Saturday, 11 July 2015

Kalimah Syahadah

Artikel ini ditulis pada 23.10.2012 oleh Tuan Guru Hj. Shaari Hj. Mohd Yusof

MOHON PETUNJUK TERLEBIH DAHULU SEBELUM BERSYAHADAH!

Sebelum berkalimah syahadah, terlebih dahulu marilah sama-sama kita memohon petunjuk dan hidayah dari Allah s.w.t, agar lafaz yang terkeluar dari kalam bibir kita itu, dipersetujui, diperkenan dan diredhai Allah Taala. Untuk mendapat perkenan atau persetujuan Allah, hendaklah terlebih dahulu kita tanya kepada diri kita sendiri, apakah kalimah syahadah yang telah berlangsung dikalam bibir kita itu, dihayati dengan sajian ilmu atau berlangsung dengan sekadar dengan alunan suara bibir?

Hanya hati mereka-mereka yang dituntun, ditunjuki, dianugerah dan yang dikehendaki Allah sahaja yang dapat membuka simpulan iman yang tersembunyi disebalik kalimah syahadah. Allah sahaja yang dapat membuka simpulan iman itu dan hanya Allah sahaja yang dapat memberi petunjuk ke arah mengetahui rahsia disebalik syahadah. Simpulan iman yang tersimpul disebalik syahadah itu, teramat sulit untuk dibuka oleh akal. Syahadah itu, tersimpul disebalik simpulan iman. Simpulan iman itu tersimpul di dalam kalimah “tahu” tetapi tidak “ mengetahui” (kenal). Perkataan tahu itu, adalah simpulan yang tersimpul disebalik khayalan akal atau hanya sekadar angan-angan.

MAKSUD LAFAS SYAHADAH YANG SEBENAR

Terjemahan sebenar kalimah La Ila haillah itu, adalah bermaksud “Aku mengetahui tiada lain melainkan hanya Allah”. Jika tidak kita faham dan tidak kita mengetahui makna disebalik maksud, berapa banyak sekalipun kita menyebut perkataan bersaksi atau kita menyebut perkataan naik saksi, tidak bermakna kita sudah bersyahadah! Lafaz syahadah kita itu, hanyalah sekadar lafasan bibir yang berangan-angan atau berkhayalan akal semata-mata!

Lafas syahadah dalam keadaan tidak mengetahui, adalah lafaz yang tidak terlafaz atau ucap yang tidak terucap. Syahadah dari bibir mereka-mereka yang dalam berkeadaan hilang ingatan, hilang akal, khayal atau dalam berkeadaan mabuk. Lafaz syahadah dari bibir orang yang “tidak megetahui” itu, seumpama garam yang tiada masin! Lafaz yang tidak diterima Allah!.

Maksud atau makna perkataan “mengetahui” itu, adalah merujuk kepada “mengenal“. Kiranya kita tidak mengenal Allah, apa kesaksian yang hendak kita persaksikan atau yang hendak kita persembahkan kepada Allah, cuba tuan-tuan jawab pertanyaan saya? Setiap yang bersaksi, hendaklah terlebih dahulu mengenal antara satu sama lain. Sepatutnya yang bersaksi itu, mengenal dengan yang meyaksikannya! Sekiranya saksi tidak kenal kepada yang menyaksi dan yang menyaksi pula tidak mengenal kepada yang bersaksi, apakah ertinya bersyahadah? Di antara mereka saling tidak kenal mengenal di antara satu sama lain, apa yang hendak kita persaksikan? Cuba jawab pertanyaan saya dengan jujur?

NAIK SAKSI TETAPI TIDAK BERSAKSI (SAKSI TIDAK MENGENAL YANG DISAKSI!).

Sekiranya tuan-tuan masih tidak faham apa itu maksud saksi dan apa itu maksud yang menyaksi, mari ikut saya, saya bawa tuan-tuan masuk sekejap ke dalam mahkamah! Saya mahu tuan-tuan menjadi seorang saksi dalam satu kes rompakan bersenjata yang mendatangkan kematian. Secara kebetulan tuan melihat dan menyaksikan rompakan tersebut dengan mata kepala sendiri. Sebagai saksi, tuan hakim meminta tuan mengenal pasti pelaku yang melakukan rompakan. Hakim mengumpulkan beberapa orang suspek untuk tuan kenal pasti, yang mana satu perompak yang benar-benar melakukan rompakan tersebut. Cuba tuan-tuan jawab soalan saya, bagaimana sekiranya tuan tidak dapat cam atau tidak dapat untuk mengenal pasti pelaku yang melakukan rompakan tersebut, bolehkan tuan disebut sebagai seorang saksi? Bolehkah tuan dipanggil sebagai seorang saksi? Sebagai seorang saksi itu, hendaklah mengenal orang yang disaksikannya!

