Saturday, 4 April 2015

Apabila Kamu Diuji Allah

      Apabila seseorang hamba Allah itu diuji oleh Allah, maka mula²nya dia akan cuba melepaskan dirinya dari ujian atau cubaan yang menyusahkannya itu. Jika dia tidak berjaya dia akan meminta pertolongan dari orang lain seperti raja² atau orang² yg berkuasa, orang² dunia, orang² hartawan dan jika dia sakit dia akan pergi meminta pertolongan doktor atau bomoh. Jika inipun dia tidak berjaya, maka kembalilah dia menghadapkan wajah dia kepada Allah s.w.t. Dan memohon sambil merayu kepada Allah. Selagi dia boleh menolong dirinya, dia tidak akan meminta pertolongan dari orang lain. Selagi pertolongan orang lain masih didapatinya, dia tidak akan meminta pertolongan Allah.
      Jika dia tidak mendapat pertolongan Allah, maka berterusanlah dia merayu, sembahyang, berdoa dan menyerahkan dirinya dengan penuh harapan dan cemas terhadap Allah s.w.t. Allah tidak akan menerima rayuan dia sehingga dia memutuskan dirinya dengan keduniaan. Setelah putuslah dia dengan hal² keduniaan, maka ketentuan dan kerja Allah akan terzahir melalui orang itu dan dilepaskanlah dia dari hal² keduniaan. Tinggallah pada dirinya ROH sahaja.
      Pada peringkat ini tidaklah dinampak oleh dia melainkan kerja atau perbuatan Allah sahaja dan tertanamlah di dalam hatinya kepercayaan yg sebenar-benarnya tentang tauhid (ke-esa-an) Allah. Pada hakikatnya, tidak ada pelaku atau penggerak atau yang mendiamkan kecuali Allah, tidak ada baik dan tidak ada jahat, tidak ada rugi dan tidak ada untung, dan tidak ada faedah dan tidak ada anugerah dan tidak ada sekatan, tidak terbuka dan tidak tertutup. mati dan hidup, mulia dan hina, kaya dan miskin, bahkan segala-galanya adalah di dalam tangan Allah.
      Dia itupun jadilah seperti bayi di pangkuan ibunya atau seperti orang mati yang sedang dimandikan atau seperti bola di kaki pemain bola - melambung, bergolek, ke atas, ke tepi dan ke tengah, sentiasa berubah tempat dan kedudukan. Tidak ada pada dirinya upaya dan daya. Maka lenyaplah dia. Dia keluar dari dirinya dan masuk ke dalam lakuan Allah semata-mata.
      Dia yang begini tidak nampak yang lain kecuali Allah dan perbuatan² Allah. Tidak ada didengar dan diketahuinya kecuali Allah. Jika dia melihat sesuatu, maka dilihatnya perbuatan atau kerja Allah. Jika dia mendengar atau mengetahui sesuatu, maka didengarnya perkataan² Allah. Jika dia mengetahui sesuatu, maka diketahuinya melalui pengetahuan Allah. Dia akan dianugerahi dengan anugerah Allah. Dia akan diperhias dan dipermuliakan. Redhalah dia dengan Allah. Bertambah hampirlah dia dengan Tuhannya. Bertambahlah cintanya kepada Allah. Bertambahlah seronoknya dalam mengenang Allah. Terdirilah dia "di dalam Allah". Allah akan memimpinnya dan menghiasinya dengan pakaian cahaya ilmu Allah dan terbukalah kepadanya hijab yang melindunginya dari rahsia² Allah Yang Maha Agung. Dia mendengar dan mengingat hanya dari Allah Yang Maha Tinggi. Sentiasalah dia bersyukur dan bersembahyang di hadrat Allah s.w.t.

~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani)

No comments:

Post a Comment