Keluarlah dari diri kamu sendiri dan serahkan segala-galanya kepada Allah. Penuhkan hatimu dengan Allah. Patuhlah pada perintahNya dan larikan diri dari laranganNya agar nafsu badaniah kamu tidak memasuki hati kamu setelah ianya keluar. Untuk membuang nafsu² badaniah dari hatimu, kamu hendaklah berjuang melawannya dan jangan menyerah kepadanya dalam semua keadaan dan masa. Oleh itu janganlah berkehendakkan kepada sesuatu yang bukan kehendak Allah. Kehendak kamu yang bukan kehendak Allah adalah kehendak nafsu badaniah. Kehendak ini jika diturut akan merosakkan diri kamu dan menjauhkan kamu dari Allah. Patuhlah kepada perintah Allah dan jauhkanlah laranganNya dan bertawakkallah kepada Dia sahaja dan sekali-kali jangan menyengutuiNya. Dia yang menjadikan nafsu dan kehendak kamu. Oleh yang demikian, janganlah berkehendakkan atau berhajatkan atau bercita-cita untuk mendapatkan sesuatu supaya kamu tidak tercebur ke lembah syirik. Allah berfirman: "Barangsiapa bercadang hendak bertemu dengan Tuhannya, dia hendaklah beramal saleh dan janganlah sekutukan Allah dengan apa jua".
Syirik itu bukan sahaja semata-mata menyembah berhala. Syirik itu juga termasuk menurut hawa nafsu dan menyengutukan apa sahaja yang di dunia dan yang di akhirat dengan Allah, kerana apa sahaja yang lain Allah, bukanlah Tuhan. Oleh itu jika kamu tumpukan hati kepada yang lain dari Allah, maka kamu telah syirik. Oleh itu jangan sekutukan Allah itu secara kasar dan secara halus. Berjaga-jagalah, jangan berdiam diri, berhati-hatilah dan waspada selalu semoga kamu beroleh selamat. Segala pangkat dan kebaikan yang kamu perolehi janganlah kamu katakan datang dari kamu sendiri atau kepunyaan kamu sebenarnya. Jika kamu diberi sesuatu hal atau keadaan atau kenaikan kepada sesuatu taraf kedudukan, janganlah dihebohkan kepada sesiapa. Kerana dalam pertukaran suasana dari hari ke hari itu, Allah menzahirkan keagunganNya dalam aspek-aspek yang sentiasa baru dan Allah menyelangi antara hambaNya dengan hati-hati mereka. Boleh jadi apa yang kamu katakan milik kamu itu akan dilepaskan dari kamu. Dan apa yang kamu anggap kekal itu boleh jadi bertukar keadaan, maka kamu akan merasai malu pada mereka yang kamu cakapkan itu. Lebih baik kamu berdiam diri dan simpan dalam pengetahuan kamu sahaja dan tidak menyampaikan kepada sesiapa. Jika kamu memiliki sesuatu, ketahuilah bahawa itu adalah kurnia Allah dan bersyukurlah kepadaNya dan bermohonlah kepadaNya supaya ditambahi dengan nikmat-nikmatNya. Jika sesuatu itu lepas dari kamu, maka ianya akan menambahkan ilmumu, kesedaranmu dan waspadamu. Allah berfirman: "Apa sahaja perutusan (kitab-kitab terdahulu) yang Kami batalkan atau Kami jadikan ianya dilupakan, maka Kami bawa yang terlebih baik atau yang seumpamanya. Adakah kamu tahu bahawa Allah Berkuasa Terhadap Segala Sesuatu?"
Oleh itu, janganlah disangka Tuhan Allah itu tidak berkuasa dalam sesuatu perkara dan janganlah disangka ada kekurangan dalam ketentuanNya dan peraturanNya, serta janganlah syak wasangka tentang janji-janjiNya. Contohilah Nabi Besar Muhammad s.a.w. Ayat-ayat yang diwahyukan kepada baginda itu dipraktikkan, dibaca di dalam masjid, ditulis di dalam buku, bahkan diambil dan ditukar dengan yang lain dan perhatian Nabi diarahkan kepada perkara-perkara wahyu-wahyu yang baru diterimanya yang mengganti ayat-ayat yang lama itu. Ini terjadi dalam perkara hukum-hukum yang zahir.