Begitu juga dalam soal kita berkalimah syahadah. Kita mengaku untuk naik saksi bahawasanya tidak ada Allah lain selain Allah! Cuba tuan-tuan jawab pertanyaan saya, bila masanya tuan mengenali Allah? Bilamasanya tuan-tuan pernah melihat Allah? Sekiranya tuan-tuan belum pernah melihat Allah dan belum pun pernah mengenal Allah, bagaimana tuan-tuan nak jadikan diri tuan-tuan itu sebagai seorang saksi, sekiranya tuan-tuan sendiri belum pernah menyaksikannya. Seorang saksi yang belum pernah dipersaksikan (belum pernah diperlihatkan), mana mungkin dapat menjadi saksi bagi menyaksikan suatu kesaksian? Cuba jawab, cuba jawab dan cuba jawab dengan hati yang jujur? Boleh atau tidak? Jika jawapannya memihak kepada “tidak”, bagaimana kesaksian tuan-tuan terhadap kalimah syahadah yang tuan-tuan sendiri sebut dan yang tuan-tuan sendiri lafazkan? Tidakkah itu satu pembohongan atau satu penipuan? Tuan-tuan adalah seorang makhluk pendusta! Dusta pada Allah, dusta pada pandangan masyarakat dan dusta juga kepada diri sendiri! Apakah ertinya tuan-tuan dan puan-puan sebagai hamba Allah yang berpaksi kepada kalimah syahadah? Cuba jawab kepada diri sendiri!.

KEFAHAMAN SYAHADAH ITU, BUKAN MENGIKUT SEBAGAIMANA KEFAHAMAN AKAL!

Maksud atau makna "mengenal" itu pula, adalah merujuk kepada "kefahaman Allah", bukan datangnya dari kefahaman atau pengertian khayalan akal atau angan-angan! Setelah mengenal Allah, barulah terbitnya perkataan sebutan bibir yang disertai dengan perkara “rasa“. Perkataan rasa itulah maksud mengetahui. Lafas dengnan mengetahui itulah, baru sah melafazkan kalimah syahadah. Mari kita sama-sama melafazkan dua kalimah syahadah dengan mengetahui Allah, bukannya dengan pengetahuan kita! Untuk melafaz bersama dengan mengetahui Allah, terlebih dahulu harus kita faham apa itu pengertian perkataan “aku”!

Bilamana menyebut perkataaan”aku”, rujuklah kepada Allah, perkataan “aku” di situ, bukannya merujuk kepada diri kita! Diri kita bersifat tidak mengetahui, hanya Allah sahaja yang bersifat tahu dan mengetahui! Bilamana menyebut perkataan “Aku mengetahui”, rujukanlah bahawasanya yang mengetahui itu, adalah sifat Allah s.w.t. Allah itu, tiada lain selain Allah! Aku itu, adalah Aku. Allah itu, adalah Allah! (Allah itu, tiada lain selain Allah).

Selagi kita mengaku kita yang mengetahui dan kita yang tahu, bererti kita belum lagi bersyahadah. Perkataan “Aku mengetahui” itu, adalah merujuk kepada Allah. Yang mengetahui itu hanya Allah ! Bilamana kita melafaz , tasdiklah ke dalam hati dan ingatlah dengan perasaan akal yang lemah itu, bahawasanya yang boleh mengetahui akan syahadah kita itu hanya Allah. Yang mengerti dan yang faham akan syahadah kita itu, hanya Allah.

Sesudah kita faham maksud "mengetahui Allah", barulah boleh kita tambah dengan perkataan "aku bersaksi" atau "aku naik saksi". Sesudah kita faham akan duduknya makna yang tersirat itu, sebutlah apa sahaja perkataan yang terlafaz oleh bibir, ia tidak lagi memberi bekas. Kerana yang memberi bekas itu, adalah hanya Allah. Cakaplah apapun yang kita sanggup cakap, ianya tidak sedikitpun memberi bekas kepada Allah, kerana yang terlafaz, terucap dan terluah dari bibir itu, adalah dengan "mengetahui Allah"! (dalam ilmu Allah).

