Pada satu kesempatan, Nabi Isa a.s. menjumpai selonggok tengkorak di tengah jalan yang jauh di luar pemukiman manusia. Kemudian beliau berdoa kepada Allah agar tengkorak itu dapat berbicara dengannya. Tengkorak itu adalah bekas seorang raja yang bernama Raja Jumjumah. Telah ditentukan (takdir) Allah, tiba-tiba tengkorak itu bersuara, katanya, "Ya Nabi Isa, Allah telah perintahkan tengkorak kering ini agar dapat ber-kata² denganmu, maka tanyailah apa² yang kamu kehendaki. Salam Allah Ta’ala kepadamu, ya Nabi Isa Ruhullah". Nabi Isa berkata, "Hai tengkorak yang kering, kulit pun tidak ada padamu, maka apa² yang kutanyakan kepadamu, jawablah wahai tengkorak yang kering". Ujar sang tengkorak, "Tanyakanlah tuan apa² yang dikehendaki hati tuan; dengan takdir Allah hamba akan menjawab segala pertanyaan tuan".
Bermulalah pertanyaan² dari Nabi Isa yang diajukan kepada tengkorak itu, "Hai tengkorak yang kering, kamu ini lelaki atau perempuan? Merdekakah ataukah seorang budak? Kamu ini Islam atau kafir? Kamu ini berbahagia atau sengsara? Kamu ini mulia atau hina? Kamu ini kaya atau miskin? Kamu ini pemurah atau kedekut? Raja atau menteri?"
Tengkorak kering itu pun menyahut,
"Ya Nabi Isa Ruhullah, hamba seorang lelaki bukan seorang perempuan; dan hamba ini merdeka bukan budak, dan hamba orang Islam bukan seorang kafir, dan hamba orang mulia, bukan orang hina, dan hamba orang celaka bukan orang bahagia di akhirat; hamba orang kaya, bukan orang miskin, dan hamba seorang pemurah bukan orang kedekut, dan hamba seorang baik, bukan seorang jahat, dan hamba seorang tua, bukan anak muda; dan hamba berasal dari seorang raja, bukan seorang menteri".
"Dahulu, ya Nabi Isa Ruhullah, rupa hamba sangat baik dan juga sangat menakjubkan lagi elok rupanya dari seluruh rupa. Sangat gemilang bercahaya. Demikianlah keindahan paras hamba, jika siapa pun melihat rupa hamba, pastilah ia hairan dan tercengang dengan bentuk tubuh hamba yang gagah. Ketahuilah bahawa hambalah yang pemurah di daratan Mesir dan Syam".
“Dahulu kerajaan hamba sangat besar. Pada waktu hamba hendak pergi berangkat atau bertemasya pergi berburu, mungkin berjumlah 16 ribu budak pengiring. Belum termasuk hulubalang, menteri², tentera²-nya. Sedangkan rakyat hamba tidak terhitung jumlahnya, melainkan Allah dan Rasul-Nya juga yang mengetahuinya. Gajah, kuda, dan unta hamba tidak terhitung banyaknya pula. 16 ribu budak hamba diberi pakaian yang beraneka ragam. 4 ribu orang memakai pakaian seragam yang berwarna kuning. 4 ribu lainnya memakai pakaian seragam berwarna merah. 4 ribu lainnya memakai pakaian seragam hijau. Pada pakaian mereka dikenakan emas, perak dan bunga putih (kumuda). Emas yang bertahtakan mutu manikam. Ada pula hiasannya, burung rajawali dan burung merak di mana bulunya tersusun dari emas. 4 ribu orangnya memegang senjata dari emas”.
“Di sebelah kanan 1000 orang memegang pedang emas. Di sebelah kiri 1000 orang memegang keris. Di bagian belakang hamba memegang tombak. 4 ribu orang mengendarai kuda sembrani Di sebelah kanan hamba, 1000 orang penunggang kuda yang berseragam hijau. Di sebelah kiri penunggang kuda berwarna. Di hadapan hamba, kuda yang berseragam putih. Para penunggang kuda tersebut mengenakan pakaian berwarna emas dan memegang senjata kerajaan, ya Nabi Isa Ruhullah. Adapun tentara dan rakyat hamba itu tidak terhitung banyaknya, melainkan Allah dan Rasul- Nya yang mengetahui”.
