Jauhkanlah diri dari orang ramai dengan perintah Allah dan dari nafsu kamu dengan perintahNya dan dari kehendakmu dengan lakuanNya, agar kamu layak menjadi bekas untuk mengisi ilmu Allah. Tanda kamu telah menjauhkan diri dari orang ramai ialah kamu telah seluruhnya memutuskan segala perhubungan dengan orang ramai dan membebaskan fikiran² kamu dari segala apa yang bersangkutan dengan mereka.
Tanda kamu telah putus dari nafsu² kamu ialah kamu telah membuang segala usaha dan daya untuk dunia dan perhubungan dengan cara² dunia untuk mendapatkan apa² faedah dan menghindarkan bahaya dan kamu janganlah bergerak untuk kepentingan kamu sendiri. Janganlah kamu bergantung kepada diri sendiri tentang perkara yang bersangkutan dengan diri kamu. Janganlah kamu melindungi diri kamu dan menolong diri kamu sendiri. Serahlah segala-galanya kepada Allah kerana Dia lah yang menjaga dan memelihara segala-galanya dari azali lagi sehingga abadi selama-lamanya. Dia lah yang menjaga kamu dalam perut ibumu sebelum kamu lahir dan Dia lah yang memelihara kamu semasa kamu masih bayi.
Tanda kamu telah hilang dari kehendak kamu dengan lakuan atau perbuatan Allah ialah kamu tidak lagi melayan apa² hajat dan kamu tidak ada apa² matlamat atau tujuan, kamu tidak lagi ada keperluan atau maksud kerana kamu tidak ada tujuan atau keperluan selain Allah semata-mata. Lakuan Allah pun terzahir pada kamu dan pada masa pergerakan kehendak dan lakuan Allah itu, kamu hanya pasif pada badan, tenang dalam hati, luas fikiran, mukamu berseri-seri dan jiwa kamu bertambah subur. Maka kamu akan terlepas dari keperluan kebendaan kerana kamu telah berhubung dengan Al-Khaliq. Tangan kuasa akan mengerakkan kamu. Lidah abadi akan memanggil kamu. Tuhan sekalian alam akan mengajar kamu dan akan memberi pakaian dengan cahaya dari diriNya dan dengan pakaian kerohanian dan akan meletakkan kamu dalam peringkat orang² alim yang dulu².
Selepas pengalaman ini akan bertambah hancurlah "hati" kamu sehingga hapuslah hawa nafsu dan kehendak kamu umpama tempayan yang pecah yang tidak mengandungi air walau setitikpun. Kosonglah kamu dari semua lakuan² kemanusiaan dan diri kamu tidak menerima yang lain kecuali kehendak Allah. Pada peringkat ini kamu akan dikurniai keramat² dan perkara² yang luar biasa. Perkara² itu pada zahirnya datang dari kamu tetapi sebenarnya adalah lakuan dan kehendak Allah jua.
Maka masuklah kamu dalam golongan orang² yang telah pecah hatinya dan telah hilang nafsu² kebinatangannya. Selepas itu akan diberi sifat² Ketuhanan Yang Maha Tinggi. Berkenaan hal inilah Nabi Besar Muhammad s.a.w telah bersabda: 'Aku gemar tiga perkara dari dunia ini - bau-bauan harum, perempuan dan sembahyang yang mataku sejuk di dalamnya'. Semua ini diberi kepadanya setelah kehendak² dan nafsu² yang tersebut dahulu itu lepas dari dirinya. Allah berfirman: "Aku bersama mereka yang pecah hatinya kerana Aku".
Allah s.w.t tidak bersama kamu sekiranya semua nafsu dan kehendak kamu itu tidak dihancurkan. Apabila semua hancur dan tidak ada lagi yang tinggal pada kamu maka kamupun sesuailah untuk "diisi" dengan Allah dan Allah akan menjadikan kamu orang baru yang dilengkapi dengan tenaga dan kehendak baru yang pula. Jika ada lagi diri kamu walau sedikitpun, maka Allah akan menghancurkan itu pula sehingga kamu kosong semula dan selama-lamanya kamu tetap hancur hati. Allah akan menjadikan kehendak² baru dalam diri kamu dan jika dalam pada itu masih juga ada ego (diri) kamu, maka Allah akan menghancurkan terus. Demikianlah terjadi sehingga kamu menemui Tuhanmu di akhir hayat nanti. Inilah maksud firman Tuhan, "Aku bersama mereka yang hancur hatinya kerana Aku". Kamu akan dapati diri kamu "kosong" dan sebenarnya ada ialah Allah.
