Wednesday, 15 April 2015

Kisah Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad Al-Khawas

TIDAK MAHU DIGANGGU

      Satu hari Khwaja Khidr ingin hendak duduk bersama dengan Abu Ishaq. Dia tidak mahu menerimanya kerana khuatir ibadahnya akan terganggu. Dia berkata, 'Sudah cukup Allah sahaja bagiku dan aku tidak mahu yang lain lagi, sama ada ianya malaikat atau manusia'.

TIDAK DUDUK BERSAMA MANUSIA

      Abu Ishaq berkata, 'Satu hari saya terlihat seorang perempuan sedang berlari dengan kepalanya tidak bertudung dan dia berlari seperti orang dalam mabuk. Saya suruh dia supaya lebih berhati-hati dan menudung kepalanya. Perempuan itu berkata, 'Abu Ishaq, lebih baik tuan tutup mata tuan itu'. Saya menjawab, 'Orang yang cinta tidak pernah menutup matanya'. Perempuan itu berkata lagi, 'Sebagaimana orang cinta itu tidak menutup matanya, maka orang yang mabuk Allah itu juga tidak peduli pakaiannya dan menudung kepalanya'. Saya bertanya lagi, 'Dari mana puan dapat mabuk seperti ini?' Dia menjawab, 'Abu Ishaq, adakah ada yang lain lagi daripada DIA? Saya tidak lihat yang lain kecuali DIA di dunia dan di akhirat'. Saya ajak dia duduk bersama saya. Dia berkata, 'Saya tidak duduk bersama manusia tetapi hanya bersama Allah yang maha Esa dan Kuasa'.

 FANA'

      Satu hari, Abu Ishaq ditemani oleh seorang muridnya sedang melalui sebuah hutan. Dia duduk sebentar untuk sembahyang. Murid itu melihat seekor singa datang menuju Abu Ishaq yang sedang khusyuk bersembahyang itu. Murid itu terus memanjat pokok kerana takut. Singa itu datang dan mengelilingi Abu Ishaq, menciumnya dan kemudian pergi dari situ. Abu Ishaq langsung tidak peduli kepada singa itu. Setelah singa itu pergi jauh, datang seekor nyamuk menggigit Abu Ishaq. Abu Ishaq menjerit. Muridnya itu bertanya kepada dia, 'Kenapa tuan menjerit apabila digigit nyamuk? Padahal tuan tidak peduli langsung pada singa?' Abu Ishaq menjawab, 'Pada masa singa itu datang, aku sedang fana' dalam Allah dengan kehendak Allah tetapi bila nyamuk itu menggigit aku, diriku telah ada kembali pada ketika itu'.

DIJAGA OLEH 700 MALAIKAT

      Satu malam datang seekor singa menuju kepada Abu Ishaq. Dia berasa sedikit gelisah. Tiba-tiba terdengar olehnya satu suara berkata, 'Kenapa kamu gelisah? Kami telah beri 700 ratus malaikat menjagamu sepanjang masa'.

URUSAN ALLAH

      Abu Ishaq berkata, 'Satu hari tatkala saya sedang berjalan melalui sebuah kebun di hutan belantara, saya terlihat sepohon delima. Saya ambil dan makan buah delima itu. Tetapi apabila terasa olehku yang delima itu masam, saya pun membuangnya. Kemudian saya pergi dari situ. Saya lihat pula seorang tua yang lemah dah uzur. Ulat sedang memakan dagingnya dan lalat menggigit luka-luka pada badannya. Saya pergi berjumpa dengannya dan bertanya sama ada dia mahu saya doakan agar sembuh tetapi dia tidak mahu. Saya bertanya, 'Kenapa tidak mahu sihat?' Dia berkata, 'Bagaimana saya hendakkan senang sedang DIA hendakkan saya ini sakit? Ini tidak patut kerana saya telah menyerah bulat kepada DIA sahaja'. Saya bertanya lagi, 'Bolehkah saya halaukan lalat² itu?' Dia menjawab, 'Wahai Abu Ishaq! Mula² bersihkan hatimu dari hendakkan delima yang manis, kemudian inginkan saya sihat. Mula² bersihkan hati dan kemudian bersimpati dengan saya'. Saya bertanya lagi, 'Macamana tuan tahu nama saya dan saya hendakkan delima itu?' Dia menjawab, 'Orang yang mengenal Allah, tidak ada satupun yang terlindung daripadanya'. Saya bertanya lagi, 'Tidakkah tuan berasa sakit lalat dan ulat itu memakan daging tuan?' Orang tua itu menjawab, 'Semua itu adalah urusan Allah, oleh itu saya tidak berasa sakit'.

PENJAGA HAWA NAFSU

      Berkata Abu Ishaq, 'Satu hari ada orang berkata kepada saya bahawa ada seorang Kristian berumur 70 tahun yang tinggal di tempat bernama Rum. Orang Kristian ini duduk berkhalwat seorang diri. Saya pun pergi berjumpa dengan orang tersebut. Setelah sampai ke tempatnya, dia pun memandang kepada saya dan berkata, 'Saya ini bukan seorang Kristian tetapi adalah penjaga anjing. Anjing itu ialah hawa nafsu saya sendiri. Abu Ishaq, kenapa tuan bersusah payah datang kepada saya? Saya ingin memberi satu nasihat kepada tuan. Janganlah pergi mencari manusia lagi. Carilah diri tuan sendiri dan bila tuan telah menjumpai diri tuan sendiri, maka awasilah nafsu tuan itu kerana ianya menukarkan bentuknya 360 kali sehari untuk memutarbelitkan tuan'.

5 AMALAN UTAMA

       Abu Ishaq berkata, '5 amalan untuk meninggikan darjat rohaniah iaitu membaca Quran dan memikirkan ayat²nya, jangan makan sampai kenyang, berjaga malam, menangis dalam sembahyang di subuh hari, bergaul dengan orang beragama dan aulia Allah. Yang paling berkesan ialah menangis dalam sembahyang subuh'.

ALLAH SENTIASA BERSAMA MANUSIA

       Abu Ishaq mengajarkan, 'Sepatutnya si sufi itu hendaklah mencapai semua peringkat tasauf dan jangan hanya bergantung kepada satu peringkat sahaja'. Sambil menampar-nampar dadanya, Abu Ishaq selalu berkata, 'Saya mencari Allah yang sentiasa berada bersama saya'.

No comments:

Post a Comment