“Demikianlah kebesaran kerajaan hamba, ya Nabi Isa Ruhullah. Tidak seorang pun dari raja² melakukan perlawanan terhadap hamba. Dan tidak pula kerajaan²-nya menyamai kerajaan hamba dan kebesaran hamba. Dahulu, seluruh raja pada zaman hamba berada di bawah kekuasaan hamba, serta mereka diwajibkan memberi wang ufti kepada hamba. Dahulu, 30 ribu unta di bawah kekuasaanku. Gajah, unta, dan kuda tidak terhitung jumlahnya".
Ujar Nabi Isa , "Hai Raja Jumjumah, berapa lama tuan tinggal dalam kerajaan tuan?"
Tengkorak Raja Jumjumah menyahut, "Ya Nabi Isa Ruhullah, 400 tahun lamanya berada dalam kerajaan hamba. Dengan dermawan hamba dalam sehari semalam hamba (pernah) memberikan sedekah sebesar sejuta dinar dan dirham kepada fakir miskin dan musafir. Pada waktu dahulu, setiap hari hamba memberikan pakaian kepada para alim. Demikianlah perihal perbuatan hamba di dunia senantiasa dilakukan. Dahulu, seluruh masjid yang berada di daratan Mesir dan Syam yang perlu diperbaiki akan hamba perintahkan untuk diperbaiki. Demikianlah perihal dari perbuatan hamba di dunia. Akan tetapi Allah Ta’ala Tuhan Semesta Alam juga yang hamba tidak disembah. Hanya DIA-lah yang memberikan harta pada hamba-Nya".
Nabi Isa bertanya lagi, "Hai Raja Jumjumah, bagaimana engkau merasakan kekurangan di dunia, dan bagaimana engkau merasakan sakaratul maut, dan bagaimana rasanya minum pada saat sakaratul maut, dan bagaimana merasakannya saat berada di dalam kubur?"
Tengkorak Raja Jumjumah pun menjawab, "Ya Nabi Isa Ruhullah, amat ajaib dan sangat sukar dan menyakitkan atas seluruh hal yang tuan tanyakan kepada hamba. Sekarang hamba akan ceritakan kepada tuan mengenai kematian hamba”.
Tanda² Kematian:
"Pada satu kesempatan, hamba pergi mandi ke Sungai Alhamd dengan seluruh hulubalang, menteri², tentera², dan sebagian rakyat hamba turut serta mengiringi. Setelah mandi, hamba naik ke darat, kemudian duduk di tepi sungai itu. Hamba pun merasakan kedinginan pada tubuh seperti hendak demam. Hamba segera pulang ke istana. Para pengiring hamba pun terlihat berduka atas keadaan yang dialami hamba.
Setelah tiba di istana, hamba berbaring di atas permaidani yang bersipuhkan emas dan bertahtakan ratna mutu manikam. Kata hamba kepada seluruh menteri dan para budak: ’Hai kalian, pergilah kepada tabib yang telah mengubati aku, karena selama 4 hari demam masih dirasa’. Kemudian datanglah orang yang akan mengubati. Namun pengubatannya dirasakan tidak memberi manfaat. Hingga selama 5 hari demam hamba semakin terasa.
Lalu hati hamba berkata, 'Wahai badanku, akan berpisahlah nyawa dan badan, seperti seorang yang sangat mengasihi seorang yang lainnya. Kemudian berpisahlah keduanya, rasanya adalah bagaikan kehilangan kesedaran, dan terbakarlah hati keduanya. Dan apa pun yang dilakukan, bagi hamba tidak akan menjadikan penghibur, kerana sangat cintanya kepada sang kekasih dan selalu teringat terhadap perpisahannya tersebut' .
Demikianlah cintanya hamba kepada nyawa hamba, saat ianya mahu berpisah dari badan hamba. Dari kehendak yang memiliki kehendak itu, maka redhalah hamba akan kehendaknya ini. Kemudian hamba pun berfikir dalam hati, 'Oh, nescaya aku akan mati juga, kerana terlihat muka aku menjadi pucat tidak seperti biasanya', dan berduka citalah hamba”.
Saat Kematian:
"Sesaat kemudian terdengar suatu bunyi, katanya, ‘Kenalkah engkau terhadap seksaan orang derhaka, kerana ia tidak beribadah kepada Allah Ta’ala Tuhan Semesta Alam (sebagaimana mestinya)’. Dan hamba lihat seorang laki-laki amat besar datang ke hadapan hamba. Kemudian ditikamnya dada hamba begitu sakitnya hamba merasakan hal demikian. Tersentaklah diri hamba dan lemah longlailah dirasakan. Selanjutnya didengar lagi suara, ‘Keluarkanlah nyawa orang yang durhaka ini’. Maka seluruh tubuh hamba terasa seperti bercerai-berai. Seluruh sendi² tulang hamba terbaring di atas bantal. Ketika itu, anak isteri dan keluarga hamba begitu menangisi kerana cintanya kepada hamba. 'Oh, aku ini akhirnya mati juga pada hari ini, saat ini telah datang ajalku'.