Allah berfirman dalam hadis Qudsi: "HambaKu yang taat sentiasa meminta kehampiran dengan Aku melalui sembahyang² sunat sehingga Aku jadikan dia rakanKu dan apabila Aku jadikan dia rakanKu, Aku menjadi telinganya yang dengannya dia mendengar, matanya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memegang, dan kakinya yang dengannya dia berjalan iaitu dia mendengar melalui Aku, memegang melalui Aku dan mengetahui melalui Aku". Sebenarnya ini adalah keadaan "fana' (hapuskan diri)". Apabila kamu telah fana' terhadap diri dan makhluk, dan oleh kerana makhluk itu baik atau jahat dan oleh kerana diri kamu itu baik atau jahat, maka tidaklah ada dalam pandangan sebarang kebaikan yang datang dari diri kamu atau makhluk itu dan tidaklah kamu takut kedatangan kejahatan dari makhluk. Semua itu terletak pada tangan Allah semata-mata. Daripada itu datangnya buruk dan baik. Dia yang menentukan segala-galanya semenjak dari awal² lagi.
Oleh yang demikian, Dia akan beri kamu keselamatan dari segala kejahatan makhluk²Nya dan akan membenamkan kamu dalam lautan kebaikanNya. Maka jadilah kamu titik tumpuan segala yang baik dan sumber keberkatan, kebahagiaan kesentosaan, nur (cahaya), keselamatan dan keamanan. Oleh itu "fana'" adalah tujuan dan matlamat dan hujung dan dasar perjalanan wali Allah. Semua wali Allah yang terdahulu dalam peringkat kemajuan mereka telah memohon dengan sungguh² untuk menukar kehendak atau kemahuan Allah. Semua mereka menukar kemahuan atau kehendak mereka ke dalam kemahuan atau kehendak Allah. Pendeknya mereka memfana'kan diri mereka dan mewujudkan Allah. Sebab itulah mereka digelar 'Abdal' (perkataan yang diambil dari perkataan 'Badal' yang bermakna "Pertukaran"). Pada pendapat mereka adalah satu dosa menyengutukan kehendak mereka dengan kehendak Allah.
Sekiranya mereka lupa, dikuasai oleh emosi dan ketakutan, maka Allah Yang Maha Kuasa akan menolong mereka dan menyedarkan mereka dan dengan itu mereka kembali sedar dari lupa dan memohon perlindungan Allah. Tidak ada manusia yang benar² bebas dari pengaruh kehendak ego (diri) sendiri kecuali malaikat. Malaikat itu dipelihara Allah dalam kesucian kehendak mereka dan nabi² dipelihara dari nafsu badaniah. Jin dan manusia telah diberi tanggungjawab supaya berakhlak baik. Tetapi tidak terpelihara dari dipengaruhi oleh dosa dan maksiat. Wali² dipelihara dari nafsu² badaniah dan abdal dari kekotoran kehendak atau niat. Meskipun begitu mereka tidaklah bebas mutlak kerana mungkin merekapun ada kelemahan untuk melakukan dosa tetapi Allah dengan kasih sayangNya akan menolong dan menyedarkan mereka.
~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani)
"Sesungguhnya pada kisah² mereka itu terdapat pengajaran bagi orang² yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang di-buat², akan tetapi membenarkan (kitab²) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. [Surah Yusuf,12:Ayat 111]
Thursday, 23 April 2015
Hancurkan Hati Kamu
Labels:
al quran,
Allah,
dosa,
dunia,
kurnia,
maksiat,
Muhammad,
sembahyang,
surah,
syeikh abdul kadir al jilani,
tuhan,
ujian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment