Wednesday, 15 April 2015

Kisah Abu Abdullah Muhammad bin Khafif

UJIAN TAWAKKAL

      Abu Abdullah Muhammad pergi naik haji ke Mekah. Dia hanya membawa sebuah timba dan seutas tali untuk digunakan mengambil air. Semasa dia melalui belantara dilihatnya banyak rusa sedang minum air di telaga. Apabila dia hampir ke telaga itu, rusa² itu pun lari dan air telaga itu turun ke bawah. Dia cuba mengambil air itu tetapi tidak berjaya. Dia berdoa meminta air itu dinaikkan sebagaimana air itu naik semasa rusa² itu minum. Terdengar suara berkata, 'Kami tidak mahu berbuat demikian kerana kamu bergantung kepada timba dan tali dan tidak bergantung kepada Kami'. Dibuangnya timba dan tali itu. Tiba² air itu pun naik ke atas. Dia pun minum sepuas hati.
      Setelah sampai ke Mekah, peristiwa itu diceritakannya kepada Al-Junaid. Al-Junaid menjawab, 'Allah hendak menguji tawakkalmu kepadaNya. Jika tuan tunggu lama lagi, nescaya air itu akan melimpah keluar'.

MINTA NASIHAT

      Abu Abdullah Muhammad berkata, 'Saya mendapat tahu di Mesir ada dua orang aulia Allah, seorang belia dan seorang tua. Mereka ini duduk di dalam sebuah bilik bertafakur semenjak beberapa tahun yang lalu. Saya pergi ke tempat mereka dan memberi salam tetapi mereka tidak menjawab salam saya itu. Saya memberi salam kali yang kedua. Tetapi tidak juga mereka menjawab salam. Kali yang ketiga saya berkata, 'Dengan nama Allah, saya mohonkan agar tuan terima salam saya'. Dengan itu, orang muda itu mengangkatkan kepalanya dari tafakur dan berkata, 'Umur kami ini pendek dan sebahagian besarnya telah berlalu. Hanya sedikit lagi yang tinggal dan umur yang sedikit lagi ini akan kami gunakan sepenuhnya. Kami fikir tuan tidak peduli tentang mati tuan. Jika tuan pedulikan tentulaH tuan tidak akan membuang masa datang kepada kami dan memberi salam'. Setelah berkata demikian, orang muda itu pun menundukkan kepalanya dan terus bertafakur.
      'Pada masa itu saya sangat lapar tetapi mendengarkan kata²nya itu lapar saya pun hilang. Saya duduk dengan mereka dan bersembahyang subuh dan asar dengan mereka. Selepas itu saya minta orang muda itu mengajar saya. Katanya, 'Kami ini orang hina. Tidak layak kami menasihatkan sesiapa. Sebenarnya kami hendakkan pengajaran'. Apabila saya suruh juga dia berkata sesuatu, dia berkata, 'Bergaullah dengan orang yang menyedarkan tuan kepada Allah, yang tidak mengajar dengan perkataan tetapi dengan amalannya menyebabkan tuan sempurna dalam kerohanian tuan'.
      Abu Abdullah Muhammad berkata, 'Si sufi janganlah melawat raja atau berjumpa dengan raja (jika raja itu datang kepadanya)'.

No comments:

Post a Comment