Waktu itu, tidak ada seorang pun yang dapat menolong hamba, dan tidaklah dapat menyertai hamba. Maka, hamba melihat seluruh anak isteri dan keluarga hamba menangis dengan sangat berdukanya, kerana sayangnya kepadaku. Pada saat itu, tidak seorang pun dapat memberikan faedah dan manfaat kepada hamba, melainkan kerana apa² yang telah diberikan kepada para ulama dan fakir miskin dahulu itulah yang menolong hamba. Sedangkan apa², baik kenikmatan, makanan yang dimakan, pakaian yang terbuat dan emas yang dipakai dahulu, kini ia menjadi ssksaan dan azab kepada hamba.
Kemudian datanglah Malaikat Maut kepada hamba dengan bunyinya yang berat. Kepala dan kakinya berada pada 7 lapis langit hingga ke 7 lapis bumi, serta sebelah sayapnya merupakan azab dan sayap lainnya adalah rahmat. Ketika itu, mukanya ada 6, ya Nabi Isa Ruhullah. Yang pertama muka dari atas; ke-2 muka kanan; ke-3 muka kiri; ke-4 di bahagian depan; ke-5 di bahagian belakang; dan ke-6 di bahagian bawah".
Pertanyaan kepada Malaikat Maut:
Bertanyalah kembali Nabi Isa, "Hai Raja Jumjumah tengkorak kering, apa yang kamu tanyakan kepada malaikat maut?"
Jawab tengkorak Raja, "Ada pertanyaan yang diajukan, iaitu, ‘Hai Malaikat, apa sebabnya mukamu itu ada 6? Sahut malaikat, Hai Raja Jumjumah, orang durhaka celaka. Ketahuilah olehmu, bahawasanya mukaku dari atas kerjanya mengambil nyawa seluruh nyawa Anbiya. Mukaku dari depan, akan mengambil nyawa seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w. Muka di bagian belakang berperanan dalam mengambil nyawa orang² kafir. Mukaku di bagian kanan mengambil nyawa penghuni wilayah Masyrik dan sebelah kirinya mengambil nyawa penghuni wilayah Maghrib. Dan mukaku di sebelah bawah mengambil nyawa segala jin dan setan”.
Semasa kematian:
Nabi Isa mengajukan pertanyaan berikut, "Hai Raja Jumjumah, bagaimana kau merasakan kedatangan kematian?"
Tengkorak Raja Jumjumah berkata,
"Ya Nabi Isa Ruhullah, pada satu waktu, datanglah Malaikat maut kepada hamba. Dia datang mengambil nyawa hamba. Lalu kulihat ia beserta dengan 30 malaikat yang disuruhnya untuk memegang lidah hamba agar jangan menjerit akibat dari rasa takut yang dahsyat, dan mendengarkan suara mereka, tulang belulang hamba lemah longlai rasanya. Jika para penghuni wilayah Maghrib mendengarkan suara itu yang seperti halilintar yang membelah. Demikianlah suaranya itu.
Selanjutnya, 30 malaikat tersebut diperintahkan oleh Allah untuk memegang kaki hamba agar jangan bergerak. Kemudian diperintahkan oleh Allah untuk melontarkan tembaga ke dada hamba yang kemudian hancur. Begitu sangat sakit dan panasnya terasa di dada hamba. Sekali lagi, diperintahkan oleh Allah Ta’ala seorang malaikat untuk memegang leher hamba serta dipakaikannya rantai dan belenggu pada leher hamba, dan dipakaikannya tali kekang terbuat dari api pada mulut hamba oleh malaikat, dan diseksanya hamba. Begitu menderita hamba akibat sakitnya itu, maka ucap hamba kepada malaikat yang menyiksa hamba, 'lepaskanlah hamba dari seksa ini, sebagai upahnya akan kuberikan seluruh harta, anak isteri, segala budak hamba'.