Orang yang dalam berkeadaan tidak mengetahui itu, adalah sama dengan orang yang dalam berkeadaan mabuk, lalai, hilang akal atau hilang ingatan. Tidak tahu dari apa yang dilafaz atau tidak tahu dari apa yang diperkatakan. Sekadar sedap mulut untuk berkata! Sekiranya sekadar sedap mulut, budak kecil atau radio kaset pun boleh mengucap sebagaimana lafaz bibir mulut tuan-tuan! Apakah itu yang dimaksud atau yang ditakrifkan oleh syarak? Mengucap sekadar lepas dari bibir, apakah itu yang disarankan oleh agama kita? Cuba jawab pertanyaan saya. Jika tidak betul dari apa yang saya sangkakan, cuba tuan-tuan ceritakan bagaimana lafaz shayadah yang sebenar? Cuba tuan jelaskan kepada kami, apa yang hendak dinafi dan apa yang hendakk diisbatkan, cuba tuan jawab melalui blog ini, supaya ramai yang boleh lihat pendapat tuan melalui blog ini dan dapat pula kita pula sama-sama belajar dari tuan!.

KEFAHAMAN SYAHADAH MENGIKUT SULUHAN ILMU MAKRIFAT (DARI SUDUT SULUHAN HATI)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.

Bagi mereka-mereka yang sudah mengenal diri dan mengenal Allah, Tidak ada lagi yang menjadi saksi, bersaksi atau menyaksi. Setelah segalanya sudah lebur, binasa dan lebur, apakah lagi yang tersisa atau terbaki pada kita? Sebagai makhluk, kita adalah bersifat dengan sifat binasa. Setelah binasa segala sifat makhluk, mana lagi adanya kita? Setelah kita tidak ada dan setelah sifat kita binasa, siapa lagi yang hendak menjadi saksi? Seandainya tidak ada saksi, mana mungkin untuk menyaksikan kesaksian! Saksi itu roh dan yang bersaksi itu tubuh badan (bibir mulut), manakala yang menyaksikan kesaksian kita itu, adalah Allah Taala.

Seandainya sifat tubuh badan dan roh kita binasa, kemana lagi hendak kita hadapkan penyaksian kita? Itulah makanya bagi mereka yang sudah sampai kepada tahap makrifat, tidak ada lagi yang menjadi saksi, bersaksi dan tidak ada lagi yang menyaksi! Melainkan garam sudah kembali kepada masin. Tidak ada lagi sifat garam melainkan segala-galanya masin belaka! Siapa yang hendak menyaksi siapa? Sesudah segalanya binasa!.

Selagi tidak binasa, tidaklah ia bersyahadah, melainkan sekadar angan-angan atau khayalan akal! Bersaksi itu, bilamana ada dua sifat wujud. Setelah wujud diri yang bersifat majazi itu lebur, mana ada lagi wujud yang lain selain wujudnya Allah! Wujud yang lain akan dengan sendirinya menjadi lebur musnah, bilamana penglihatan mata hati terpandang akan wujudnya Allah! Erti wujud itu, bermaksud ada. Sifat ada itu, adalah hanya bagi Allah. Makhuk itu, adalah bersifat dengan sifat binasa! Setelah makhluk bersifat binasa, mana ada lagi wujudnya makhluk. Setelah tidak wujudnya makhluk, di situlah baru timbulnya sebenar-benar yang dikataan Allah itu wujud dengan sendiri. Tidak berkongsi wujudnya Allah itu, dengan wujud yang lain selain Dia.

Bilamana sampainya kita kepada tahap itu, barulah boleh dikatakan bahawa saksi itu Dia, yang beraksi itu Dia dan yang menyaksipun Dia. Dialah seDia-Dianya. Allahlah seAllah-Allahnya Allah!n. Tidak adalah yang wujud, yang ujud dan yang maujud di alam ini selain Allah. Allah itulah Allah, Allah, Allah ………………………………………………………

Inilah syahadah yang sebenar-benar syahadah, pengakuan yang sebenar-benar pengakuan dan tauhid yang sebenar-benar tauhid! Pengakuan yang bukan setakat bibir mulut, tetapi pengakuan yang beserta dengan tasdik hati yang ikhlas dan jujur! Yang boleh dikatakan ikhlas dan jujurnya tasdik hati itu, setelah kita campakkan garam ke dalam sifat masin.

Sumber: http://makrifattokkenali.com/2012/10/23/kalimah-syahadah/

No comments:

Post a Comment