Artikel ini ditulis oleh Tuan Guru Hj. Shaari Hj. Mohd Yusof dan dihebahkan pada 19.11.2012
Tuan-tuan yang dirahmati Allah sekalian. Semua orang boleh mengerjakan sembahyang lima waktu dengan taat! Sayangnya tidak ramai di kalangan kita yang tahu siapakah sebenarnya yang bersembahyang!
Perlu diingatkan disini bahawa sebelum kita mendirikan sembahyang, hendaklah terlebih dahulu kita pastikan siapakah sebenar-benarnya yang bersembahyang? Kita dikehendaki megetahui
1) Sembahyang sebelum sembahyang (solat sebelum solat)
2) Sembahyang semasa sembahyang (solat semasa solat)
3) Sembahyang sesudah sembahyang (solat sesudah solat)
Sesudah kita benar-benar tahu tiga perkara diatas, barulah boleh dikatakan yang kita itu benar-benar sembahyang! Barangsiapa yang berhajat untuk mengetahuinya, mari kita sama-sama ikut pelayaran ilmu ini bersama saya.
Pelayaran melalui bahtera saya ini, adalah pelayaran bahtera ilmu yang selalu menempuh gelombang fitnah, tiupan angin sesat yang kencang dan gelora tuduhan salah yang boleh mendatangkan maut dan karam. Gelora fitnah dilautan ilmu makrifat itu, selalunya tidak pernah sepi! Namun barang siapa yang tahan dengan gelombang, gelora serta ombak lautan fitnah makrifat, ayuh sisingkan pergelangan tangan, ayuh mari kita mengembara bersama saya. Sebelum kita berlayar di lautan fitnah ini, ingin terlebih dahulu saya mengajukan satu persoalan kepada tuan-tuan.
Siapakah Yang Bersolat Sebelum Kita Solat!
Siapakah terlebih dahulu mengerjakan sembahyang, sebelum tuan-tuan bersembahyang (bersolat)? Sebelum tuan-tuan bersolat, siapakah terlebih dahulu yang bersolat? Bolehkah solat kita itu, dibuat-buat sendiri, ditetapkan, dikerjakan atau diperlakukan dengan kuasa diri kita sendiri? Bolehkah kita berkuasa untuk berdiri mengerjakan solat, jika tidak “terlebih dahulu didirikan”? Siapakah yang mendirikan kaki tuan-tuan?, siapakah yang mendatangkan gerak sebelum tuan-tuan bergerak untuk bersembahyang? Siapakah yang menetapkan tuan-tuan untuk mengerjakan sembahyang. Sebelum tuan-tuan berdiri, siapakah yang mendirikan kaki tuan-tuan? Cuba jawab dengan ikhlas?
Bolehkah kaki kita itu berdiri tanpa didahulukan oleh berdirinya Allah? Bolehkan kita berniat, sebelum diniatkan terlebih dahulu oleh Allah, Bolehkan kita rukuk, sebelum terlebih dahulu dirukukkan oleh Allah. Siapakah yang memulakan pekerjaan sembahyang, jika tidak dimulai oleh Allah?. Siapakah yang sebenarnya bersolat, jika tidak ………………………………….
Apakah kuasa sembahyang itu kita? Apakah yang memulai sembahyang itu kita? Apakah yang rukuk itu kita?. Apakah yang sujud itu kita? Cuba jawab? Mana kuasa, mana kudrat dan mana kehendak serta kemahuan kita? Jika tidak digerakkan, dimulai dan jika tidak dengan kudrat dan iradat Allah, bolehkah kita bersembahyang?
Sebelum kita bersembahyang, sebenarnya Allah telah terlebih dahulu mendirikan sembahyang kita di Loh Mahfuz ! Sebelum kita beranak atau sebelum kita dilahirkan kedunia ini, sebenarnya kita telahpun dididirikan oleh Allah untuk bersembahyang! Berdirinya kita untuk bersembahyang itu, sebenarnya adalah berdiri yang telah Allah dirikan! Kita sebenarnya telah ditetapkan oleh Allah untuk mendirikan sembahyang, semasa didalam kitab Loh Hul Mahfuz! Allah telah terlebih dahulu dirikan kita untuk bersolat, semasa di alam sebelum kita dilahirkan. Allah sudah mendirikan kita sembahyang, semasa di dalam perut ibu lagi. Berdirinya sembahyang kita itu, adalah diatas berdirinya yang telah didirikan oleh Allah semasa didalam alam “Loh Hul Mahfuz” lagi!
Jika tidak ditetapkab oleh Allah didalam Loh Hul Mahfuz, masakan kita boleh berdiri sembahyang! Pekerjaan sembahyang yang kita dirikan itu, adalah pekerjaan yang telah siap di kerjakan oleh Allah, sedari dialam Loh Hul Mahfuz!. Perbuatan kita itu, sebenarnya bukan atas ketetapan atau kerajinan kita, kita hanya ikut garis yang telah Allah tetapkan sedari dulu. Kita hanya lalu, hanya ikut dan hanya turuti apa yang telah Allah tetapkan.