Setelah mendengar perkataan hamba tadi maka disapunya mulut hamba oleh Malaikatul Maut dan dirasakan oleh seluruh anggota tubuh hamba seperti hancur lebur rasanya. Malaikat itu berkata, 'Hai orang durhaka yang celaka, ketahuilah olehmu bahwa kami ini bukan (akan) mengambil upah dari kamu, kerana kami mengerjakan perintah dari Tuhan kami dengan sesungguhnya. Begitulah kami yang akan mengerjakan dengan sebenar-benarnya. Kami bukanlah seperti kamu manusia yang bersaksi dengan dusta dan bersumpah dengan tidak sebenarnya, dan meninggalkan perintah Allah Ta’ala, serta mengerjakan larangan²-Nya. Oleh karena itu, laknat Allah kepada kamu, dan azab Allah yang menyiksa dengan tiada berkesudahan hingga hari kiamat' ".
Ketika nyawa lepas:
Pertanyaan berikut yang dilontarkan oleh Nabi Isa, "Hai Raja Jumjumah, ketika nyawamu lepas, bagaimana kau merasakan rasa sakitnya, dan tatkala tubuhmu terlentang setelah ditinggalkan nyawanya, bagaimana juga rasa sakitnya?"
Dijawab oleh Raja Jumjumah, "Ya Nabi Isa Ruhullah, ketika nyawa hamba diambil oleh malaikat maut, be-ribu² sakitnya dirasakan oleh hamba melebihi seperti ditikam dengan senjata, dan melebihi sakitnya daripada kambing hidup yang di buang kulitnya, dan seperti kain yang teramat tipis lalu dimasukkan ke dalam air, kemudian dibuang ke atas duri², setelah itu ditarik oleh pemilik kainnya, maka hancur lumat rasanya ketika nyawa hamba diambil oleh Malaikat Maut, dan setelah itu badan hamba merasakan sakitnya, ketika nyawa sudah diambil oleh Malaikat Maut, dan terbaringlah tubuh hamba di atas tikar. Apabila bergerak lantai rumah hamba, dirasakanlah kembali rasa sakitnya. Ketika diangkat untuk dimandikan oleh orang², dan ketika di-gosok² saat dimandikan, hamba merasakan begitu sakit. Setelah itu, dikafanilah hamba, kemudian diangkat untuk dimasukkan ke dalam keranda. Sambil diangkat, dihantarlah hamba ke kubur. Dimasukkanlah hamba ke dalam liang lahad, lalu bergoncanglah tanah kuburnya, dan dirasakan oleh hamba begitu sangat sakitnya dan pedih dirasakan seperti hancur lebur daging ini. Berpisahlah seluruh persendian tulang dan habislah tak tersisa hilang rasanya, ya Nabi Isa Ruhullah".
Ketika di dalam kubur:
Tanya Nabi Isa lagi, "Hai Raja Jumjumah, bagaimana rasanya ketika masuk ke bumi dan (mendengar) suara dari pertanyaan Munkar dan Nakir?"
Raja Jumjumah menyahut,
"Ya Nabi Isa Ruhullah, setelah selesai hamba dikuburkan oleh jemaah, kemudian datanglah 2 malaikat, pertama bernama Munkar, dan yang kedua bernama Nakir yang diperintahkan oleh Allah untuk menanyai orang² di dalam kubur. Kemudian kata kedua malaikat tersebut kepada hamba. 'Hai orang durhaka yang celaka, tuliskan olehmu perbuatan yang telah engkau perbuat di dalam dunia, baik jahat mahupun baik semuanya. Seluruhnya tuliskan olehmu; jangan kau sembunyikan, agar di hadapan Allah semuanya itu dibalas' ".
Kata hamba, untuk menulis itu, apa tintanya, kalamnya, dan kertasnya untuk hamba. Ujar Malaikat itu, 'Hai orang durhaka yang celaka, sebagai tintanya adalah air mulutmu, kalamnya adalah telunjukmu, dan kertasnya itu adalah kain kafanmu. Maka seluruh perbuatanmu yang baik dan jahat; dosa besar dan dosa kecil seluruhnya tuliskan olehmu; segeralah kau tuliskan. Mengapakah, hai orang durhaka yang celaka, dirimu diam, apakah itu keinginanmu?' Oleh kerananya, hamba pun menulis akannya.
Dalam fikiran hamba, mengatakan bahwa ternyata banyaklah dosa hamba, dan sedikit saja pahala hamba. Ah, tidak akan hamba tulis dosa² hamba. Malaikat berkata. 'Hai orang durhaka yang celaka, tuliskan seluruh dosamu yang kau perbuat. Dari dosa besar mahupun dosa kecil jangan engkau sembunyikan'. Selanjutnya hamba tuliskan semuanya baik yang jahat mahupun yang baik. Kata hamba, 'Ouh, sekarang dosaku sangat banyak tidak terhitung lagi, ya Nabi Isa Ruhullah. Segala hal perbuatan hamba tidaklah dapat hamba katakan kepada tuan, melainkan Allah juga yang amat mengetahuinya.
