Apabila kamu dalam keadaan atau hal yang tertentu, janganlah meminta keadaan yang lebih tinggi atau lebih rendah. Apabila kamu berada di pintu istana, janganlah kamu hendak masuk kecuali kamu disuruh masuk. Janganlah menganggap cukup dengan kebenaran masuk itu sahaja kerana boleh jadi itu satu helah atau penipuan dari raja itu. Hendaklah kamu sabar, sehingga kamu dipaksa masuk ke istana itu atas perintah raja itu sendiri. Kerana dengan itu, kamu tidaklah dipertanggungjawabkan tentang perbuatan kamu masuk ke istana itu. Jika sekiranya kamu dihukum juga, maka itu adalah kerana kamu bersalah, tamak, tidak sabar, tidak bersopan santun dan hendakkan kepuasan dengan keadaan hidup yang kamu sedang berada itu. Jika kamu telah dipaksa masuk dan kamu masuk, maka hendaklah kamu masuk dengan sopan santun dan penuh hormat dan perhatikan apa yang kamu diperintahkan tanpa meminta kenaikan taraf dalam hidup itu. Allah berfirman kepada RasulNya: "Dan janganlah pandanganmu dipengaruhi oleh apa yang Kami kurniai kepada segolongan manusia dari kemegahan hidup di dunia ini kerana Kami menguji mereka dengan itu; adalah rezeki yang diberi oleh Tuhanmu itu lebih baik dan lebih kekal".
Allah menasihati NabiNya supaya berhati-hati dengan keadaan yang ada itu dan redha dengan kurniaan Allah. Dengan lain perkataan, firman ini menyatakan, "Apa sahaja yang Kuberi kepadamu dari perkara yang baik-baik, dan kenabian dan ilmu dan keredhaan dan sabar dan kekuasaan agama dan berjihad pada jalan Allah - semua ini adalah lebih baik dan lebih berharga daripada apa yang Aku beri kepada orang-orang lain". Kebaikan itu terletak dalam menjaga keadaan yang sedia ada dan berpuas hati dengannya dan menjauhkan kehendak-kehendak kepada yang lain kerana perkara itu sama ada telah dikhaskan untuk kamu atau kepada orang lain atau tidak kepada sesiapapun tetapi telah dijadikan oleh Allah sebagai satu ujian. Jika sesuatu perkara itu telah diuntukkan bagi kamu, maka kamu tentu akan mendapatinya sama ada kamu suka atau tidak. Tidaklah wajar kamu menunjukkan ketidaksopanan atau menunjukan tamak kerana itu berlawanan dengan akal dan ilmu yang sempurna. Apalah gunanya kamu mengharapkan apa yang telah ditentukan untuk orang lain kerana kamu tidak akan mendapatinya. Sekiranya sesuatu perkara itu tidak diuntukkan kepada sesiapapun, maka itu adalah satu ujian belaka. Orang yang berakal sempurna tidak akan bersahaja-sahaja mencari sesuatu ujian. Oleh itu kebaikan itu ialah menjaga dan redha dengan keadaan yang ada sekarang.
Setelah kamu dibawa ke tingkat atas dan dari situ ke bumbung istana, kamu akan hati-hati seperti yang kami nyatakan tentang penghormatan, perangai baik dan tidak bercakap banyak. Hati-hatilah, kamu hendaklah membuat lebih dari ini kerana kamu sekarang makin hampir dengan raja itu dan hampir pula kepada bahaya. Oleh itu janganlah minta pertukaran dari keadaan yang ada kepada keadaan yang lain, sama ada lebih tinggi atau lebih rendah, dan jangan pula kamu minta keadaan itu berkekalan atau bertukaran. Kamu tidak ada pilihan sendiri dalam perkara ini. Jika kamu meminta, maka itu tanda kamu kurang sopan dan merendahkan darjat kamu dan merugikan kamu juga. Dengan yang demikian teruskanlah bertindak sebagaimana yang kam tunjuki, sehingga kamu dinaikkan ke satu taraf dan kamu akan ditetapkan di taraf itu, maka ketika itu tahulah kamu bahawa itu adalah kurniaan Allah yang menunjukkan tanda-tanda kebesaranNya. Tetaplah kamu di tempat itu dan tidaklah diubah-ubah lagi. Ahwal (keadaan pertukaran kerohanian) adalah kepunyaan aulia (wali Allah biasa) dan Muqamah (perhatian kerohanian) adalah kepunyaan Abdal (wali Allah yang lebih tinggi tarafnya).
~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani)
"Sesungguhnya pada kisah² mereka itu terdapat pengajaran bagi orang² yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang di-buat², akan tetapi membenarkan (kitab²) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. [Surah Yusuf,12:Ayat 111]
Saturday, 11 July 2015
Apabila Kamu Dalam Keadaan Tertentu
Labels:
al quran,
Allah,
dosa,
dunia,
kurnia,
maksiat,
Muhammad,
sembahyang,
surah,
syeikh abdul kadir al jilani,
tuhan,
ujian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment