Abu Said Al Khiraz berkata, 'Apabila si hamba itu telah berpaling menghadap Allah dan apabila hamba itu telah mencapai kehampiran dan perdampingan dengan Allah, maka lupalah dia apa sahaja selain Allah bahkan dirinya sendiri juga. Jika ada orang bertanya kepadanya apakah yang dia hendak? Dia akan berkata, 'Aku hanya mencari Allah, dan sekiranya tiap-tiap anggota kami diberi lidah, maka semuanya akan menyebut nama Allah kerana setiap anggota itu telah diliputi oleh cahaya ketuhanan dan penuh mabuk kepada Allah'. Begitulah keadaannya bagi mereka yang mencapai kehampiran yang sangat dengan Allah, hinggakan mereka tidak mahu menyebut nama Allah kerana pada perasaan mereka nama itu sendiri telah diambil oleh Allah sendiri dan Allah sendiri yang bercakap kepada mereka dan bukannya orang lain'.
LUPA KERANA CINTA
Al-Khiraz berkata, 'Satu hari saya bermimpi melihat Nabi Muhammad dan bertanya kepada saya sama ada saya ingat kepada beliau sebagai seorang sahabat. Saya berkata kepada beliau bahawa oleh kerana cinta saya kepada Allah telah memenuhi hati saya, maka saya tidak mempunyai tempat dalam hati itu untuk mencintai orang lain'.
Al-Khiraz berkata:
1. Saya berasa malu hendak menyimpan makanan untuk malam hari atau menyimpan lebih dari satu pakaian.
2. Barangsiapa yang dikasihi Allah, segala kemahuannya akan dikabulkan tanpa perlu berdoa lagi kepada Allah.
3. Amal ibadat itu ialah jalan yang membawa kepada mengenal Allah tetapi harta kekayaan itu adalah hijab yang besar.
4. Kebahagiaan itu adalah duduk dalam mengenang Allah.
5. Barangsiapa yang dikasihi Allah, maka pintu untuk mengenang Allah itu akan sentiasa dibuka kepadanya.
6. Allah menunjukkan diriNya hanya setakat yang mampu oleh si hamba itu untuk memandang sinarNya.
7. Allah itu dicapai bukan dengan usaha atau tanpa usaha tetapi adalah dengan rahmat Allah jua.
8. Hormatilah masa itu dengan menggunakannya untuk beribadah kepada Allah.
9. Wali Allah yang sempurna itu tidak melibatkan dirinya dengan pekerjaan dan yang lain selain dari Allah.
10. Bersenang-senang itu adalah musuh ketat kepada mereka yang mencari Tuhan.
11. Bergantunglah kepada Allah sahaja dan janganlah bergantung kepada yang lain.
Diceritakan oleh Syeikh Fariduddin 'Attar
No comments:
Post a Comment