Tiba² ada 2 malaikat yang sangat hitam, amat tinggi dan besar seperti pohon kurma. Dari mulutnya keluar api yang menyala-nyala. Kemudian berkata kepada hamba, katanya, 'Hai orang durhaka yang celaka, siapa Tuhanmu, siapa nabimu, apa agamamu, siapa imammu, apa kiblatmu, dan siapa saudaramu?' Lalu sahut hamba, 'Engkaulah Tuhanku'. Setelah didengar jawaban tersebut oleh malaikat, ia sangat marah. Kemudian dipecut dengan cemetinya yang ber-cabang². Setiap cabangnya keluar api yang menyala. Kalau saja cemeti yang bercabang itu dipukulkan ke atas bumi ini, maka akan ratalah ia atau bukit pun akan rata dan terlihat hancur.
Demikianlah, hamba dipukulnya, yang menyebabkan tubuh hamba hancur. Sendi² tulang hambapun bercerai-berai. Daging hamba juga hancur-lebur. Ibarat awan yang ditiup angin kencang. Demikianlah rasanya; dipukul 3 kali ber-turut². Malaikat berkata lagi, 'Hai bumi, kepitlah orang durhaka yang celaka itu. Makanlah olehmu dagingnya sebagai suatu rezeki, kerana ia orang yang durhaka kepada Allah Ta’ala'. Setelah itu, hamba dikepit oleh bumi. Habislah hancur lumatlah tubuh hamba, serta daging pun hancur tercerai-berai. Sendi² tulang juga hancur-remuk. Ujar bumi, 'Hai orang durhaka yang celaka, tatkala engkau tinggal di atasku, seluruh keinginanmu yang durhaka kau lakukan di atasku, seperti zina, dan lain-lainnya yang dilarang oleh Allah'.
Setelah dikepit oleh tanah tersebut, bumi berkata kembali, 'Hai orang celaka yang durhaka, sekarang engkau masuk ke dalam perutku, maka akulah rupa yang buruk, dan akulah rumah yang berisi seksaaan akulah juga rumah yang berisi seluruh bau busuk dan hanyir'.
Ketika di dalam Neraka:
Selanjutnya, hamba melihat 2 orang yang sangat hitam rupanya. Kepalanya sangat besar seperti bukit di negeri Syam. Kedua orang itu yang ternyata adalah malaikat yang kemudiannya membawa hamba ke suatu tempat. Setibanya di bawah ‘Arsy Allah Ta’ala, terdengarlah oleh hamba satu suara, yang mengatakan, 'Hai Malaikat-Ku, bawalah orang durhaka yang celaka itu ke dalam neraka. Buanglah ia ke dalam seksa yang sangat menyeksa itu'. Kemudian hamba dibawa oleh malaikat itu ke neraka. Sesampainya di pintu neraka, hamba diserahkan kepada Malaikat Zabaniyah, seraya mengatakan, 'Hai Malaikat Zabaniyah, masukkan orang yang celaka ini ke dalam neraka. Seksalah dia dengan seksaan yang sangat menyeksa'.
Melihat seksaan di Neraka:
Setelah itu, hamba pun dimasukkan ke dalam neraka yang amat sangat menyeksa itu. Terlalu banyak macamnya seksaan dan azab yang hamba lihat. Hamba sering menangis dan mengerang menyaksikan keadaan seksa neraka itu. Ucap hamba, 'Oh, siapa lagi yang hamba harapkan, dan siapa lagi yang akan mengasihi hamba. Oh, bagi hamba sangat diharamkan sekali-kali untuk berbuat dosa, seandainya hamba berada di dalam dunia hanya sesaat saja lamanya'.
Pada waktu itu, hamba tidak mengetahui lagi bagaimana nasib hamba selanjutnya. Namun, kemudian hamba melihat 4 buah kursi tersimpan di kanan dan kiri ‘Arsy Allah Ta’ala. Lalu hamba menanyakan kepada malaikat yang menyeksa hamba mengenai siapa yang mendapatkan anugerah Allah Ta’ala Al Karim itu. Jawab Malaikat, 'Adapun satu kursi itu adalah dianugerahkan kepada Nabi Muhammad Rasulullah. Satu kursi berikut adalah untuk Nabi Ibrahim khalilullah. Satu kursi lagi untuk Nabi Isa Ruhullah Dan satu kursi sisanya adalah bagi Nabi Musa Kalamullah'.