Kita hanya ikut apa yang sudah Allah tetapkan. Pekerjaan sembahyang yang kita dirikan itu, bukan pekerjaan baru atau bukan perbuatan baru, ianya telah sedia ada di dalam kitab loh hul mahfuz! Kita ini, hanya ajuk atau hanya sekadar melakonkannya semula! Kita hanya melakonkannya semula skrip yang telah disiapakan oleh Allah swt.
Kita sebenarnya adalah sifat yang melakukan pekerjaan yang telah orang kerjakan. Kita melakukan pekerjaan yang telah siap dikerjakan oleh orang lain! Apakah boleh kita mengaku yang sembahyang itu kita punya? Apakah boleh kita mengaku yang mengerjakan sembahyang itu kita?. Cuba jawab.
Kaki milik orang, kuasa untuk kaki untuk berdiri sembahyang milik orang . Kehendak untuk berniat sembahyang, milik orang. Yang mengerakkan solat, milik orang . Setelah semua seisi solat itu, milik orang atau orang punya, mana yang dikatakan bersolat itu kita? Cuba jawab?
Sebelum saya teruskan persoalan ini, saya mahu tuan-tuan jawab terlebih dahulu?. Jam sudah menunjukkan pukul 6.13 pagi, tanggal 19hbNov. Saya tinggalkan persoalan ini, untuk dijawab oleh tuan-tuan…
Sambungan bab solat jam 4.10 19hb Nov.
Saya ingin bertanya kepada tuan-tuan semua? Apakah diri tuan-tuan itu, masih bersifat ada? Tidakkah sifat ada itu, hanya bagi Allah? Bilalmana Allah bersifat ada dan tuan-tuan juga bersifat ada, tidakkah telah ada dua sifat wujud? Menduakan sifat Allah itu, hukumnya syirik. Barang siapa yang menduakan Allah, dosanya tidak akan diampun Allah.
Kiranya tuan-tuan sudah tidak ada, siapakah yang mengerjakan sembahyang? Cuba jawab? Nak kata kita ada, bermakna kita telah menduakan sifat Allah. Nak kata tidak ada, yang membaca tulisan saya ini siapa? Nak kata ada salah dan nak kata tidak ada pun salah. Nak kata ada, seperti tidak ada dan nak kata tidak ada ,seperti ada? Bagaimanakah sudahnya pegangan kita?. Apakah kita kena beriktikad sepertimana biskut snek (sekejap ada dan sekejap tidak ada)? Cuba jawab? saya pula nak tumpang belajar dengan tuan-tuan. Siapakah sebenar-benarnya yang bersifat ada, apakah yang ada itu kita atau yang ada itu Allah atau kedua-dua ada atau sekejap ada kita atau sekejap ada Allah?.
Siapa yang hendak mengerjakan sembahyang, kiranya diri kita sudah tidak ada. Kiranya tidak ada, kemana perginya diri kita? Kiranya kita megaku yang diri kita ada dan Allah juga ada, bermakna sudah kita adakan dua sifat Allah! Dimana tempat duduknya iktikad kita? Beriktikad itu, biarlah putus, jangan main sekejap ada sekejap tidak ada?
Baiklah saya ingin bertanya lagi kepada tuan-tuan. Untuk mendirikan sembahyang itu, hendaklah dengan menggunakan anggota kaki. Kiranya tidak berkaki, bagaimana hendak berdiri! Saya ingin bertanya kepada tuan-tuan sila jawab dengan jujur! Siapakah pemilik kaki kita? Siapakah tuan pemilik sebenar anggota kaki kita? Siapa pemilik sah kaki kita? Dalam geran asal (dalam rekod kad pendaftaran yang asal), siapakah sebenarnya yang menjadi pemilik asal yang sah kepada anggota kaki kita? Cuba jawab?
Bilamana tertulis didalam geran, tercatat dengan nama nama Ahmad atau bernama Ahad sebagai tuan punya yang sah disisi undang-undang tubuh, apakah tergamak kita hendak mengaku yang kaki itu, milik kita? Apakah kita boleh tukar nama didalam geran asal dengan penama baru dengan sesuka hati?
Kaki siapa yang kita guna untuk berdiri? Cuba jawab? Tentu tuan-tuan takut nak jawab yang kaki itu, kaki Allah! Mana mungkin Allah ada kaki? Jika bukan kaki kita dan bukan kaki Allah, kaki siapakah yang tuan-tuan pakai? sila jawab?
Itu baru pertanyaan tentang anggota kaki, sudah memeningkan kepada kita. Lagu mana kalau saya tanya lagi anggota-anggota lain, lagilah pening. Sebelum betul-betul pening, saya serahkan jawapan kepada tuan-tuan, agar bertambah pening! Saya sendiripun pening untuk menjawab dengan cara yang sebaik mungkin dan dengan cara yang benar-benar fatonah! Lagi sekali pada jam 4.22, 19hb Nov. saya gantung kepada tuan-tuan untuk menjawab.
Sumber:
http://makrifattokkenali.com/2012/11/19/siapa-sebenarnya-yang-bersembahyang/
http://makrifattokkenali.com/2012/11/19/sambungan-siapa-sebenarnya-bersolat-19hb-nov/
"Sesungguhnya pada kisah² mereka itu terdapat pengajaran bagi orang² yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang di-buat², akan tetapi membenarkan (kitab²) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. [Surah Yusuf,12:Ayat 111]
No comments:
Post a Comment