Tuesday, 14 April 2015

Apabila Kamu Mati Terhadap Makhluk

      Apabila kamu 'mati' terhadap makhluk, maka dikatakan kepada kamu, "Moga² Allah melimpahkan rahmatNya kepada kamu", dan Allah akan mematikan kamu dari nafsu² badaniah. Apabila kamu telah 'mati' terhadap nafsu² badaniah, maka akan dikatakan kepada kamu, "Moga² Allah melimpahkan rahmatNya kepada kamu", maka Allah akan mematikan kamu terhadap kehendak² dan nafsu. Apabila kamu telah 'mati' terhadap kehendak dan nafsu, maka akan dikatakan kepada kamu, "Moga² Allah melimpahkan rahmatNya kepada kamu", dan Allah akan menghidupkan kamu kepada satu 'hidup' yang baru.
      Selepas itu, kamu akan diberi 'hidup' yang tidak ada mati lagi. Kamu akan dikayakan dengan tidak ada papa lagi. Kamu akan diberi kurniaan yang tidak akan rosak dan habis. Kamu akan diberi kebahagiaan yang tidak ada lagi kesusahan dan kesedihan. Kamu akan diberkati dan tidak akan dimurkai. Kamu akan diberi ilmu dan tidak lagi jahil. Kamu akan diberi kesentosaan dan tidak lagi ketakutan. Kamu akan maju dan tidak lagi mundur. Nasib kamu akan baik dan tidak lagi buruk. Kamu akan dipermuliakan dan tidak lagi diperhinakan. Kamu akan dihampiri oleh Allah dan tidak jauh lagi. Martabat kamu akan bertambah tinggi dan tidak rendah lagi. Kamu akan dibersihkan dan tidak lagi merasai kotor. Pendek kata jadilah kamu seorang yang tinggi dan mempunyai peribadi yang tersendiri. Bolehlah dikatakan kamu telah menjadi manusia luar biasa.
      Jadilah kamu warisan Rasul², Nabi² dan orang² Siddiq. Kamu akan jadi titik akhir bagi segala kewalian dan wali² yg masih hidup, akan datang mengunjungi kamu. Melalui kamu segala kesulitan dapat diselesaikan dan melalui sembahyang kamu dapat memewahkan tanaman², menurunkan hujan, menghindarkan mala petaka yang hendak menimpa umat manusia dari segala pangkat dan kedudukan. Bolehlah dikatakan kamu menjadi sebagai pegawai polis untuk kota dan rakyat.
      Orang akan datang mengunjungi kamu dari tempat yang dekat dan jauh membawa hadiah² dan buah tangan dan memberi khidmat mereka kepada kamu. Semua ini dengan izin Allah Yang Maha Perkasa dan Kuasa jua. Lidah manusia tidak sunyi lagi menghormati dan memuji kamu. Tidak ada dua orang yang beriman bertelingkah mengenai kamu. Wahai! Mereka yang baik² yang tinggal di tempat² ramai dan mereka yang mengembara, inilah kurniaan Allah dan Allah mempunyai kuasa yang tidak ada batasan.

~ SAQAJ (Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani) 

No comments:

Post a Comment