Pada saat itu, hamba lihat seorang tua duduk di atas satu kursi dan dari hidungnya senantiasa keluar api. Beberapa malaikat diperintahkan oleh Allah Ta’ala untuk memasukkan orang tua itu ke dalam neraka, serta dirantai yang membelenggu dan ditali. Setelah selesai menjalani segala macam seksaan, hamba lihat ia dibawa ke atas mimbar. Dibawalah dia ke dalam neraka dan dirantailah dia serta dibelenggulah dia dan kekanglah ia pada lehernya. Malaikat berkata, 'Sesungguhnya orang ini durhaka yang celaka tidak mahu menuruti perintah Allah Ta’ala dan Rasul-Nya'.
Menjalani Seksaan:
Dalam menjalani seksaan, rambut hamba habis terlepas dari kulit. Tulang hamba pun hancur dan patah². Bibir hamba seperti Bukit Haliyah besarnya. Tubuh hamba besarnya seluas seperti jauhnya orang yang menunggang kuda sembrani selama 3 hari 3 malam. Seperti jarak itulah besarnya. Jika orang lari dengan kuda sembrani yang sangat tangkas selama 3 hari 3 malam, maka tebal bibir atas bawahnya sama seperti itu. Hidung hamba pun seperti bukit besarnya. Sementara mata hamba menjadi buta dan telinga menjadi hamba tuli.
Hamba juga dikenakan pakaian yang terbuat dari kulit api neraka. Di dalam baju itu terdapat macam² binatang, seperti ular, kalajengking, dan lipan yang tercipta dari api neraka. Jika saja binatang² itu diturunkan ke bumi, maka seluruh isi bumi dapat ditutupi oleh karena besar tubuhnya. Dan dengan marahnya binatang² itu menggigit tubuh hamba.
Awalnya perut hamba diikat dengan tali dari api neraka, dan diikatkan kepada satu pohon yang tercipta dari api neraka juga. Selanjutnya kaki hamba disimpan di atas. Sedangkan kepala disimpan di bawah, seperti orang yang digantung songsang. Andai saja penghuni dunia menyaksikan penyeksaan itu, nescaya seluruhnya akan sangat terkejut dan takut kerana kedahsyatan seksaan itu. Setelah selesai dari tempat ini, hamba dibawa kepada seksa yang lain. Kemudian diserahkanlah hamba kepada Malaikat Zabaniyah. Hamba disuruh untuk memakai suatu kasut terbuat dari api yang panjangnya 110 meter dan tingginya 440 meter. Apabila kasut itu dipakai ke kaki, maka timbullah rasa hangus di dalam dada dan sangat menyesak hingga hancur lebur. Asapnya naik sampai ke otak hamba. Ya Nabi Isa Ruhullah, makanan hamba dari tembaga dan timah yang melebur.
Menjalani Seksaan di tempat lain:
Setelah selesai menjalani seksan di tempat ini, kemudian hamba dibawa ke satu bukit api neraka. Hamba lihat be-ribu² bukit dari api neraka. Di atas bukit² itu, terdapat batu² dari api neraka juga. Ada pula pepohonan yang tercipta dari api neraka pula, serta binatang²-nya yang terbuat dan api neraka juga. Pada satu bukitnya, terdapat seksaan be-ribu² macam, dan be-ribu² macam api. Terdapat pula sungai² api yang airnya berasal dari tembaga, timah, dan besi yang telah melebur. Ada juga airnya yang berasal dari darah dan nanah yang berbau sangat anyir dan busuk. Tiap² sungai, airnya ber-putar², dan bunyinya bagaikan guruh dan halilintar yang membelah angkasa. Demikianlah yang hamba dengar, terdengar hingga 1000 tahun perjalanan manusia.
Ketika hamba sampai di atas bukit. Binatang² itu disuruh oleh malaikat Zabaniyah menyeksa hamba beratus-ratus kali. Andai saja anak dari dari seekor ular di antaranya yang terjatuh ke bumi, maka hancurlah bumi kerana bisanya. Lalu hamba dibawa ke dalam sungai. Seluruh anggota badan dan sendi tulang rasanya seperti hancur lebur. 300 ratus kali hamba digigit, kemudian di bawah bukit be-ribu² seksaan dan azab Allah Ta’ala hamba rasakan lagi, dan tubuh hamba diikat dengan tali dan api dan dirantai yang terbuat dari api juga. Hamba pun diikatkan kepada sebuah pohon yang terbuat dari api neraka juga. Sedangkan rantai membelenggu hamba dan dililitkan pula hamba kepada pohon itu. Hanguslah tubuh hamba dan hancurlah daging hamba rasanya.