Berkenaan dengan perkara-perkara kebatinan, ilmu dan keadaan kerohanian yang didapati antara baginda dengan Tuhan, baginda biasa berkata bahawa hatinya biasa diselubungi dan baginda memohon perlindungan Allah 70 kali sehari. Juga diceritakan bahawa 100 kali sehari Nabi biasa dibawa dari satu keadaan atau hal kepada satu keadaan atau hal yang lain dan dengan itu baginda dibawa ke peringkat-peringkat yang hampir dan lebih hampir lagi ke hadrat Ilahi. Baginda mengembara ke alam Yang Maha Tinggi dan nur menyelubungi baginda dari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi. Tiap-tiap satu peringkat yang dinaikinya, maka peringkat yang di bawah itu nampaknya gelap jika dibandingkan dengan peringkat yang atas itu. Makin tinggi, makin bersinarlah nur Allah melimpahi hati sanubari baginda. Baginda biasa menerima arahan supaya memohon ampun atau perlindungan Tuhan kerana sebaik-baik hamba Allah itu ialah mereka yang sentiasa memohon ampun dan perlindungan Allah dan sentiasa kembali kepadaNya. Ini ialah kerana untuk menyedarkan kita bahawa kita ini ada mempunyai dosa dan kesalahan yang mana kedua-dua ini ada didapati pada hamba-hamba Allah dalam semua keadaan hidupnya dan kepunyaannya sebagai warisan dari Adam a.s yang menjadi bapa segala manusia dan hamba pilihan Allah. Apabila lupa kepada perintah Allah itu telah mengaburkan cahaya kerohaniannya dan baginda menunjukkan keinginan hendak kekal di syurga dan di samping Tuhan, dan Tuhan berkehendakkan menghantar Malaikat Jibril kepada baginda, pada masa itu kehendak diri (ego) baginda terzahir dan kehendak Adam terdapat bercampur dengan kehendak Allah. Oleh itu kehendak baginda itu dihancurkan dan keadaan pertama itu dihilangkan dan kehampiran kepada Tuhan di masa itu dihilangkan dan cahaya keimanan yang terang-benderang itu bertukar kepada kabur dan kesucian rohani baginda telah menjadi sedikit kotor. Maka Allah akan memperingatkan baginda dan menyedarkan kesalahannya dan dosanya dan diperintahkan supaya mengakui kesalahan dan dosanya dan meminta ampun kepada Allah.
Adam a.s berkata: "Ouh Tuhan! Kami telah menzalimi diri kami sendiri dan jika tidak Engkau ampuni kami dan mengasihani kami sudah tentu kami termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi". Kemudian itu, datanglah kepada beliau cahaya petunjuk, kesedaran bertaubat, pengetahuan hakikat akibatnya dan ilmu hikmat yang tersembunyi dalam kejadian inipun terbukalah. Maka, Allah menghampiri mereka dengan kasih sayangNya agar mereka bertaubat. Maka kehendak yang timbul dari Adam itupun ditukarkan dan keadaannya yang dahulu itupun ditukarkan, maka dikurniai kepadanya peringkat waliah (kewalian) yang lebih tinggi dan diberi makam (stesen) dalam dunia ini dan di akhirat kelak. Jadilah dunia ini tempat tinggalnya dan keturunannya dan akhirat kelak tempat kembali yg kekal abadi.
Jadikanlah Nabi Besar Muhammad s.a.w yang mana baginda itu seorang Rasul dan kekasih Allah dan hambaNya yang pilihan dan bapa segala insan iaitu Adam hamba Allah yang pilihan sebagai contoh dan tauladan. Contohilah mereka kedua itu dalam hal mengakui kesalahan dan dosa sendiri dan meminta ampun kepadaNya dan meminta perlindunganNya dari noda dan dosa dan contohilah mereka dalam hal merendahkan diri kepada Allah kerana insan ini adalah lemah dalam segala hal.
~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani)
"Sesungguhnya pada kisah² mereka itu terdapat pengajaran bagi orang² yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang di-buat², akan tetapi membenarkan (kitab²) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. [Surah Yusuf,12:Ayat 111]
Thursday, 9 July 2015
Keluarlah Dari Diri Kamu Sendiri
Labels:
al quran,
Allah,
dosa,
dunia,
kurnia,
maksiat,
Muhammad,
sembahyang,
surah,
syeikh abdul kadir al jilani,
tuhan,
ujian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment