadap Engkau".

Kisah Abu Ali Al-Diqaq

TAK TAHU ALLAH

     Satu hari Al-Diqaq sedang berzikir, Allah.. Allah.. Allah. Di antara orang ramai yang berzikir itu ada seorang bertanya kepada dia, 'Apakah Allah?' Dia menjawab, 'Saya tidak tahu'. Orang itu berkata, 'Kalau tuan tidak tahu Dia, kenapa tuan menyebut namaNya?' Dia menjawab, 'Beritahu kepada saya, nama apa patut saya sebut?'

HARGA PAKAIAN

     Satu hari dia sedang duduk dengan memakai pakaian yang cantik dan lawa. Seorang sufi agung bernama Abu Al-Hasan Al-Nuri yang memakai pakaian compang camping datang melawat dia. Secara berjenaka Al-Diqaq menarik pakaian yang koyak yang dipakai oleh Abu Al-Hasan Al-Nuri itu. Al-Diqaq berkata, 'Apa gunanya tuan memakai pakaian yang buruk ini?' Al-Nuri menjerit dan berkata, 'Saya beli pakaian ini dengan harga dunia ini dan akhirat juga dan saya hargainya dengan nilai yang tinggi dan sekiranya semua kekayaan dalam syurga dikurniakan kepada saya supaya saya melepaskan pakaian ini, nescaya saya tidak mahu melepaskannya'. Al-Diqaq menangis dan bersumpah tidak mahu berseloroh lagi dengan orang sufi.

MATI TANPA MAYAT

     Satu hari, seorang darwisy (sufi) melawat Al-Diqaq dan meminta sebuah ruang yang kecil di mana dia hendak mati. Al-Diqaq memberinya ruang di sebuah penjuru. Orang itu duduk di situ dan mula berzikir. Al-Diqaq melihat kelakuan orang itu dari jauh. Darwisy itu berkata, 'Al-Diqaq, janganlah kotorkan saya'. Al-Diqaq pun pergi berlindung di satu tempat. Sedang berzikir itu, darwisy pun meninggal dunia. Selepas itu Al-Diqaq pergi ke tempat darwisy yang berzikir tadi tetapi beliau tidak melihat darwisy tersebut. Dia telah ghaib. Al-Diqaq bermohon kepada Allah untuk mengetahui di mana darwisy tersebut. Terdengar suarat berkata, 'Jangan cari dia. Bahkan malaikat maut pun tidak tahu di mana dia'. Al-Diqaq bertanya, 'Jadi, di manakah dia?' Suara itu berkata, 'Dia berada di Majlis Haq, di hadrat Allah s.w.t'.

AKHIR KEHIDUPAN

      Di akhir hayat dia, Al-Diqaq telah amat maju dalam kerohaniaannya hingga sedikit sahaja orang yang dapat memahami dia. Oleh itu, sedikit sahaja orang yang datang berguru kepada beliau.

Kata² Al-Diqaq:

1. Jika seseorang wali Allah itu mendapat arahan dari Tuhan supaya membuat syarahan di sesuatu tempat, maka dia tidak boleh meninggalkan makam itu ataupun menukar tugasnya.

2. Murid yang tidak sentiasa tinggal berkhidmat bersama gurunya tidak akan mendapat faedah apa². Dia ibarat pokok di hutan yang tidak berbuah. Jika pun berbuah, buahnya itu tidak berapa baik kerana kurang sempurna penjagaannya.

3. Jika kamu kaitkan hatimu kepada apa² dalam alam, kamu tidak akan merasai tenteram jiwa. Oleh itu, buangkan segala kehendak terhadap alam, jika kamu mahu aman dan tenteram.

4. Tidak ada orang yang dapat mengenal Allah tanpa berguru.

5. Orang yang menjual akhirat kerana dunia akan terlaknat.

6. Dalam tariqat, janganlah kamu tamak.

7. Walaupun seseorang itu mencapai semua ilmu dan membuat semua ibadat, bersikap zuhud dan duduk di majlis aulia Allah namun jika dia tidak diijazahkan oleh guru dan tidak menurut panduan guru itu, maka orang itu tidak akan maju dalam tariqatnya.

Kisah Abu Bakar Al-Saidlani

Kata² Al-Saidlani:

1. Janganlah tuntut ilmu yang membawa kamu jauh dari Allah.

2. Allah telah sediakan jalan² menujuNya sebanyak mana bilangan makhluk di dalam dunia ini. Tiap² orang boleh memilih mana jalan hendak diturut dan mengikutinya menurut keupayaan dan kecenderungan masing² dan dengan itu mencapai kesempurnaan.

3. Ada jalan² daripada Allah kepada insan tetapi tidak ada daripada insan kepada Allah.

4. Lebihkan bersama Allah daripada bersama makhluk.

5. Hati yang kosong dan rela dan sikap fakir itu adalah jalan selamat menuju Allah.