Hamba sendiri ketika hidup kembali tidaklah ada bandingannya seksaan² yang telah dialami itu, ya Nabi Isa Ruhullah. Begitu menderitanya, hamba pun menangis dengan menjadi-jadi serta berseru-seru kepada Allah Azza wa Jala, ‘Ya Ilahi, Ya Robbi, Ya Saidi, Ya Maulayya, Ya Tuhanku, telah hanguslah segala tubuh hambamu dan hancur leburlah daging hamba, serta meluruh dari kulitnya hamba rasakan ya Tuhanku, perut hamba pun jadi melorot ke bawah, hingga hamba dapat duduk di atasnya’. Demikianlah seruan hamba ke hadapan Allah Ta’ala. ya Nabi Isa Ruhullah.
Melihat seksaan yang lain:
Hamba kemudian lihat banyak orang yang mendapat seksa, dan datanglah ular, kalajengking, dan lipan dari api menggigit mereka sama seperti yang menggigit tubuh hamba. Mereka pun meraung-raung kerana terlalu sangat sakitnya dan menangis begitu memilukan. Hamba katakan, 'Hai Malaikat Zabaniyah, apakah dosanya dari orang² itu hingga diseksa dengan yang demikian itu?' Malaikat Zabaniyah menjawab, 'Hai orang durhaka yang celaka, ketahuilah olehmu bahawasanya orang itu tidak mahu mandi junub serta tidak suci dirinya ketika ia pergi ke masjid, demikianlah dosanya orang itu' ".
Raja Jumjumah berkata,
"Ya Nabi Isa Ruhullah, hamba lihat orang² yang matanya dituangi dengan api yang menyala-nyala, dia terbaring dan tergantung seraya berseru kepada Allah. Hamba pun bertanya kepada Malaikat Zabaniyah, mengenai hal itu. Dia menjawab, 'bahawa sesungguhnya orang itu ketika di dalam dunia sering mengintip aurat isteri orang lain, serta berusaha menggodanya'.
Ya Nabi Isa Ruhullah, hamba juga melihat seorang perempuan yang tengah muntah² dengan lidahnya yang menjulur hingga ke kakinya. Dari mulutnya keluar nanah dan darah yang menggumpal-gumpal. Kemudian disuapinya dengan daging dari api, serta digantung secara songsang. Kepalanya di posisi bawah sedangkan kakinya berada di atas. Dan di bawahnya ada api yang menyala-nyala, dia menyeru-nyeru dengan tangisannya yang sangat memilukan; suaranya begitu menyayat. Hamba pun bertanya kepada Malaikat Zabaniyah, 'Apakah dosa dari orang itu?' Malaikat menyahut, 'Mereka itulah yang telah melakukan pengguguran kandungan'.
Sebagian yang hamba lihat lehernya tergantung pada rantai dari api yang menyala-nyala, dan hamba bertanya lagi kepada Malaikat Zabaniyah, 'Apa dosanya orang itu?' 'Orang itu tidaklah sekali-kali mahu mengambil air untuk sembahyang ketika hidupnya di dalam dunia', ujar Malaikat Zabaniyah. Seluruh persendian hamba pun lemah dan letih rasanya. Tubuh hamba pun bergementar, kerana kedahsyatan dan ketakutan hamba menyaksikan azab Allah Ta’ala tersebut, ya Nabi Isa Ruhullah. Lalu hamba pun bertanya kepada Malaikat Zabaniyah, 'Siapa yang mandi dan siapa pula yang meminum air sungai tersebut?'. Dijawab oleh Malaikat Zabaniyah, 'Hai orang durhaka yang celaka, adapun yang mandi dan minum air sungai itu adalah orang² yang diseksa di dalam neraka'.
Ya Nabi Isa Ruhullah, hamba lihat di dalam neraka itu be-ribu² parit dari api neraka, dan dari parit tersebut terdapat be-ribu² rumah; dari satu rumah, terdapat be-ribu² pintunya; dan dari satu pintunya, terdapat be-ribu² bilik dan be-ribu² bangku; dan dari satu bangku terdapat be-ribu² ambalan; dan dari satu ambalan, terdapat be-ribu² hamparan dan bantal dan be-ribu² azab Allah Ta’ala; dan seluruh seksaan tersebut, berasal dari api juga. Hamba lihat di dalam neraka itu ada mahligai dari api dan pada satu mahligainya terdapat be-ribu² pintu, dan pada satu pintu terdapat be-ribu² bilik dan bangku; dan dari satu bangku terdapat be-ribu² hamparan dan bantal. Bahawasanya pada tiap² barang tersebut, kainnya berasal dari api neraka.
Ya Nabi Isa Ruhullah, hamba lihat di dalam neraka itu ada ber-macam² binatang, ada yang seperti gajah, kuda, singa, keldai, kalajengking, lipan, burung, babi, anjing, dan kucing. Seluruhnya berasal dari api yang ber-macam². Sesungguhnya seluruh binatang tersebut kerjanya adalah untuk menyeksa penghuni neraka. Sesudah hamba merasakan dan melihat berbagai macam seksaan neraka, hamba dibawa oleh malaikat Zabaniyah ke atas bukit yang bernama bukit Sakuna. Sampai ke atas bukit tersebut dapat ditempuh oleh manusia biasa adalah selama 70 ribu tahun. Dan terdapat 70 ribu tempat pemberhentian. Terdapat pula 70 ribu macam seksa di tempat itu, ya Nabi Isa Ruhullah. Di bukit Sakuna terdapat 70 ribu malaikat yang pekerjaannya adalah menghancurkan tembaga, timah, dan besi sebagai bahan untuk menyeksa orang yang tidak mahu menuruti akan perintah Allah Ta’ala dan Rasul Nya, juga menyeksakan hamba di bukit itu. Hamba rasakan tidak ada sesuatu pun yang menyamai azab tersebut. Ya Nabi Isa Ruhullah, seluruh seksaan yang ada di dalam dunia, tidak ada satu pun yang sama dengan seksaan yang ada di akhirat. Di bukit itu hamba lihat dan hamba dengar, penuh dengan ular dan kalajengking, dan binatang² buas isinya.
Mendapat kasih sayang Allah:
Kata Raja Jumjumah, "Ya Nabi Isa Ruhullah, adalah ber-macam² seksaan yang hamba lihat yang tidak mungkin habis hamba ceritakan kepada tuan mengenai seksaan itu. Setelah selesai hamba menjalani seksaan², maka datanglah seorang malaikat untuk menyampaikan amanat dari Allah kepada Malaikat Zabaniyah bahwa Allah Ta’ala telah mengampuni dosaku. Allah Ta’ala telah menganugerahi kasihNya. Penyeksaan kepadaku dilakukan kerana perintah Allah semata. Dan kini aku telah diampuni oleh Allah Ta’ala terhadap seluruh dosaku".
Nabi Isa berbicara, "Hai Raja Jumjumah, berbahagialah tuan telah begitu besar dianugerahi Allah telah melepaskan azab. Sesungguhnya segala perbuatan jika tidak benar niatnya, maka sembahyang dan ibadahnya pun tidak akan memberinya manfaat apapun. Hai Raja Jumjumah, ceritakanlah oleh Tuan seluruh seksaan yang telah dialami oleh hamba kepada orang² agar mereka menjadi takut dan bertaubat setelah mendengarkannya".
Kata Raja Jumjumah, "Ya Nabi Isa Ruhullah, tidaklah hamba dapat merasakan penderitaan lagi, dan tidaklah pula dapat menceritakan lagi mengenai seksaan² dan azab Allah Ta’ala. Karena tuan adalah Ruhullah, hamba mohonkan kepada Allah s.w.t agar dapat hidup kembali dan masuk ke dalam perut ibu hamba supaya dapat berbakti ke hadirat Tuhan RobbulArsyil Azim, maka semoga dapat terlepas dari seksaan yang telah hamba rasakan, dan hamba telah melihatnya juga. Akan tetapi terhadap kerajaan hamba, janganlah tuan mohonkan hamba untuk kembali lagi berkuasa".
Setelah Nabi Isa Ruhullah mendengar permohonan tersebut, ia segera mengambil segenggam tanah. Kemudian dibasuhkanlah kepada kepala tengkorak dan ditutupnya dengan kain putih. Selanjutnya, Nabi Isa melaksanakan solat 2 rakaat. Lalu berdoa kepada Allah agar keinginan dari tengkorak Raja Jumjumah dapat terkabul. Allah s.w.t pun mengabulkan permohonan Rasul-Nya itu.
Wollohu A'lam...
"Sesungguhnya pada kisah² mereka itu terdapat pengajaran bagi orang² yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang di-buat², akan tetapi membenarkan (kitab²) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. [Surah Yusuf,12:Ayat 111]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment